AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wee Kiat berpandangan bahawa program latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) penting kepada rakyat di negara ini.
Beliau berpendapat ia adalah penyelesaian terbaik kepada generasi muda yang tidak meminati bidang akademik.
Justeru, beliau meminta agar kerajaan memberikan tumpuan yang lebih banyak terhadap usaha memperkasa TVET.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, IZWAN ROZLIN bersama Wee Kiat, baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Apakah masalah paling besar bagi masyarakat di Rawang yang menjadi keutamaan untuk diselesaikan dalam masa terdekat?
WEI KIAT: Ketika mula-mula menjadi ADUN Rawang, masalah paling mencabar ialah isu banjir kilat dan kesesakan lalu lintas kerana ia merupakan masalah yang tidak selesai buat sekian lama.
Namun, dalam tempoh lima tahun saya telah berusaha untuk menyelesaikan isu ini dan berjaya mengubah persepsi orang ramai mengenai Rawang.
Kerajaan Pusat akan menaik taraf jalan utama Rawang iaitu Jalan FT 3209 dan kerajaan negeri Selangor juga akan dinaik taraf untuk jalan B27 .
Apabila dua projek itu dapat disiapkan maka isu kesesakan trafik akan selesai. Tahun ini akan bermula kerja-kerja pelebaran jalan Rawang Tin (pusat bandar) sehingga berhampiran simpang Plaza Tol Rawang.
Jalan akan menjadi lebih lebar dan jejambat akan dibina dengan kos keseluruhan bernilai RM223 juta. Kerja pembinaan akan bermula Julai ini dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.
Bagaimana usaha yang diambil bagi memastikan perkara yang menjadi tumpuan ini dapat dicapai? WEI KIAT: Sebagai wakil rakyat kita harus fokus hal-hal kawasan termasuk perlu turun ke bawah berjumpa dengan rakyat baru kita tahu apa yang rakyat mahukan.
Bila sudah tahu masalah, kita bawa suara mereka untuk kerajaan teliti dan untuk selesaikan satu persatu.
Apa yang berlaku sebelum ini ialah kerajaan ada peruntukan besar tapi wakil rakyat tidak diberitahu, sekali gus tidak menyelesaikan masalah rakyat secara keseluruhan.
Selain daripada tumpuan utama YB di Rawang, adakah ada lagi isu-isu lain yang memerlukan sokongan penuh daripada pihak kerajaan?
Perkara utama yang perlu diberi perhatian di Rawang ini sebenarnya melibatkan isu pendidikan sebab kawasan ini dikategorikan sebagai kawasan luar bandar. Saya juga dapati ramai anak-anak tidak berminat untuk pergi ke sekolah .
Apa yang saya lihat kerajaan lebih fokus kepada sains dan teknologi serta kurang memberi tumpuan kepada program latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Kerajaan kena kaji kenapa mereka tidak suka mata pelajaran sedia ada. Setiap orang mempunyai minat dan kelebihan masing-masing.
Oleh itu, saya yakin latihan vokasional adalah penyelesaian terbaik bagi mereka yang tidak cenderung dalam bidang sains, matematik dan sebagainya.
Kita perlu menarik mereka supaya mereka berada di landasan yang betul mendapat pendidikan sewajarnya mereka dapat masa depan yang cerah.
Saya sedang usahakan kerjasama dengan pemain industri seperti Carsome, kolej komuniti dan institusi berasaskan TVET supaya mereka datang ke Rawang dan memberi informasi tepat tentang TVET.
Kita kena tahu apa yang pelajar minat, baik pelajar aliran seni mahu pun sains, kita tidak boleh paksa pelajar ikut kita tetapi kita harus kaji apa yang mereka minat.
Sebagai contoh, di Rawang banyak pelajar berlatar belakang keluarga B40, jadi persoalannya ialah usaha kita untuk wujudkan minat mereka untuk belajar.
Rawang terkenal dengan pelbagai tempat menarik terutama hutan lipur dan air terjun, bagaimana YB melihat potensi yang ada bagi sektor pelancongan di kawasan ini?
Saya sedang berusaha memastikan tempat-tempat menarik untuk dikunjungi di Rawang sentiasa dipromosikan.
Ini termasuk kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dalam memastikan Rawang menjadi sebahagian agenda pelancongan negara.
Sebagai contoh, kita ada Rawang Bypass yang melalui kawasan hutan semula jadi yang menjadi simpanan pokok-pokok yang unik di Malaysia.
Terbaru, kita akan bangunkan industri batik yang diusahakan oleh golongan muda di kawasan Rawang.
Ini merupakan antara sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menaikkan ekonomi penduduk setempat dengan memperkasakan industri batik.
Bagaimana anak muda di Rawang boleh memberi sumbangan mereka dari sudut idea atau tenaga kerja. Adakah ada platform untuk mereka terlibat secara langsung atau tidak langsung?
Saya antara penggerak yang menubuhkan Pertubuhan Sukarelawan Rawang. Pertubuhan ini diwujudkan untuk memberi peluang kepada generasi muda untuk melontar idea mereka.
Ini termasuk proses membuat kertas kerja program-program khusus yang boleh dilaksanakan yang boleh menjana pendapatan di samping mengadakan program-program bersifat komuniti.
Ini bukan sahaja dapat menyatukan masyarakat bahkan juga dapat melahirkan pemimpin pelapis pada masa akan datang.
Baru-baru ini, sempena sambutan Tahun Baru Cina, kita telah anjurkan Karnival Rawang dan dapat mengumpulkan 70 usahawan dengan kehadiran orang ramai sekitar 6,000 hingga 7,000.
Isu pengangguran dalam kalangan lepasan institut pengajian tinggi (IPT) masih tinggi, ia memerlukan satu penyelesaian konkrit daripada pelbagai pihak. Pada pandangan YB apakah langkah-langkah bagi menyelesaikan isu ini?
Kalau ikut kajian tahun lepas, generasi menganggur adalah anak-anak muda.
Walaupun mereka mempunyai ijazah sarjana muda atau diploma namun tiada jaminan gaji selepas mendapat kerja setara dengan kelulusan yang diperoleh.
Sebab itu di zaman sekarang yang mana kos sara hidup memakan kos yang tinggi, lepasan universiti lebih berminat untuk bekerja dengan syarikat pengendali e-hailing.
Memang benar mereka boleh dapat gaji besar tapi itu tidak menjamin masa depan. Kestabilan politik yang wujud sekarang ini diharap dapat membantu menarik pelabur bertapak dalam negara dan akhirnya dapat memberi pekerjaan kepada graduan dengan gaji yang setimpal.
PROFIL
Nama : Chua Wei Kiat
Asal : Kuala Lumpur
Status : Bujang
Kelulusan : Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Pasaran
Jawatan : Penyelaras Media Keadilan (2009)
Naib Ketua Ahli Muda Keadilan (AMK) Batu Caves
Ketua AMK Selayang