SUSULAN pembentangan prestasi dividen 2022, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 5.35 peratus untuk simpanan konvensional dan 4.75 peratus untuk simpanan syariah, turut didedahkan isu pencarum Melayu memiliki kadar simpanan median... Klik di sini untuk terus membaca

SUSULAN pembentangan prestasi dividen 2022, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 5.35 peratus untuk simpanan konvensional dan 4.75 peratus untuk simpanan syariah, turut didedahkan isu pencarum Melayu memiliki kadar simpanan median lebih rendah berbanding kaum lain.

Data simpanan ahli KWSP mengikut bangsa sehingga 31 Disember 2022, menunjukkan pencarum Melayu terendah dalam simpanan median (semua peringkat umur) dengan jumlah simpanan RM4,893, manakala simpanan median umur di bawah 55 tahun berjumlah RM5,529.

Ia jauh ketinggalan berbanding kaum lain seperti pencarum kaum India yang merekodkan simpanan median (semua peringkat umur) dengan jumlah simpanan RM12,654, manakala simpanan median umur di bawah 55 tahun berjumlah RM14,929.

Sementara itu, kaum Cina dengan simpanan median (semua peringkat umur) berjumlah RM40,317, manakala simpanan median umur di bawah 55 tahun berjumlah RM45,162.

Pengurangan simpanan dalam kalangan pencarum Melayu tampak semakin ketara setelah kerajaan membenarkan empat kali pengeluaran khas berjumlah RM145.5 bilion sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Keputusan kebenaran empat kali keluaran KWSP itu melibatkan nilai RM20.8 bilion di bawah i-Lestari, RM58.7 bilion (i-Sinar), RM21.4 bilion (i-Citra) dan Pengeluaran Khas pada April 2022 sebanyak RM44.6 bilion.

Namun, adakah kadar simpanan median rendah dalam kalangan pencarum Melayu itu hanya disebabkan oleh kebenaran pengeluaran terbabit walhal kaum lain juga tidak terkecuali membuat pengeluaran serupa? Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran serta Kewangan Sosial Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kurangnya literasi kewangan dan kedudukan ekonomi dalam kalangan orang Melayu yang masih lemah daripada segi pendapatan boleh menyumbang kepada tren penurunan kadar simpanan.

Selain itu, kecenderungan tinggi orang Melayu yang mudah terjebak dengan skim pelaburan berisiko tinggi dan meragukan seperti mata wang kripto dan tukaran wang asing turut menyumbang kepada jumlah simpanan kaum itu di institusi penyimpanan wang seperti KWSP, Amanah Saham Berhad (ASB) dan bank dilihat sangat rendah.

"Justeru, apabila berlaku kejutan ekonomi yang besar seperti Covid-19 ia dengan jelas menunjukkan bahawa ramai dalam kalangan kaum Melayu yang rentan (lemah).

"Apa yang perlu ditekankan adalah aspek celik kewangan atau literasi kewangan secara berterusan melalui program yang bersifat interaktif bagi menyampaikan mesej secara tuntas kepada golongan sasaran.

"Kita juga sering mendengar ramai bertindak semberono dan terjebak dengan skim cepat kaya serta pelaburan berisiko tinggi seperti mata wang kripto dan tukaran wang asing yang telah menyebabkan ramai tertipu sekali gus rugi,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Jelas Mohd Afzanizam, sekiranya penerapan literasi kewangan dalam kalangan pencarum tidak dilakukan sebaiknya, dikhuatiri pendapatan diterima gagal disimpan secara sistematik dan kurang memberi pulangan pelaburan yang optimum.

JURANG MASYARAKAT

Mohd Afzanizam juga tidak menolak kesenjangan atau jurang pendapatan bukan hanya berlaku antara kaum, malah berlaku merentasi isu sesama kaum.

"Perkara ini sememangnya wujud dan ia bukan sahaja di antara kaum, malah dalam kaum sama kesenjangan pendapatan itu berlaku.

"Hakikatnya, ini isu universal yang memerlukan suatu bentuk intervensi tuntas.

"Oleh itu, isu jurang pendapatan dan kekayaan perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan bagi mencapai keharmonian terutama berkaitan aspek ekonomi dalam kalangan masyarakat negara ini,” ujarnya.

Menurutnya, penekanan juga perlu diberi terhadap pendapatan benar iaitu pendapatan yang mengambil kira faktor inflasi.

"Sekiranya kita hanya menumpukan pendapatan nominal, dibimbangi akan menghadapi masalah money illusion iaitu merasa kaya disebabkan pendapatan meningkat walhal tidak, kerana kenaikan harga akan merosotkan kuasa beli,” tegas Mohd Afzanizam lagi.

Ditanya sama ada isu jurang pendapatan ini perlu kepada penstrukturan gaji yang lebih baik, beliau berkata, isu terbabit perlu dilihat secara holistik.

Tegas Mohd Afzanizam, kerajaan juga perlu mengambil kira ekosistem perniagaan seperti perundangan, tadbir urus serta penawaran buruh mahir, infrastruktur dan sebagainya.

"Apa yang ingin dicapai ialah landskap perniagaan kompetitif, mudah diurus yang akhirnya membawa kepada struktur upah yang lebih tinggi.

"Justeru, sebarang bentuk insentif selain perlepasan cukai seperti diskaun pembelian rumah dan baucar pembelian barangan harian perlu diberi supaya sasaran dapat dicapai,” kata beliau.

UPAH RENDAH

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor memberi pandangan berbeza dan melihat isu kadar upah lebih tinggi akan membantu pencarum Melayu memperoleh jumlah simpanan KWSP lebih tinggi.

"Data menunjukkan kaum Melayu paling rendah jumlah simpanan mereka kerana upah diterima adalah rendah, malah jurang pendapatan yang lebar adalah realiti kepada punca simpanan rendah.

"MTUC berpendapat simpanan KWSP boleh dinaikkan jika gaji diterima oleh pekerja bertambah,” katanya.

Menurut beliau, gaji wajar kehidupan perlu diperkenalkan bagi memberi keadilan kepada golongan bawahan supaya simpanan berkembang selain perlu mengandungi jaminan kenaikan gaji tahunan supaya ada tambahan simpanan dalam KWSP.

"Selain itu, faktor utama lain jumlah simpanan pencarum Melayu lebih rendah turut disebabkan terdapat kegagalan majikan mencarum KWSP pekerja serta kegagalan mewajibkan pelaksanaan caruman dalam kalangan operator ekonomi gig kepada pekerja mereka.

"Dalam isu ini pihak MTUC telah mendesak supaya caruman majikan dalam industri gig diwajibkan supaya simpanan pekerja dapat bertambah,” kata Kamarul Baharin.

Klik di sini untuk terus membaca