JOHOR BAHRU - Tujuh tahun bukanlah masa yang singkat, namun sepanjang tempoh itulah Syakilla terpaksa menahan derita apabila dirinya sering menjadi tempat melepaskan amarah oleh suaminya, Rashid.
Boleh dikatakan hampir setiap hari Syakilla terpaksa menanggung kesakitan akibat disepak terajang oleh Rashid sehinggakan dia sentiasa trauma.
Menurut Syakilla, 38, dia mengenali Rashid ketika mereka bercuti bersama rakan masing-masing di sebuah pusat peranginan di Pantai Timur pada tahun 2008.
Sejak itu, dari sehari ke sehari hubungan mereka semakin rapat. Mereka kemudian mengambil keputusan untuk bertunang dan seterusnya mendirikan rumah tangga pada tahun yang sama.
"Sebaik mendirikan rumah tangga, saya berhenti kerja di sebuah firma guaman kerana mengikut suami berpindah ke utara tanah air.
"Pada awal perkahwinan kami, semuanya indah belaka. Rashid menguruskan perniagaannya seperti biasa sementara saya berniaga nasi lemak di hadapan rumah sewa kami.
"Sehinggalah pada suatu hari apabila doktor mengesahkan saya tidak boleh mengandung. Selepas itu, sikap Rashid mula berubah.
"Dia yang dulunya seorang ceria kini bertukar menjadi pendiam. Sampaikan di meja makan pun tidak ada sepatah kata yang keluar daripada mulutnya kecuali jika hendak meminta nasi atau lauk,” ceritanya.
Tambah Syakilla, perkara yang ditakuti akhirnya berlaku juga apabila pada suatu malam, sekembalinya dari kerja Rashid buat pertama kalinya telah menampar selain mengherdik Syakilla dengan kata-kata kesat dan menuduh isterinya itu sebagai punca perniagaannya gagal.
Katanya, dia kemudian mendapat tahu tingkah laku Rashid berubah disebabkan perniagaannya telah bankrap akibat ditipu rakan karibnya sendiri.
"Kehilangan punca pendapatan utama keluarga menyebabkan sikap panas baran Rashid semakin menjadi-jadi. Pantang silap sikit tubuh sayalah yang jadi tempat hinggap sepak terajangnya.
"Dia tuduh disebabkan saya tidak boleh mengandung, perniagaannya bankrap.
"Bermula saat itu, saban hari tubuh saya seakan menjadi punching bag buatnya. Namun di sebalik kesemua kesakitan itu, perkara paling sedih adalah apabila dia menuduh sayalah punca perniagaannya jatuh,” tambah Syakilla.
Menurut Syakilla, biarpun tidak tahan dengan kelakuan Rashid, namun dia masih bersabar selain mencadangkan agar Rashid mencari kerja bagi membantu menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Namun ia hanya bertahan beberapa bulan dan selepas itu suaminya berhenti kerja.
Syakilla akhirnya nekad untuk berpisah dengan Rashid dan kembali ke pangkuan keluarganya di Pantai Timur bagi memulakan hidup baharu.
"Ketika mengetahui hasrat berkenaan, Rashid tidak putus-putus memujuk rayu saya dan berjanji untuk berubah.
"Bagaimanapun, saya sudah nekad untuk berpisah dengannya,” katanya.
KISAH 2 - 19 tahun azab bersuamikan lelaki cemburu buta
KOTA BHARU - Hajat untuk mengecapi bahagia bersama suami yang dinikahi menerusi perkahwinan kedua musnah bahkan hidup seorang wanita bertukar umpama neraka apabila menjadi mangsa sepak terajang suami selama 19 tahun akibat cemburu buta.
Dia yang merupakan isteri kedua dikenali sebagai Nurul, 50, menceritakan kisah malang dirinya sering cedera, luka dan lebam di muka serta anggota badan kerana terkena pukulan daripada kudrat lelaki yang beza usia lima tahun daripadanya.
Menurut ibu empat anak itu, sikap panas baran suaminya terserlah selepas empat tahun usia perkahwinan.
"Suami saya cemburu dan marah-marah kalau tak sempat jawab telefon atau saya bercakap dengan kawan-kawan. Tersalah menjawab sikit pun terus kena cekik, tampar dan terajang.
"Dia buat saya macam sampah. Pukul saya dan memaki hamun di depan orang ramai malah keluarganya sendiri. Nafkah wang ringgit jarang sekali diberikan,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam keadaan berkali-kali batin dan emosinya diremukkan oleh lelaki itu, Nurul meneruskan kehidupan demi anak-anak. "Sebagai isteri, saya tetap beri layanan yang baik, menjaga makan, pakai dan tempat tidurnya.
"Saya juga memenuhi tuntutan syahwatnya tetapi hati saya kosong, saya tak rasa apa-apa. Sehingga suatu hari saya nekad melarikan diri pulang ke rumah keluarga,” ceritanya.
Luah Nurul, sejak itu, dia tidak lagi pulang ke rumah suaminya di Pintu Geng dan tinggal di rumah keluarga selama tiga tahun sebelum lelaki yang bekerja sebagai pencanting batik itu datang melafazkan cerai sebulan sebelum dia meninggal dunia.
KISAH 3 - Rumah tangga runtuh akibat panas baran
IPOH - "Saya mengharapkan dia berubah, namun semua itu tidak menjadi kenyataan dan membuatkan saya nekad untuk berpisah," kongsi seorang wanita yang pernah menjadi mangsa keganasan suami, lebih enam tahun lalu.
Ibu kepada empat cahaya mata yang mahu dikenali sebagai Wahida, 34, dari Bagan Serai itu berkata, bahtera perkahwinan yang dibina atas dasar cinta kecundang gara-gara sikap suami yang panas baran.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, apabila timbul sahaja masalah, dirinya dijadikan mangsa pukul dan dibelasah tanpa belas kasihan sehingga menimbulkan rasa takut dan trauma.
"Sikap suami mula berubah ketika kelahiran anak kedua kami. Salah sedikit, naik tangan, boleh dikatakan sepak terajang dah macam jadi habuan hari-hari.
"Ada ketikanya sampai saya cedera di kepala dan tak berdaya untuk bangun. Saya tak maklumkan kepada keluarga kerana takut mereka bimbang," katanya.
Wahida berkata, sepanjang perkahwinan, suaminya itu tidak mempunyai pendapatan tetap selain terjebak dengan aktiviti kurang sihat.
Katanya, sikap suka berfoya-foya suami juga menyebabkan hubungan kekeluargaan mereka semakin terabai.
"Cukuplah 10 tahun hidup begini, lahir sahaja anak keempat, saya putuskan sudah tidak mahu lagi hidup bersamanya.
"Berkat sokongan dan campur tangan keluarga kedua-dua pihak, kami akhirnya berpisah pada 2017. Suami pernah merayu mahu kembali, tetapi hati saya sudah tawar," katanya.
Wahida yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan mengakui sedang hidup bahagia dengan perkahwinan kedua yang dibina dua tahun lalu.
Dia mengharapkan perkahwinan kali ini membawa sinar baharu dalam kehidupannya.
Klik di sini untuk terus membaca