SHAH ALAM- Pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2021 yang diluluskan di Parlimen turut membela nasib wanita termasuk mangsa keganasan rumah tangga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, akta tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Jelasnya, satu garis panduan berkenaan undang-undang tersebut akan disediakan bagi menjadi rujukan kepada mangsa keadaan.
"Kita akan laksanakan Akta Gangguan Seksual. Ia sudah lulus, esok (Rabu) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan merasmikan garis panduan sempena Hari Wanita.
"Kita akan bekalkan garis panduan supaya apabila ia dilaksanakan nanti, semua pihak akan berhati-hati bagaimana nak tangani sesuatu di sekeliling mereka.
"Ia juga melibatkan suami isteri. Bergantung kepada apa yang dilakukan si suami atau isteri yang boleh menyebabkan kegusaran dan mendatangkan kesan (kepada mangsa),” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sejak kebelakangan ini, banyak kes melibatkan penganiayaan terhadap wanita dan keganasan rumah tangga.
Terbaharu, kes seorang pelakon yang didakwa menumbuk isterinya dan seorang wanita maut dipercayai ditembak suaminya.
Tegas Nancy, pelbagai alternatif dilakukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk membangkitkan wanita daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Jelasnya, antaranya adalah program MATAHARI (Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita) dan IRIS (Literasi Perundangan dan Hak Wanita) yang telah diperkenalkan melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
"Kita sentiasa membuat program yang memperkasakan wanita. Ia membolehkan seseorang wanita bertindak apabila menjadi mangsa.
"Aktiviti IRIS dan MATAHARI mengajar wanita tidak seharusnya gentar dengan apa sahaja yang (masalah) datang kepada mereka,” jelasnya.
Kata Nancy, Skuad Waja yang dilancarkan pada tahun 2021 merupakan antara inisiatif bagi memperkasakan golongan itu.
"Apabila diperkasa, mereka (wanita) mempunyai keyakinan diri. Malah mereka yang hadir pada latihan, semangat untuk melawan dan bantu masyarakat yang menjadi mangsa.
"Kita sediakan ini kepada golongan wanita kerana tidak mahu mereka diseksa dan sengsara. Kita nak wanita maju ke hadapan,” ujarnya.
Selain itu, kata Nancy, bagi isteri yang telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga, KPWKM menyediakan talian kasih untuk mendapatkan khidmat nasihat.
"Talian Kasih kita adalah 15999. Kaunselor akan cakap apa yang boleh dilakukan dan berikan nasihat,” katanya.
Tambah beliau, mangsa juga boleh menggunakan khidmat one stop crisis centre yang disediakan di kebanyakan hospital.
"Pusat ini untuk mendapatkan bukti kalau berlaku keganasan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca