‘JANJINYA tak boleh dipercayai, cakapnya tak boleh dipegang.’
‘Mereka semua sama sahaja, dua kali lima.’
Membaca frasa-frasa di atas sekali lalu sahaja sudah memadai untuk membolehkan kebanyakan orang meneka kepada siapa ia ditujukan.
Kalau bukan kepada lelaki, sudah tentu kepada ahli politik. Secara lazim, kepada kedua-duanya sekali!
Tetapi perihal janji lelaki tidak perlu dibawa berbincang. Biarkan sahaja.
Lambat laun pasangan mereka akan hebahkan juga di media sosial. Yang seronok untuk dijenguk adalah janji ahli politik.
Tidak siapa tahu bila label-label negatif seperti yang terkandung dalam frasa di atas itu disinonimkan dengan pemimpin-pemimpin politik.
Tidak diketahui siapa yang memulakannya dan siapa pula yang menjadi punca.
Yang saya tahu, sedar-sedar label itu telah mengekori setiap pemimpin secara tangkap borong. Hakikat bahawa bukan semua pemimpin boleh dilabelkan demikian tidak dipedulikan.
Kata guru saya, ada dua sebab kenapa label negatif itu ditampal pada pemimpin-pemimpin politik. Pertama kerana sikap pemimpin yang suka berjanji, dan kedua, sikap rakyat yang suka kepada pemimpin yang suka berjanji.
Kata guru saya lagi, tanpa janji pemimpin politik bukanlah apa-apa, dan bukan juga siapa-siapa.
Lambat juga saya hendak menghadamnya. Namun setelah menjadi sebahagian daripada orang politik, saya mula faham.
Jika bakat kepimpinan sebesar gunung sekalipun, seseorang itu tidak akan ke mana-mana kalau setakat pandai bersalam, pandai makan kenduri, pandai menziarah orang mati dan pandai bercakap, tetapi tidak pandai berjanji.
Dia mungkin dipuji, tetapi belum tentu akan dipilih kerana dalam pemilihan, pilihan raya misalnya, khalayak lebih berminat untuk mendengar janji yang dibuat oleh calon dan parti yang diwakilinya.
Sebab itulah peranan manifesto sangat penting dalam pilihan raya kerana manifesto adalah satu ‘himpunan’ janji. Semakin menarik janji yang diberi, semakin tertariklah rakyat untuk memberi undi.
Untuk menjadi hebat, atau sekurang-kurangnya kelihatan hebat, pemimpin mestilah memberi apa yang rakyat suka.
Jika rakyat sukakan janji, maka janji jugalah yang pemimpin beri. Di sinilah masalah bermula. Pemimpin akan ke sana ke mari menabur janji, rakyat pula ke sini ke sana mengutipnya.
Janji adalah pencetus impian dan penghidup harapan. Anak-anak, kalau dijanjikan akan dibawa pergi bercuti atau dibelikan sesuatu, akan tak lelap tidur kerana mengimpikannya.
Demikian juga dengan isteri, jika dijanjikan emas seurat dua atau barangan berjenama, pukul tiga pagi pun mungkin dia masih bermesej sambil bertukar-tukar cerita dengan kawan atau jiran tetangga.
Kadang-kadang apa yang dijanjikan itu tidak perlu terlalu hebat. Anak-anak sudah cukup gembira kalau dijanjikan petang nanti kita akan layan mereka menghadap game komputer. Isteri telah cukup seronok kalau kita berjanji akan balik awal.
Tetapi keseronokan dan kegembiraan itu akan bertukar serta-merta apabila kita gagal menunaikan janji.
Melainkan kita disokong oleh alasan yang benar-benar munasabah, mereka tidak akan dapat menerimanya.
Sekalipun muka mereka kelihatan selamba, di dalam hati belon-belonnya mungkin banyak tidak terkira.
Demikian jugalah dalam soal janji pemimpin kepada rakyat.
Pemimpin mempunyai sebab untuk terlupa akan janji-janjinya; misalnya kerana terlalu sibuk atau kerana janji itu terlalu banyak, namun rakyat pula mempunyai sebab untuk mengingatinya.
Ini kerana apabila janji itu diberi, harapan dan impian mereka terhadap apa yang dijanjikan itu mula hidup.
Dan apabila harapan itu mati, pemimpin kenalah bersedia untuk lari!Sebab itulah kepada yang sedang memimpin atau yang mahu menjadi pemimpin, biasa-biasakanlah diri untuk menyukat janji.
Biar berkurang, jangan terlebih. Pesan guru saya, jangan berikan janji, tetapi berikan komitmen.
Katanya, ada beza antara ‘saya berjanji akan selesaikan masalah tuan-tuan’ dengan ‘saya komited untuk selesaikan masalah tuan-tuan’.
Tetapi apabila saya bertanya, bukankah mengikrarkan komitmen itu juga satu bentuk janji, dia berkata, "Lain kalilah saya jawab, sekarang nak cari duit bagi anak ambil lesen motor.
Hari tu mati-mati ingat lesen percuma untuk semua B40, rupa-rupanya untuk B40 tertentu sahaja.”
"Eh, sejak bila pula cikgu jadi B40? Masa turun daripada T20 ke M40 sebab Covid-19 tu saya tahulah.”
"Sejak harga ayam naik, harga telur naik, harga sayur naik dan harga minyak tak turun-turun,” jawabnya.
Saya diam. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca