SHAH ALAM - Individu yang mengalami kemurungan teruk berisiko menghadapi psikosis dan delusi melampau serta boleh diibaratkan seperti bom jangka yang mampu mengancam nyawa sendiri selain orang terdekat. Presiden Persatuan Kesihatan Mental... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Individu yang mengalami kemurungan teruk berisiko menghadapi psikosis dan delusi melampau serta boleh diibaratkan seperti bom jangka yang mampu mengancam nyawa sendiri selain orang terdekat.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Datuk Dr Andrew Mohanraj menjelaskan, psikosis merupakan simptom kesihatan mental yang menyebabkan individu itu melihat, mendengar atau mentafsir sesuatu secara berbeza berbanding orang sekeliling.

"Individu yang mengalami kemurungan teruk mungkin mendengar suara halusinasi yang menyuruhnya membunuh diri atau orang lain. Biasanya rancangan itu boleh melibatkan membunuh orang lain sebelum diri sendiri.

"Delusi pula berlaku apabila seseorang mempunyai kepercayaan yang tidak masuk akal, pelik atau jelas tidak benar, contohnya orang lain dirasuk syaitan (maka) mesti dibunuh,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Andrew menjelaskan, kemurungan teruk boleh dirawat menerusi penggunaan ubat-ubatan dan psikoterapi selain memerlukan penilaian psikiatri forensik yang lengkap.

Jelas beliau, ujian berkenaan penting bagi menentukan sama ada motif pembunuhan disebabkan oleh akal yang tidak waras atau penggunaan bahan narkotik, tumor dan kecederaan otak atau penyakit lain.

"Oleh itu kami mengesyorkan sesiapa yang membawa senjata api termasuk anggota keselamatan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan mental secara berkala bagi memastikan sama ada selamat untuk mereka terus membawa senjata api.

"Keluarga terdekat juga harus diberi sokongan kesihatan mental untuk membantu menangani trauma psikologi mereka,” ujarnya.

Sementara itu, pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mohd Awang Idris memberitahu, kebanyakan individu kemurungan melihat semua perkara secara negatif termasuk menilai diri sendiri dengan kehinaan, hilang pengharapan dan seolah-olah sedang menanggung ujian hidup yang tidak berkesudahan.

"Orang yang murung biasanya berakhir dengan tindakan agresif, sama ada merosakkan orang lain atau membinasakan diri sendiri, boleh jadi bunuh diri sendiri atau mencederakan orang lain terutamanya orang terdekat.

"Di peringkat awal, mereka boleh dikenal pasti dengan perubahan tingkah laku (daripada) seorang yang periang kepada menyendiri, suka berkurung dalam bilik, elak bertemu orang lain. Lama-kelamaan ada yang mengalami halusinasi, berbual seorang diri.

"Oleh itu ahli keluarga atau rakan perlu faham perubahan ini, harus faham bahawa mereka ialah manusia yang berbeza, tidak keruan,” ujarnya.

KES TEMBAK DIRI SENDIRI, RAKAN ATAU KELUARGA MELIBATKAN

ANGGOTA POLIS 24 Oktober 2018 Seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala berhampiran kediaman anggota di Balai Polis Pekan Baru, Ipoh.

Mayat anggota polis yang belum berkahwin itu dijumpai dalam keadaan tertiarap di tepi longkang bersebelahan kediaman anggota bujang jenis semi-D dua tingkat.

19 JULAI 2020 Seorang konstabel polis dipercayai tidak sengaja tertembak rakan sejawatannya di sebuah rumah sewa di Sibu, Sarawak.

Mayat mangsa ditemui tersandar di sofa dengan kesan kecederaan akibat tembakan di kepala.

17 OKTOBER 2021 Seorang anggota polis lelaki berpangkat lans koperal ditemui maut dengan kesan tembakan di leher dalam sebuah kereta Proton Preve di lot meletak kenderaan di Pekan Muar, Johor.

Anggota berusia 29 tahun sebelum itu memuat naik pesanan di WhatsApp mengatakan ingin membunuh diri.

9 APRIL 2022 Mayat lans koperal berusia 35 tahun ditemui dengan kesan kecederaan pada kepala, dipercayai akibat tembakan sendiri di rumahnya di Taman King Fook, Jalan Utara, Tawau.

Sepucuk senjata api milik mangsa dijumpai bersebelahan mayatnya.

27 FEBRUARI 2022 Seorang pegawai polis berpangkat inspektor maut selepas dipercayai menembak dirinya sendiri di kepala dengan menggunakan pistol di sebuah rumah di Jalan Selingsing, Kuala Lumpur pada Ahad.

19 FEBRUARI 2023: Seorang anggota polis berpangkat sarjan maut selepas disyaki menembak diri sendiri dalam kejadian di pekarangan Balai Polis Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Mangsa berusia 51 tahun ditemui dengan tiga kesan tembakan di kepala, leher dan dada.

5 MAC 2023 Seorang suri rumah, Safsufarnisya Salleh maut selepas ditembak oleh suaminya yang merupakan anggota polis berpangkat lans koperal di Simpang Empat, Perlis.

Anggota polis berkenaan dipercayai mengalami kemurungan.

Klik di sini untuk terus membaca