BIARLAH bagaimana sekalipun orang memberi reaksi sinis terhadap makanan Menu Rahmah yang berharga RM5 itu, ia tetaplah inisiatif baik yang wajar dipuji.
Biarlah jika ada orang mengecamnya dengan beraneka ragam baik di TikTok atau di Facebook, RM5 itu tetaplah juga besar nilainya bagi orang yang dalam poketnya cuma ada beberapa ringgit.
Termasuk dalam kumpulan ini pastilah bukan kumpulan yang gaji bulanannya stabil atau mereka yang tinggal di kondominium mewah. Juga bukanlah Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri yang ada elaun.
Sebenarnya kesusahan hidup kita pada zaman moden ini tak sama dengan hidup pada masa lalu. Dahulu, kita mungkin susah kerana tiada wang tunai di tangan. Masa itu banyak orang hanya bekerja sara hidup di kampung.
Tapi masa itu orang boleh mencari ikan di sungai, atau memetik sayur di belakang rumah. Yang menjadi petani, walaupun tak begitu ada wang, mereka masih ada padi yang disimpan di dalam jelapang.
Dunia hari ini banyak daripada kita hidup di celah kota batu. Kita tak ada tempat lagi untuk menanam sayur kecuali beberapa pohon bawang di dalam pasu. Sungai kita di banyak kawasan bandar telah menjadi longkang membawa sampah sarap dan racun. Jadi, menjadi orang kota kini hidupnya mungkin bergaya, tapi realitinya mungkin papa.
Sekarang ini pula, semua orang sedang hidup dalam krisis. Harga barang, sama ada di bandar, atau di kampung semuanya mahal.
Krisis perang Rusia-Ukraine walaupun jauh dari tempat kita telah mencetuskan krisis makanan terutama jagung dan gandum.
Ia pula telah menjadikan harga dedak ayam mahal. Akhirnya, tak semena-mena kita pula berperang dengan harga telur ayam.
Enam atau tujuh tahun dahulu, Bank Dunia meramalkan yang penduduk bumi akan berhadapan dengan krisis makanan seawal tahun 2050.
Tapi kelihatannya kita baru sahaja mencecah 2020 lebih sedikit, tetapi kita sudah melihat petandanya. Bila tanah pertanian sudah menjadi kawasan kilang dan rumah, atau dibangunkan bandar baharu, logiknya kita juga sedang mengurangkan pengeluaran makanan untuk keperluan masa hadapan.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2014 sudah pun menganggarkan bahawa 842 juta penduduk dunia sedang berhadapan dengan ketidakcukupan makanan. Dua pertiga daripadanya adalah mereka yang hidup di Asia Pasifik.
Itu ramalan pada tahun 2014 yang belum lagi banyak perang di sana sini. Juga belum kita lalui krisis Covid-19. Andaian waktu itu seputar dengan banyak isu perubahan cuaca dunia dan beberapa konflik yang mampu diramal.
Bayangkan pula sekarang. PBB dalam laporan yang terbit dua tahun lalu melaporkan pada tahun 2020 sahaja sekitar antara 720 juta hingga 811 juta penduduk sedang kelaparan.
Kelihatannya kita tak perlu menunggu tahun 2050 seperti ramalan beberapa tahun dulu untuk merasa begitu terancam tak cukup makan.
Seperti biasa, negara pengeluar makanan ialah negara kuasa besar yang ada tanah pertanian seluas mata memandang. Kini, dengan krisis demi krisis, setiap negara mula mengawal eksport mereka. Akhirnya, kita negara kecil perlu membayar harga yang mahal.
Jadi Menu Rahmah bernilai RM5 itu sekalipun kononnya dikatakan ada sejemput sayur atau kurang nutrisi, sebenarnya lebih mahal harganya daripada sebuah kereta mewah.
Orang miskin tak perlukan kereta mewah buatan import. Mereka hanya perlukan makan untuk terus bernafas sepagi lagi. Kumpulan ini ramai. Pelajar universiti, pekerja kilang, pekerja buruh, dan mungkin juga kakitangan awam peringkat bawahan.
Jadi, jika pun kita yang mungkin tak begitu suka dengan Menu Rahmah yang ada beberapa potong lauk dan sayur kerana sering makan di restoran mewah di ibu kota, biarlah mereka yang tak merungut memakannya.
Sekurang-kurangnya mereka ada sedikit waktu lagi berjuang untuk terus hidup. Tahniah YB Salahuddin Ayub!
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.