MELAKA - Meskipun lebih 20 tahun peristiwa hitam menjadi mangsa keganasan rumah tangga berlalu, namun insiden itu tetap segar dalam ingatan buat ibu tunggal ini.
Salbiah Abdul Hamid, 56, berkata, setiap kali mendengar kes penderaan tidak kira membabitkan wanita atau kanak-kanak, pasti badannya menggigil sehingga mengalirkan air mata.
Menurutnya, biarpun telah memaafkan perbuatan bekas suaminya itu, namun hingga kini bekas luka akibat perubatan lelaki tersebut tetap ada dan sukar untuk dipadamkan.
Katanya, dijodohkan dengan suaminya yang bersikap panas baran dan kuat cemburu menyebabkan hidupnya selama berbelas tahun ibarat dalam neraka.
"Sepak, tampar, terajang dan dipukul menjadi makanan saya hampir setiap hari. Pernah juga saya dipukul dengan tali brek basikal.
"Bukan tidak mahu mengadu atau membuat laporan tetapi zaman awal 1980-an pendedahan tentang keganasan rumah tangga kurang dan saya anggap itulah ujian dalam perkahwinan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Spa Koperasi Ibu Bistari Melaka Berhad di Pertama Jaya di sini, pada Isnin.
Ibu kepada lima orang anak itu berkata, bekas suaminya bukan sahaja mengongkong kehidupan mereka, malah MyKadnya turut disorokkan hingga sukar untuk dia membuat sebarang laporan polis dan sebagainya.
Ujar Salbiah, bekas suaminya itu sering bertukar pekerjaan dan gemar membesarkan hal remeh malah ketika berada di luar, dia tidak segan silu memukulnya.
"Kadangkala hanya hal kecil. Bila ada yang senyum kepada saya, itu pun jadi satu kesalahan kepada dia. Dia sangat cemburu.
"Kalau saya makan dengan ahli keluarga lelaki, contoh hanya tolong senduk nasi ke pinggan orang lain pun dia akan marah dah pukul saya,” katanya.
Jelas Salbiah, dalam tempoh perkahwinan lebih 14 tahun dan dikurniakan dua orang anak, dirinya cuba untuk bercerai namun proses itu menjadi begitu sukar pada masa tersebut.
"Akhirnya, dia menceraikan saya di luar mahkamah atas alasan mahu berkahwin dengan wanita lain,” jelasnya.Salbiah yang berasal dari Taiping, Perak kemudian mendapat peluang kedua jalan bahagia dengan mendirikan rumah tangga bersama seorang lelaki dari kampungnya.
"Bagaimanapun, jodoh kami tak panjang. Alhamdulillah, selepas kegagalan kali kedua, saya berhijrah ke Kuala Lumpur sebelum berpindah di Melaka tempat asal bekas suami pertama.
"Walaupun saya bukan orang Melaka, namun bersyukur hidup saya berubah di negeri ini. Saya berdikari dan mampu membantu wanita lain,” katanya lagi.
Ujarnya, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk siang bekerja sebagai tukang cuci dan malam bekerja sebagai pengawal keselamatan demi membesarkan empat orang anak yang dibawa bersamanya.
"Nasihat saya, jika sebelum kahwin dah nampak pasangan itu ‘kaki perempuan’ lupakanlah kerana di alam rumah tangga, belum tentu dia akan berubah jadi baik,” katanya.
KISAH 5 - Tujuh tahun biar tubuh disakiti
KUANTAN - Ibu kepada dua anak ini sanggup hidup bersulam air mata demi menjaga keutuhan rumah tangga yang dibina sejak 10 tahun lalu atas dasar cinta.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Izana, 42, mengakui sanggup membiarkan tubuhnya disakiti, didera fizikal dan mental selain dicaci oleh bekas suami daripada memikirkan jalan perceraian.
"Pada awal perkahwinan, saya bahagia, namun selepas tujuh tahun suami mula menunjukkan sikap panas baran dan cemburu.
"Saya tidak dibenarkan bekerja dan bercakap dengan mana-mana lelaki. Jika tidak saya akan dipukul, disepak dan diterajang semahunya. Bukan itu sahaja, apabila dia ada masalah ditempatkan kerja, saya akan menjadi tempat melepas amarah.
"Saya pernah patah kaki sebelah kanan akibat dipukul dengan objek keras oleh bekas suami. Ketika itu, saya dibiarkan meronta-ronta dalam kesakitan sehingga terpaksa mendapatkan bantuan daripada jiran,” katanya.
Izana yang berasal dari Beserah di sini, memberitahu, pernah membuat laporan polis angkara perbuatan bekas suaminya.
Namun dia terpaksa menarik balik laporan tersebut selepas dipujuk keluarga bekas suami dan berjanji memulakan hidup baru.
"Sebulan selepas itu, badan saya disakiti lagi. Kali ini kepala dihantuk berkali-kali ke dinding dan badan lebam badan akibat ditumbuk. Saya juga pernah diacukan dengan kapak,” luahnya.
Akhirnya, Izana nekad membuat laporan keganasan rumah tangga dan cuba mendapat perlindungan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Klik di sini untuk terus membaca