JIKA sebelum ini hanya telur yang terlibat, sejak dua minggu lalu, sudah empat pasar raya utama di United Kingdom (UK) mengenakan catuan beberapa jenis sayuran segar seperti tomato, cili benggala, timun dan salad kepada para pembeli.
Awalnya, rakyat diyakinkan bahawa catuan ini hanya untuk tempoh beberapa hari sementara stok bekalan dari negara pengeksport diterima. Namun, sudah nak masuk dua minggu, rak makanan segar masih tidak terisi penuh seperti biasa.
Malah catuan diperluas pula kepada sayur-sayuran dan buah-buahan lain.
Bukan setakat pemilik pasar raya, kerajaan UK juga sudah tidak senang duduk apabila rakyatnya mula melaungkan kemarahan.
Manakan tidak, kini harga produk yang dicatu turut mencanak naik dan menambahkan beban sedia ada rakyat yang masih bergelut dengan kos sara hidup di paras hidung.
Alasan seperti jumlah permintaan meningkat dan cuaca luar jangka sehingga menjejaskan tanaman di negara pembekal seperti Sepanyol dan Maghribi sudah tidak boleh diterima.
Kerajaannya tentulah dilihat lemah kerana gagal menjamin keselamatan makanan kepada rakyat. Sedangkan rakyat telah membayar cukai begitu tinggi agar kerajaan menjaga kebajikan mereka sebaik mungkin.
Sebagai negara yang hampir 50 peratus bekalan makanan segarnya diimport, tampungan bekalan makanan daripada petani tempatan bukanlah jalan penyelesaian yang praktikal dalam masa terdekat.
Apatah lagi petani tempatan sendiri sudah lama mengurangkan penghasilan tanaman mereka. Petani yang kebanyakannya menggunakan rumah kaca dan jentera terjejas teruk apabila kos operasi melambung naik akibat kenaikan tarif elektrik dan gas sehingga 200 peratus tahun lalu.
Dengar-dengarnya isu catuan makanan ini hanya eksklusif di UK sahaja. Ia tidak dirasai negara Eropah lain. Maka mulalah isu Brexit disebut-sebut sebagai punca krisis ini. Sebagai contoh, apabila UK memilih untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), para petaninya tidak lagi layak mendapat subsidi daripada EU.
Apabila ditanya, para petani mengakui bahawa subsidi tersebut jika diterima, akan membantu mereka menampung kos elektrik dan gas yang tinggi tanpa mengurangkan pengeluaran.
Seperti dijangka, tentulah dakwaan itu keras disangkal kerajaan UK di bawah pimpinan Parti Konservatif yang pro-Brexit. Kata mereka, bukan UK sahaja yang sedang mengalami krisis bekalan makanan. Negara Eropah lain juga sudah mula merasainya sedikit demi sedikit.
Kata mereka lagi, meskipun tidak teruk terjejas dengan kenaikan tarif elektrik dan gas, purata kos yang ditanggung petani di negara Eropah lain turut meningkat. Ia dikaitkan dengan kenaikan harga baja sehingga 400 peratus. Kenaikan harga baja pula disabitkan dengan kenaikan harga gas asli yang menjadi sumber utama penghasilan baja.
Meskipun sudah seperti naratif lapuk, sekali lagi perang Ukraine-Rusia yang menjejaskan bekalan gas asli sehingga menyebabkan harganya begitu tinggi dijadikan asbab harga baja melambung.Hujah ini sepertinya masuk akal juga. Rakyat pun mula garu kepala.
Nyata memang sukar untuk sesiapa pun menelah punca sebenar krisis bekalan makanan di UK ini.
Berdasarkan General Systems Theory, masalah kompleks seperti ini sememangnya tidak boleh diakarkan kepada satu-satu punca sahaja. Sebaliknya, krisis makanan hanyalah salah satu simptom kepada kerosakan dan kegagalan fungsi pelbagai sistem yang menyokong kelangsungan sesebuah masyarakat mahupun negara.
Bukan setakat pertanian, tenaga atau alam sekitar, malah sistem sosial, ekonomi, urustadbir, politik mahupun geopolitik, semuanya punya ‘saham’ masing-masing kepada krisis yang berlaku ini. Jadi, untuk menanganinya, punca kepada kerosakan dan kegagalan sistem-sistem inilah yang seharusnya diselidik dan diatasi.
Apa pun penceritaannya, yang pasti UK kini terlihat seperti negara yang paling vulnerable berbanding negara Eropah lain. Daripada krisis bekalan minyak, kadar inflasi, ketidakstabilan matawang dan kini krisis bekalan makanan, UK menjadi yang paling awal terkesan berbanding negara Eropah yang lain.
Tidak dapat dipastikan sama ada Brexit itu sememangnya sebuah keputusan terbaik untuk rakyat UK seperti yang dijaja pemerintahnya. Atau ia hanya memberi untung kepada parti yang menggunakannya sebagai senjata politik mereka. Tapi, nampak gayanya, untung pun belum tentu juga, Brexit tak mustahil memakan tuannya sendiri.
UK sebagai negara kuasa besar dunia yang dikatakan ada sistem urus tadbir negara yang terbaik pun terpaksa bertarung dengan kesulitan untuk menghadapi krisis makanan. Kita pula, bagaimana? Paling membimbangkan, jika krisis makanan tidak ditangani, boleh memulakan banyak krisis yang lebih menakutkan sehingga melumpuh kemanusiaan.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College, London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena, Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca