MELIHAT kepada respons daripada pelbagai pihak, kontroversi filem Mentega Terbang akan diperkatakan buat beberapa lama lagi.
Dialog dan lakonannya jelas bertentangan dengan akidah Islam seperti yang diulas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurutnya, hasil penelitian Jakim mendapati dalam filem ini terdapat pertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.
Selain itu, para asatizah seperti mantan Menteri Agama, Dr Zulkifli Al-Bakri; pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun; personaliti Sidang Kalam, Ustaz Noor Derus dan personaliti Video React, Ustaz Syihabudin Ahmad termasuk pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Anuar telah tampil untuk menegur terhadap kandungan filem itu.
PPIM, Wanita UMNO, Pas dan Seniman, turut menggesa pihak berwajib mengambil tindakan.
Lapan laporan polis telah dibuat di seluruh negara dan PDRM telah membuka satu kertas siasatan di bawah tiga seksyen undang-undang. Finas dan SKMM turut membuat kajian menurut ruang lingkup tanggungjawab masing-masing.
Menariknya ialah bilamana Zabidi Mohamed, seorang bekas peguam dan majistret yang yang juga seorang penulis dalam industri kreatif telah disaman oleh penerbit, pengarah dan penulis skrip filem itu kerana lantang mengkritik Mentega Terbang.
Bagaimanapun, kita belum tahu apakah naskhah itu adalah sebuah agenda terancang untuk memperlekeh agama Islam mahupun mempersendanya tanpa bukti-bukti nyata menurut undang-undang hingga perbicaraan dijalankan dan hukuman dijatuhkan.
Saya cenderung untuk melihat kontroversi filem ini berpunca daripada discipline myopia atau rabun disiplin para pembikinnya.
Discipline myopia adalah sindrom yang dialami oleh sesiapa sahaja yang terlalu mengagungkan disiplin ilmu yang dianuti.
Sesiapa sahaja boleh terjerlus ke dalam situasi ini akibat taasub bahawa ilmu yang diterokai itu mengatasi ilmu-ilmu yang lain.
Kita lihat dalam bidang perubatan allopathy misalnya, kerap berlaku bilamana terdapat dalam kalangan pengamalnya yang tidak meyakini perubatan lain seperti ayurveda dan akupuntur meskipun terdapat banyak bukti-bukti keberkesanannya.
Pakar perakaunan dan ekonomi di dalam sesebuah syarikat yakin cara penjimatan yang efektif ialah dengan cara pembuangan pekerja.
Tetapi bagi pakar sumber manusia pula, pekerja dilihat sebagai aset tenaga manusia yang mampu mengukuhkan syarikat.
Seseorang jurutera sivil boleh mengambil keputusan untuk meredah kawasan tadahan hujan untuk membina lebuh raya kerana ia menjimatkan jarak sehingga 100 kilometer. Pandangannya tentu sekali bertentangan dengan pendirian pakar sains alam sekitar.
Dalam bidang seni, discipline myopia memang kerap berlaku dalam kalangan para penggiatnya. Atas nama seni, banyak pelanggaran kepada disiplin ilmu-ilmu lain kerana seni itu dianggap bebas lepas melangkaui undang-undang dan segala hukum; tidak keterlaluan juga hukum-hukum agama.
Berbalik kepada filem Mentega Terbang, saya sendiri pada mulanya bingung memikirkan apa makna mentega terbang itu sendiri. Namanya sahaja ‘tidak boleh jual’ jika dilihat dari sudut komersial popular. Namun para pembikinnya melihat ia dari sudut seni.
Lalu, nama Mentega Terbang diterjemah langsung daripada bahasa Inggeris iaitu Butterfly. Oleh kerana seni diutamakan, maka nama itu kelihatan artistik.
Setelah menonton filem dan meneliti beberapa ulasan di laman-laman internet, banyak sekali kontroversi yang ditayangkan hingga saya kerap terganggu dengan apa yang disampaikan. Dari sudut seni, filem itu bagus kerana bisa memprovok fikiran.
Tetapi hal agama ini amat sensitif kepada semua agama. Atas nama seni dan jalan cerita, kita tidak boleh tunjukkan sekumpulan orang Hindu memakan daging lembu atau orang Kristian mematahkan salib.
Walaupun terdapat amalan-amalan yang dilihat tidak logik melalui akal dalam apa jua agama, ia adalah pegangan.
Dalam Islam ia dinamakan iman. Iman adalah sesuatu yang spiritual yang tidak kena dikupas secara tuntas dan dipersoal dari sudut seni filem.
Ia berada di aras yang berbeza dari hal-hal keduniaan. Hal-hal agama bukan sahaja ada batasnya tetapi ia kukuh bertembok.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca