KUALA LUMPUR - Syarikat pensijilan nanoteknologi Malaysia, NanoVerify Sdn Bhd mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 1,000 produk di negara ini yang mendakwa mempunyai bahan nano sedangkan ia belum ditentusahkan. Jumlah tersebut lebih... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Syarikat pensijilan nanoteknologi Malaysia, NanoVerify Sdn Bhd mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 1,000 produk di negara ini yang mendakwa mempunyai bahan nano sedangkan ia belum ditentusahkan.

Jumlah tersebut lebih besar berbanding hanya terdapat 200 produk yang telah menerima sijil daripada NanoVerify setakat ini.

Antara produk yang gagal mempamerkan unsur nano selepas melalui proses pengujian makmal ialah salutan untuk produk penjagaan kereta, cecair pembersih, baja tanah dan kopi pracampuran.

Menurut Pengarah Pengurusan NanoVerify Sdn Bhd, Johan Iskandar Hasan, satu daripada 10 produk berkenaan berkemungkinan langsung tidak mempunyai bahan berkaitan nano.

Ujarnya, taktik melabel produk atas nama nano bertujuan mengaut keuntungan berganda dengan mengaburi pengguna kerana produk yang menggunakan teknologi nano terbukti berkesan.

Segelintir pengeluar dipercayai sengaja melabel produk mereka mempunyai unsur nano semata-mata ingin menarik perhatian pengguna.

"Dalam produk itu diletakkan nama nano, misalnya nano krim atau nano stokin sedangkan pengeluar sendiri mengaku tidak mengetahui apa itu nano dan fungsinya.

"Kita dapat tahu (tentang hal ini) kerana ada klien yang kita cuba dekati mengaku tidak tahu apa itu nano dan hanya guna nama sahaja kerana yakin ia dapat menarik lebih ramai pembeli.

"Nano itu sendiri dianggap sebagai perkataan yang ada gaya dan keunikan tersendiri, bermakna jika guna nama nano, produk tersebut nampak canggih dan boleh letak dengan harga yang mahal,” katanya kepada Sinar Harian.

Johan Iskandar turut menegaskan, pihak yang bertindak mengelirukan orang ramai dengan membuat tuntutan palsu dalam produk boleh didakwa di bawah kesalahan Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Ujarnya, ia termasuk tuntutan palsu dalam penggunaan teknologi nano dan individu terlibat boleh dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan selanjutnya.

Untuk makluman, Program NanoVerify juga merupakan salah satu inisiatif di bawah Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara 2021-2030.

"Oleh itu, pensijilan produk nanoteknologi perlu selari dengan keperluan yang telah ditetapkan oleh NanoVerify,” jelasnya.

Menurut beliau, kini terdapat banyak produk yang menggunakan bahan nano di Malaysia, termasuklah dalam produk kosmetik, kecantikan dan kesihatan.

Johan Iskandar (kanan) mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 1,000 produk di negara ini yang mendakwa mempunyai bahan nano, sedangkan ia belum ditentusahkan.
Johan Iskandar (kanan) mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 1,000 produk di negara ini yang mendakwa mempunyai bahan nano, sedangkan ia belum ditentusahkan.

Tambahnya, bahan nano boleh menimbulkan ciri-ciri yang diinginkan pengeluar, antaranya antibakteria, menambah jangka hayat produk dan faktor perlindungan matahari.

Justeru, tidak hairanlah berdasarkan bancian syarikatnya, 60 peratus daripada 1,200 produk di Malaysia yang dikatakan mempunyai unsur nano adalah produk kosmetik.

"Sebab itu ia banyak digunakan dalam krim pemutih, krim pelindung matahari, ubat gigi, serum dan losyen di pasaran sekarang.

"Bahan ini juga digunakan dalam baja tanah. Dengan skala nano, ia memudahkan penyerapan nutrien oleh tumbuhan.

"Selain itu, kita juga ada penggunaan nano sebagai bahan penapis, sudah banyak bahan-bahan nano yang digunakan dalam penapis air dan udara di pasaran.

"Kelebihannya ialah saiznya lebih halus, kecil dan dapat meningkatkan lagi prestasi penapisan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, NanoVerify telah menjalinkan kerjasama dengan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dalam usaha memberi kesedaran kepada pengguna berhubung penggunaan bahan nano dalam produk Malaysia bermula pada tahun 2021.

Menurutnya, pengguna perlu dihebahkan bahawa produk nanoteknologi bagus, mempunyai kelebihan tersendiri, di samping dapat melakukan penjimatan kos dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun, penting untuk orang ramai pastikan produk tersebut adalah tulen dan disahkan menggunakan bahan nano.

"Oleh itu, pembeli perlu memastikan setiap produk nano yang dibeli mempunyai logo NanoVerified.

"Pengguna juga disarankan untuk menyemak laman web nanoverify.com.my bagi mengenal pasti senarai produk dan syarikat yang disahkan mempunyai bahan nano dan mendapat sijil daripada NanoVerify,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca