KUALA LUMPUR - Anggota pasukan keselamatan bersenjata yang mengalami kemurungan di tempat kerja perlu dikenal pasti bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, kemurungan yang berlaku dalam kalangan anggota bersenjata boleh menjadi pembunuh senyap dan ia amat membimbangkan.
Menurutnya, setiap ketua di peringkat negeri, daerah dan balai perlu mengenal pasti anggota atau pegawai bawahan mereka disyaki mengalami kemurungan termasuk tekanan emosi.
"Dengan berlakunya kes melibatkan anggota polis bertindak di luar kawalan, saya yakin masih ramai lagi yang mengalami tekanan sewaktu sedang bertugas dan mereka memerlukan rawatan segera,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau mengulas mengenai beberapa kes tindakan di luar kawalan anggota polis hingga menyebabkan kematian baru-baru ini.
Shahul Hamid berkata, isu itu bukan tertakluk kepada anggota polis sahaja tetapi juga melibatkan semua anggota pasukan keselamatan melibatkan penggunaan senjata selain gerak-geri mereka perlu dipantau.
"Kita tidak boleh buat andaian, sebaliknya penyelesaian termasuk kaunseling perlu bagi memastikan anggota atau pegawai terlibat benar-benar pulih dan bebas daripada tekanan.
"Jangan biarkan tekanan emosi bersarang dalam jiwa kerana apa yang berlaku ketika ini sudah cukup menggambarkan betapa terdesaknya suspek sehingga sanggup melepaskan tembakan yang akhirnya meragut nyawa sendiri dan orang lain,” ujarnya.
Tegasnya, pemeriksaan harus dibuat bagi memastikan anggota terlibat kerja di lapangan tidak terlibat dengan dadah.
"Dadah juga boleh jadi punca, saya tidak kata semua tapi ini juga boleh menyebabkan sesiapa sahaja yang terdedah dengannya akan jadi tidak waras,” katanya.
Dalam tempoh dua minggu ini, berlaku dua kes tembakan melibatkan anggota polis iaitu di Bayan Lepas 19 Februari lalu hingga menyebabkan kematian seorang anggota polis berpangkat sarjan manakala terbaharu semalam di Kangar melibatkan kematian isteri suspek berpangkat Lans Koperal.
Sediakan ujian mental secara percuma Sementara itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan kerajaan agar menyediakan ujian mental secara percuma kepada kakitangan awam sekurang-kurangnya sekali setahun bagi membendung kejadian meragut nyawa berkaitan kemurungan.
Katanya, perkara itu dirasakan perlu kerana penjawat awam terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan tugas dengan mental yang stabil.
Jelasnya, ia kerana sedia maklum tugas sebagai PDRM sangat berisiko sehingga boleh menyebabkan kesihatan mental terganggu.
"Seperti kes baru-baru ini, anggota polis menembak mati isterinya.
"Suspek berkenaan mempunyai masalah mental sehingga mengakibatkan kejadian itu berlaku.
"Saya rasa aspek ini (mental) sangat penting oleh sebab baru-baru ini ada beberapa kes kematian anggota polis mungkin ada kaitan dengan mental.
"Jadi, mental ialah sesuatu yang patut diberikan perhatian berat,” kata Lam Thye kepada pemberita.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan seorang wanita telah maut dipercayai ditembak suaminya iaitu seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dalam kejadian di Kampung Bendang Baru Simpang Empat, Perlis.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, polis menerima laporan kejadian pada jam 7.26 pagi.
Ibu mangsa, Che Mas Taha, 63, berkata, anggota polis tersebut mengalami masalah kemurungan sejak beberapa tahun lalu.
Lam Thye turut mencadangkan agar pihak PDRM melakukan satu kajian dalaman bagi mengetahui tahap kesihatan mental anggotanya.
"Ini supaya satu strategi atau langkah-langkah boleh diambil untuk menangani tekanan di tempat kerja.
"Jika ada, PDRM boleh ambil golongan profesional untuk beri kaunseling kepada anggota yang ada masalah berkaitan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca