KUALA LUMPUR - Didera, dihina, dipukul dan diganggu secara seksual. Itulah antara penderitaan yang dialami golongan wanita di negara ini yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Walaupun tujuan perkahwinan adalah untuk membina keluarga bahagia, namun statistik Polis Diraja Malaysia membuktikan isu suami dera isteri tidak boleh dipandang ringan apabila sebanyak 30,346 kes keganasan rumah tangga direkodkan bagi tempoh lima tahun sejak 2018.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, antara punca kejadian adalah masalah kewangan, terlibat dalam penyalahgunaan dadah, tekanan perasaan dan cemburu.
Katanya, isteri bukan untuk disakiti dan kebanyakan wanita yang terlibat sebagai mangsa kes keganasan rumah tangga, berdepan dengan masalah ini sejak bertahun lamanya.
"Namun, laporan polis hanya dibuat apabila terjadinya insiden yang mereka (mangsa) tidak dapat bertahan lagi untuk menanggungnya atau suatu kejadian melibatkan kecederaan lebih serius berbanding sebelumnya," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, mangsa yang terkesan dengan masalah keganasan rumah tangga disarankan untuk mendapatkan nasihat atau mencari penyelesaian sebelum isu menjadi lebih parah.
Jelas beliau, antaranya mendapatkan khidmat nasihat pihak yang mempunyai kepakaran seperti pegawai psikologi atau kaunseling.
"Mangsa juga perlu mengetahui hak mereka dari sudut perundangan dan harus mengetahui ada agensi yang boleh membantu mereka seperti kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital serta pihak polis dalam memberi nasihat bagi mencari solusi kepada masalah dihadapi,” ujarnya menjelang Hari Wanita Antarabangsa 2023 yang disambut hari ini.
Dari masa ke masa, rakyat Malaysia terus dikejutkan dengan kes keganasan rumah tangga termasuk insiden terbaharu apabila seorang pelakon ditahan bagi membantu siasatan kes menumbuk isterinya di kawasan Rawat & Rehat Sungai Buloh, Selangor minggu lalu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan isteri kepada pelakon itu membuat laporan polis pada Jumaat lalu, mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera pada bahagian mata.
Sementara itu, Presiden Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (Witus), Shiella Tukimin berkata, wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga perlu segera membuat aduan kerana penderaan emosi serta fizikal yang dibiarkan terlalu lama akan memusnahkan diri individu itu sendiri.
"Kebiasaannya wanita yang menjadi mangsa akan hidup dalam ketakutan dan membiarkan perkara itu berlaku kerana berasa kasihan terhadap pasangan serta anak-anak.
"Perkara tersebut tidak boleh lagi menjadi pegangan wanita hari ini. Mereka mesti bertindak segera dengan menghubungi pejabat atau pergi ke agensi kerajaan bagi mendapatkan bantuan,” ujar beliau.
Shiella berkata, kekurangan sumber kewangan adalah antara punca kepada masalah ke-ganasan rumah tangga tanpa mengira lelaki atau wanita.
Menurutnya, perkara tersebut menjadi lebih teruk apabila berlakunya pandemik Covid-19 dua tahun lalu sekali gus meningkatkan kes penderaan dan perceraian.
"Peningkatan kes perceraian berpunca daripada keadaan ekonomi setiap pasangan. Ketika bujang, walaupun mereka kurang stabil tetapi masih terkawal.
"Pertambahan komitmen seperti makanan, lampin anak dan keperluan keluarga menyebabkan emosi terganggu,” jelasnya.
Shiella berkata, komitmen kewangan bukan perkara yang mudah kerana ia akan lebih teruk selepas berlaku proses per-ceraian.
Beliau turut menggesa pihak kerajaan melakukan langkah efektif bagi mengatasi masalah tersebut dan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat membantu mereka yang memerlukan.
"Biasanya, apa yang kita hadapi adalah tiada ketelusan dalam pembayaran nafkah.
"Kerajaan perlu beri peluang kepada NGO yang aktif supaya geran atau dana dapat membantu golongan wanita yang teraniaya,” kata beliau.
KES KEGANASAN RUMAH TANGGA
2022: 6,540 kes
2021: 7,468 kes
2020: 5,260 kes
2019: 5,657 kes
2018: 5,421 kes
JENIS KEGANASAN RUMAH TANGGA
FIZIKAL
Menyebabkan kesakitan atau cedera pada tubuh seperti memukul, menumbuk, menampar, menolak, menarik, mencengkam dan membaling objek.
EMOSI
Membuatkan mangsa rasa tidak bernilai dengan cara menghina, mengugut dan lain-lain sehingga mangsa menjadi trauma.
KEWANGAN
Mengambil duit dan harta isteri atau merosakkan barang-barang dengan niat untuk menakut-nakutkan dan mengakibatkan kesedihan kepada mangsa.
SOSIAL
Pengasingan sosial, pergerakan disekat, komunikasi dengan pihak lain dihalang atau tidak dibenarkan bergaul dengan jiran dan rakan-rakan.
SEKSUAL
Memaksa atau mengancam mangsa untuk melakukan hubungan seksual tanpa rela.
PUNCA
- Tekanan perasaan
- Baran
- Masalah kewangan
- Penyalahgunaan dadah
- Cemburu
Klik di sini untuk terus membaca