SHAH ALAM - Pakar ekonomi mencadangkan tiga alternatif pelaburan yang boleh dipertimbangkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan prestasi pulangan dividen meningkat sekurang-kurangnya 6 peratus pada tahun-tahun akan datang.
Pakar Ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Barjoyai Bardai berkata, antara pelaburan tersebut ialah melibatkan modal teroka, hartanah dan tawaran awam permulaan (IPO).
Ujar Barjoyai, pelaburan modal teroka biasanya melibatkan pelaburan dalam teknologi baharu dan akan memberi pulangan lebih besar sekiranya berjaya menjana keuntungan.
"Tetapi adakalanya akan rugi, sebab peluang untuk dapat keuntungan besar itu hanya 10 peratus jadi, 90 peratus lagi kemungkinan itu adalah rugi.
"Kemudian, ada pelaburan hartanah. Biasanya modal agak selamat kerana ia selalu naik tetapi keuntungan tiap-tiap tahun adalah dalam bentuk sewaan atau penyenaraian.
"Keuntungan modalnya itu dalam jangka masa panjang. Jadi kalau pegang pelaburan hartanah 10 tahun, mungkin ia akan naik,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, ulas Barjoyai, pelaburan IPO pula merupakan inisiatif di mana sebuah syarikat baharu yang disenaraikan memerlukan pemegang saham institusi untuk mengukuhkan organisasi berkenaan.
"Jadi dia beli dengan harga yang murah sebelum disenaraikan, dan kemudian bila disenaraikan harga pasarannya meningkat, biasanya meningkat sampai lima atau enam kali ganda.
"Kemudian KWSP boleh mendapat keuntungan dari situ. Cuma masalahnya dalam suasana pasaran saham yang agak muram, tidak banyak syarikat baharu disenaraikan, jadi peluang untuk menjadi pelabur institusi dalam IPO ini agak rendah.
"Pada masa lepas, Permodalan Nasional Berhad (PNB) menumpukan perhatian pada pelaburan IPO ini, sebab itu PNB mampu memberi pulangan sebanyak 10 hingga 15 peratus,” ujarnya.
Dividen KWSP paling tinggi dicatatkan adalah 8.5 peratus pada tahun 1983-1987. Dalam tempoh 23 tahun antara tahun 1999 hingga 2021 pula, KWSP mencatat bayaran dividen melebihi 6 peratus sebanyak sembilan kali.
Bagi tahun 2022 dividen yang diumumkan Sabtu lalu adalah 5.35 peratus untuk simpanan konvensional dan 4.75 peratus simpanan shariah.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, cabaran terbesar KWSP dalam aspek prestasi kewangan adalah pelaburan jangka panjang yang berdaya tahan.
Menurutnya, dalam suasana ekonomi global yang mencabar, tidak mudah bagi KWSP untuk mencatat prestasi yang lebih baik berbanding tahun pra-Covid.
"Ia ditambah pula dengan tuntutan pengeluaran KWSP bersasar yang sedikit sebanyak mengurangkan jumlah terkumpul dana persaraan.
"Ini dibuktikan menerusi penurunan pendapatan pelaburan kasar tahun 2022 berbanding 2021 yang agak ketara.
"Barangkali KWSP boleh pertimbang menaikkan jumlah pelaburan dalam portfolio yang berisiko tinggi dan patuh syariah,” menurutnya.
Klik di sini untuk terus membaca