SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpandangan cadangan mengubah kaedah pengiraan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada struktur pelbagai peringkat (multi-tier dividend structure) merupakan antara kaedah terbaik untuk meningkatkan jumlah caruman bagi mereka yang mempunyai simpanan rendah.
Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim menjelaskan, struktur pelbagai peringkat adalah sistem di mana dividen diberikan pada kadar berbeza mengikut jumlah simpanan ahli KWSP tersebut.
Dalam erti kata lain, kadar dividen adalah secara bertingkat, dengan kadar berbeza digunakan mengikut jumlah simpanan mereka.
"Sebagai contoh, Hafiz yang memiliki simpanan RM10,000 akan mendapat dividen sebanyak 6.5 peratus, manakala Zul dengan simpanan RM50,001 akan mendapat purata dividen sebanyak 6 peratus sahaja.
"Saya percaya ini antara cara terbaik untuk meningkatkan simpanan pencarum yang memiliki simpanan rendah.
"Namun begitu, kita juga tidak boleh menidakkan hak individu yang memiliki simpanan tinggi kerana mereka juga golongan yang bekerja dan telah menyimpan sejak sekian lama,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesyorkan kerajaan supaya mengubah kaedah pengiraan dividen KWSP kepada struktur pelbagai peringkat.
Ini kerana dengan kaedah tersebut, pencarum KWSP yang mempunyai baki simpanan yang lebih rendah akan menerima dividen yang lebih tinggi.
Struktur dividen seperti ini juga katanya akan memberi manfaat kepada golongan yang baru mula menyimpan di KWSP termasuk golongan belia yang baru mula bekerja, dengan membantu simpanan mereka mencapai tahap yang cukup dalam masa yang lebih singkat untuk pengeluaran pertama bagi membeli rumah pertama.
Mengulas lanjut, Muhamad Zharif berkata, kerajaan harus bersikap adil kepada semua pencarum KWSP walaupun simpanan mereka melebihi RM1 juta.
Ujarnya, ini kerana dari segi pembayaran dividen, mereka mempunyai hak yang sama dengan pencarum yang memiliki jumlah simpanan RM10,000.
"Oleh itu, penggunaan struktur dividen pelbagai peringkat mestilah memiliki nilai ambang atau treshold yang tertentu.
"Contohnya, semua pencarum akan mendapat dividen yang sama pada nilai RM50,000 pertama dan akan berkurangan pada nilai RM50,000 seterusnya,” jelasnya.
Dengan memberi satu contoh situasi, beliau berkata, jika individu memiliki jumlah simpanan sebanyak RM1 juta, dividen yang akan diterima pada kadar konvensional 5.35 peratus sekarang adalah sebanyak RM53,500.
"Tetapi melalui dividen pelbagai peringkat, individu tersebut mungkin dapat sekitar RM47,250, iaitu kurang RM6,750. Pengiraan ini tidak menjejaskan begitu banyak jumlah dividen mereka,” ujarnya.
CADANGAN RELEVAN, TAPI JANGAN ANAK TIRI PENCARUM LAIN
Dalam pada itu, cadangan pengiraan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diubah kepada struktur pelbagai peringkat disifatkan idea bernas tetapi kerajaan perlu meneliti supaya tidak menganaktirikan pencarum dengan baki simpanan yang lebih tinggi.
Pekerja swasta, Siti Fatimah Mohamed Anwar, 42, berkata dia bersetuju dengan cadangan tersebut kerana rakyat yang bergaji rendah boleh menambah simpanan hari tua mereka.
"Namun, pencarum dengan baki simpanan tinggi juga tidak harus diketepikan, KWSP perlu adil dengan memberi dividen setimpal walaupun rendah sedikit,” ujarnya.
Pekerja swasta, Nurul Huda Mohamed Abhar, 33, juga menyokong cadangan berkenaan yang disifatkan baik kerana bukan sahaja membantu pencarum berpendapatan rendah malah golongan belia khususnya dalam pembelian rumah pertama.
"Melihat situasi terkini selepas kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar ketika pandemik, ramai pencarum yang mempunyai baki simpanan yang rendah.
"Jadi kerajaan boleh menstrukturkan semula kaedah pengiraan dividen bagi membantu mereka,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif (Penjenamaan) Jalen Sdn Bhd, Mohammad Naqqiuddin Nawawi, 32, berpendapat usaha itu meskipun membantu namun dianggap tidak adil oleh sesetengah pihak.
"Mereka yang mengeluarkan duit KWSP ketika pandemik lebih banyak dapat manfaat daripada kaedah ini, sedangkan bukan semua mereka terdesak dan perlukan wang berkenaan.
"Namun orang yang tidak buat pengeluaran KWSP dan bekerja keras untuk simpanan hari tua, dapat dividen rendah pula, itu tidak adil,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca