ISU kemampuan pertahanan sememangnya akan dikaitkan dengan aset ketenteraan sesebuah negara. Walaupun demikian, hubungan antara kemampuan aset dengan keupayaan tersebut sering disalah tafsir bukan sahaja oleh rakyat marhaen, tetapi juga sebahagian ahli politik.
Membuat kesimpulan mudah bahawa semua masalah berkaitan operasi ketenteraan era globalisasi yang rumit boleh diselesaikan dengan kekuatan aset fizikal semata-mata membayangkan kemampuan pemikiran yang dangkal.
Kadangkala kita perlu bertanya apakah kelompok yang menobatkan diri sebagai pakar keselamatan dan pertahanan negara telah menelaah dan benar-benar faham dokumen Kertas Putih Pertahanan (KPP) 2020–2030 yang merupakan acuan utama bagaimana kita mahu terus kekal aman sebagai negara berdaulat?
Visi utama KPP 2020–2030 adalah untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara selamat, berdaulat dan makmur menerusi tiga tonggak Strategi Pertahanan Negara.
Tonggak pertama adalah berkaitan kemampuan (termasuk aset) Angkatan Tentera Malaysia. Tonggak kedua adalah kerajaan dan masyarakat mempunyai iltizam serta mahu berkorban demi mempertahan negara menerusi keupayaan masing-masing. Tonggak ketiga adalah hubungan interaktif dua atau pelbagai hala dengan negara-negara lain, khususnya negara serantau.
Ketiga-tiga tonggak ini perlu dibangunkan secara serentak dan komprehensif untuk memastikan KPP 2020-2030 berjaya direalisasikan.
Apa yang dirisaukan ialah rakyat dan ahli politik (khususnya yang berkepentingan) hanya menumpukan fokus mereka kepada tonggak pertama iaitu kemahuan memperkasa aset fizikal ATM.
Malangnya apa yang menggugat kemampuan dan keupayaan perolehan aset bernilai strategik ada kaitan langsung dengan tonggak kedua, iaitu sumbangan kerajaan dan masyarakat.
Kerugian dana yang merencatkan kemampuan pertahanan akibat kelewatan menyiapkan aset mega ATM boleh dikaitkan dengan integriti lemah, salah guna kuasa dan rasuah. Jika diteruskan bakal merapuh atau mungkin juga merosakkan tonggak pertama.
Sebahagian perbuatan keji ini berlaku dalam kalangan ahli-ahli korporat, industri pertahanan, malah segelintir penjawat awam dan ahli politik sendiri yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada tiang seri yang mendukung tonggak kedua.
Kebimbangan ini telah pun dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada 13 Februari lalu.
Seri Paduka menyentuh isu ini secara langsung dan mahu membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus. Seri Paduka juga menghargai komitmen serta tekad kerajaan untuk membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar.
"Cabaran dan ancaman keselamatan sentiasa bersifat dinamik dan memerlukan kesiapsiagaan negara menghadapinya. Ini termasuk penyelenggaraan serta perolehan peralatan dan kelengkapan baru. Kelemahan kaedah lama yang merugikan serta melemahkan pertahanan negara perlu segera dihentikan,” tambah Al-Sultan Abdullah.
Tidak semuanya malap dan suram dalam usaha menjadikan KPP 2020–2030 sebagai satu kenyataan. Tonggak strategi ketiga KPP, iaitu perkongsian berwibawa mungkin semakin terserlah sinarnya sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk hujung tahun lalu.
Perkongsian ini melibatkan negara-negara lain dengan menjadikan mereka sebagai rakan kongsi dalam usaha kerajaan memperkukuh kerjasama pertahanan.
Dalam tempoh kira-kira 100 hari sejak mengambil alih pemerintahan pada November 2022, Perdana Menteri telah mengadakan lawatan ke Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan Filipina.
Ini belum pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini dalam tempoh sesingkat itu.
Tentunya antara perbincangan dengan ketua-ketua negara tersebut adalah memastikan bahawa hubungan diplomatik erat dikekalkan dan mengelakkan salah faham berkaitan isu persempadanan.
Selain itu Perdana menteri juga lantang mahu mengekalkan status rantau ini sebagai rantau yang aman, bebas dan berkecuali dengan negara-negara ASEAN mempunyai hubungan multilateral yang akrab dan bertindak sebagai satu blok bersepadu apabila menghadapi pengaruh China dan Amerika Syarikat.
KPP 2020-2030 adalah dokumen yang amat kritikal kepada kedaulatan dan pertahanan negara, ia memerlukan usaha semua pihak digembleng agar menjadi kenyataan.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima Anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca