SHAH ALAM - Amaran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia bakal menjadi seperti Singapura selepas Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) disebabkan senario kaum Melayu yang semakin kehilangan kuasa politik setelah hilang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Amaran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia bakal menjadi seperti Singapura selepas Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) disebabkan senario kaum Melayu yang semakin kehilangan kuasa politik setelah hilang cengkaman kuasa ekonomi ketika ini mungkin ada kebenaran.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis masih menganggap pandangan itu tidak jujur memandangkan perpecahan politik orang Melayu di negara ini hakikatnya disebabkan ketamakan golongan elit kaum itu yang berebut kuasa mentadbir negara.

Jelas beliau, di peringkat bawahan, rakyat marhaen hakikatnya tidak berdepan masalah sesama mereka manakala isu ekonomi dan taraf hidup orang Melayu yang semakin terpinggir dan ketinggalan berbanding kaum-kaum lain bukanlah satu perkara baharu.

Tambah beliau, isu perpecahan Melayu tidak berbangkit sewaktu parti-parti Melayu masih dominan dan utuh namun timbul hanya selepas pemimpin-pemimpin parti itu mula bercakaran, kuat beretorik dan menjadi penunggang bangsa dan agama demi mempertahankan kekuasaan masing-masing.

"Hakikatnya Tun (Dr Mahathir) menyedari solusi penyatuan Melayu lebih senang dibentuk dan boleh berlaku dalam pelbagai cara dan tidak semestinya perlu dijayakan menerusi jalan politik.

"Cuma malang apabila idea ini terus menjadi modal politik yang akhirnya bukan sahaja memecahbelahkan orang Melayu, malah menghilangkan rasa hormat kaum Melayu kepada kuasa politik itu sendiri.

"Selain itu, jurang ekonomi melebar antara kaum juga bukanlah sesuatu yang bersifat perkauman melainkan ia adalah permasalahan kelas, memandangkan isu kemiskinan dan kesenjangan ekonomi merupakan masalah yang merentasi kaum.

"Adalah tidak adil bagi mana-mana pemimpin mengaitkan pencapaian atau kegagalan mana-mana kaum dengan hal itu, apatah lagi ia dijadikan modal politik bagi meniupkan perasaan dan persepsi tertentu,” tegasnya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan Dr Mahathir ketika sidang akhbar selepas program Bersama Tun M: Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang? di Mini Townhall, Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) pada Sabtu.

Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu sebenarnya tidak sinergi dengan keputusan politik dibuat di mana beliau memilih Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berbanding Perikatan Nasional (PN) sebagai wadah politik baharu bagi membela nasib orang Melayu.

"Kalau benar beliau mahu terus memperjuangkan agenda memperkasakan kaum Melayu, sepatutnya wadah PN adalah citra pilihan beliau yang terbaik kerana ia parti 100 peratus menampilkan ahli Parlimen Melayu. Mengapa perlu guna Putra sebagai landasan ? Dan ia jelas menunjukkan terdapat konflik dalam keputusan Tun.

"Saya juga sukar menerima justifikasi kerajaan yang dianggotai pelbagai parti hari ini menyebabkan keadaan politik Melayu lemah kerana dalam 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan, belum ada dasar-dasar kerajaan baharu yang dilihat memberi kelebihan kepada kaum Cina,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca