PROGRAM Town Hall Rakyat bersama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 300 pengunjung ke Kompleks Karangkraf pada Isnin.
Program yang julung kali dianjurkan Sinar Harian itu melibatkan sesi soal jawab antara Fahmi dan penonton yang hadir bagi membincangkan pelbagai isu antaranya kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi, keselamatan siber dan jaringan internet di kawasan luar bandar.
Ikuti pelbagai kupasan lebih lanjut dan menarik oleh jurucakap Kerajaan Perpaduan itu dalam program Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh pelakon terkenal tanah air, Azhar Sulaiman.
SOALAN: Mengapa filem Mentega Terbang diluluskan kerajaan sedangkan filem itu menghina agama Islam?
FAHMI: Filem ini bukan diluluskan sekarang, ia sudah mula ditayangkan sejak 2021, malah saya percaya mungkin lebih awal.
Apabila selidik, filem ini tidak menggunakan dana kandungan digital Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Finas pun sebelum ini tidak dimaklumkan tentang filem itu. Itulah sebabnya Finas sekarang sedang siasat.
Mana-mana pihak yang ingin buat penggambaran filem, mereka perlu lulus permit, lesen. Kita dah dengar daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, difahamkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menyiasat tentang filem tersebut.
Platform Viu menayangkan filem ini tetapi saya difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah berhubung dengan pihak Viu dan filem ini telah diturunkan.
Siasatan diteruskan dan sekiranya PDRM mendapati ada pelanggaran, maka tindakan boleh diambil. Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan pada hari ini sangat tegas dalam isu kepatuhan kepada undang-undang sedia ada.
Saya ingin beri peringatan kepada semua walaupun kita nak jadi pembikin filem indie, kita masih ada undang-undang yang terpakai kepada apa-apa karya yang dihasilkan. Jadi kita perlu hormat undang-undang itu.
Walaupun ia ditayangkan sebelum saya jadi menteri, tapi saya tidak mahu mengelak, kita akan ambil tindakan sekarang.
SOALAN: Kawasan pedalaman sukar dapat liputan internet apakah ada tindakan yang akan diambil oleh Yang Berhormat (YB) untuk selesaikan isu ini?
FAHMI: Ia satu isu yang sangat mencengkam dan perkara yang saya tegaskan kepada SKMM terutama di beberapa negeri khususnya Sarawak dan Sabah.
Antara lain isunya apabila kita buat kiraan tentang liputan, bermaksud ada menara. Tetapi ada menara tidak bermaksud di dalam bangunan itu ada liputan.
Ada satu lagi masalah iaitu di kawasan yang mempunyai geografi mencabar seperti gunung-ganang, hutan belantara yang agak luas dan komuniti terpencil.
Mungkin penyelesaian dari segi penyambungan (internet) tidak semestinya hanya dengan pemasangan menara. Inilah sebabnya bila kita sebut tentang isu tiga peratus kawasan berpenduduk terakhir yang belum lagi terhubung (dengan internet).
Kita akan ikhtiar dengan menggunakan broadband wireless access (BWA) seperti satelit atau mungkin kita akan teliti TV Wide Space dan beberapa teknologi lain yang akan membantu menyediakan akses.
SOALAN: Filem dan media dalam talian seperti tidak ada saringan langsung. Jadi, apa peranan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam menyaring kandungan sensitif dalam filem?
FAHMI: Ia merangkumi dua aspek berbeza. Satu ialah pelesenan, kedua melibatkan saringan. Saringan bukan dari segi penapisan. Itu adalah bidang tugas Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Mungkin di situ kita perlu ada perbincangan. Memang dengan peralihan zaman dan perubahan yang berlaku, mungkin peraturan atau syarat yang dulu perlu ditambah baik.
Jadi, di pihak KKD di bawah SKMM ada beberapa perkara sedang dipertimbangkan tetapi belum sedia umum secara terperinci kerana kita sedang buat kajian.
SOALAN: Kini filem ditayangkan di penstriman dalam talian makin dapat perhatian rakyat ekoran akses kepada platform itu juga lebih mudah. Apakah perancangan KKD untuk mengawal selia dan menyelaras kandungan filem dalam tempoh terdekat untuk memastikan filem seperti Mentega Terbang tidak terlepas lagi?
FAHMI: Sebelum timbul isu (filem Mentega Terbang), saya sendiri telah bertemu dengan pihak Viu dan sesi perbincangan seperti ini membantu untuk kita wujudkan satu suasana persefahaman.
Kita faham kekangan mereka yang mengusahakan syarikat atau perkhidmatan dalam talian. Kita juga faham mereka tidak mahu melanggar undang-undang. Jadi proses perbincangan itu sangat penting dan itulah sebenarnya yang akan lebih memudahkan.
Apabila perkara itu dikesan lebih awal, ada tindakan diambil. Dikesan awal bermaksud melibatkan isu-isu yang dibangkitkan. Saya juga perlu mengucapkan terima kasih kepada pasukan di Viu kerana mereka faham dan mengambil tindakan segera.
Saya juga nak jelaskan, SKMM tidak keluarkan arahan kepada Viu (untuk menurunkan filem Mentega Terbang), tetapi mereka sendiri ambil tindakan.
Ini satu bentuk kerjasama positif dan bagi saya, mana-mana penyedia perkhidmatan penstriman digital bersedia bekerjasama dengan kerajaan.
SOALAN: Bolehkah perluas langkah membuat aduan kepada SKMM dalam bentuk sistem pesanan ringkas (SMS) supaya lebih memudahkan warga emas dan golongan yang kurang terdedah dengan teknologi digital untuk membuat aduan?
FAHMI: Sebagai seorang ahli Parlimen, hampir setiap perbahasan tentang belanjawan atau usul menjunjung kasih titah Tuanku, ramai ahli Parlimen akan bangkitkan masalah internet di kawasan masing-masing.
Jadi, jangankan orang biasa, ahli Parlimen pun mempunyai kesukaran untuk membuat aduan kepada SKMM.
Jadi, saya ambil maklum perkara ini dan Insya-ALLAH kita akan usahakan yang lebih baik selepas ini.
SOALAN: Apa komitmen YB terhadap keselamatan pengguna internet daripada keganasan dalam talian dan apa indikator kementerian untuk ukur akses internet?
FAHMI: Saya dapati memang ada beberapa perkara yang membimbangkan. Contohnya, isu scammer, hampir setiap hari saya akan dimasukkan dalam grup Telegram mengenai pelaburan dan sebagainya.
Ia sebenarnya tidak terhad kepada Telegram, malah bukan isu scammer sahaja.
Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengeluarkan kenyataan tentang kemunculan satu kumpulan yang terkait dengan Islamic State yang membawa fahaman ekstremis dan radikal yang boleh membahayakan keselamatan.
Maka, kita pantau semua saluran. Kita tidak mahu fahaman ekstremis (masuk dalam negara), jadi ia perlu ditangani segera.
Tapi berkait isu seperti scammer, pornografi dan pedofilia, ada yang mengambil kesempatan dalam platform ini untuk mereka terus beroperasi.
Saya berhasrat untuk bertemu dengan penyedia perkhidmatan ini dengan segera untuk memberi kata dua.
Berkenaan indikator pula, ia melibatkan aspek literasi digital atau celik digital. Ini merangkumi banyak perkara sama ada individu tersebut tahu macam mana nak buat aduan atau tahu cara buat pembayaran dalam talian.
SOALAN: Apa teras yang menjadi keutamaan kementerian untuk bergerak ke hadapan?
FAHMI: Hasrat saya adalah untuk menyelesaikan tiga teras utama. Pertama ialah prasarana, (ini) mesti diselesaikan. Kedua merupakan aspek keselamatan siber.
Jika prasarana seperti jalan, keselamatan siber pula diibaratkan sebagai pengadang jalan supaya kita tidak jatuh ke dalam jurang.
Ini melibatkan CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi. Kedua-dua agensi ini sangat penting untuk keselamatan kita sewaktu menggunakan infrastruktur telekomunikasi dan internet.
Jadi, ikhtiar saya adalah untuk memperkasakan CyberSecurity Malaysia untuk menjadi sebuah suruhanjaya keselamatan siber, manakala bagi Jabatan Perlindungan Data Peribadi, saya ingin menegaskan bahawa data adalah khazanah negara yang tidak akan terhapus.
Klik di sini untuk terus membaca