COX'S Bazar - Sebuah kem penuh sesak dengan pelarian Rohingya di tenggara Bangladesh musnah dalam kebakaran besar pada Ahad menyebabkan kira-kira 22,000 penghuninya tinggal sehelai sepinggang.
Kebakaran dahsyat yang memusnahkan sekurang-kurangnya 2,000 pondok di daerah Ukhiya itu dipercayai berpunca daripada letupan tong gas memasak.
Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian (RRRC) di Cox's Bazar, Mohammed Mizanur Rahman mengesahkan kebakaran tersebut berlaku sekitar jam 2.40 petang (waktu tempatan) di Kem 11 Balukhali.
"Jarak yang terlalu dekat selain setiap pondok dilengkapi tong gas menjadi punca api merebak dengan pantas,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Bomba Cox's Bazar, Atish Chakma memberitahu api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6 petang.
Menurutnya, lebih 10 jentera bomba terlibat dalam usaha memadam kebakaran sambil menambah tiada mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Lebih 90 kemudahan termasuk hospital hangus Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menerusi satu hantaran di Twitter memaklumkan sebanyak 90 kemudahan termasuk hospital dan pusat pembelajaran musnah dalam kebakaran tersebut. Serentak itu juga, UNHCR bertindak mengosongkan kemudahan perubatan di Kem 12 sebagai langkah berjaga-jaga.
Kebakaran besar di kem pelarian terbesar di dunia itu pada Mac 2021 meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa dan memusnahkan lebih 10,000 pondok, termasuk sebuah hospital medan Turkiye.
Bulan lalu sahaja, Kementerian Pertahanan Bangladesh merekodkan sebanyak 222 insiden kebakaran di kem yang menempatkan kira-kira sejuta umat Islam Rohingya itu termasuk 60 kes pembakaran sepanjang tempoh Januari 2021 dan Disember 2022.
Kerajaan Bangladesh sebelum ini mendesak agar pelarian dipindahkan ke sebuah pulau terpencil di Teluk Bengal dengan mengatakan kem-kem di Cox's Bazar terlalu padat.
Sehingga kini, lebih 13,000 pelarian Rohingya telah dipindahkan ke Pulau Bhasan Char yang kerap dilanda banjir, selain turut menjadi laluan taufan. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca