SHAH ALAM - Lewat petang Rabu, spekulasi bertiup kencang mengatakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seterusnya didakwa di mahkamah pada Khamis.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menafikan laporan berkenaan.
"Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.
"Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.
"Bagaimanapun esok (Khamis) saya diminta ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 11 pagi," katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Rabu.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Razali Idris sudah menjangkakan bekas Perdana Menteri itu akan menjadi sasaran susulan pendakwaan berhubung kes rasuah ke atas bekas Ketua Penerangan, Datuk Wan Saiful Wan Jan, baru-baru ini.
"Saya percaya ada usaha pihak tertentu sedang berusaha untuk memburukkan imej bersih PN yang semakin mendapat tempat di hati rakyat menjelang pilihan raya negeri (PRN) dalam waktu terdekat.
"Kita juga tidak menolak kemungkinan akan timbul spekulasi mengatakan beberapa pemimpin Bersatu lain akan ditangkap dalam waktu terdekat. Mungkin juga Pas juga akan menjadi sasaran seterusnya.
"Semua ini bertujuan kerana tidak mahu PN menggunakan slogan bersih dan stabil dalam PRN itu nanti," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Pada 21 Februari, Wan Saiful didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta, tahun lalu.
Wan Saiful, 48, atau nama sebenarnya, Wan Saifulruddin Wan Jan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.
Wan Saiful turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu susulan kes mahkamah yang dihadapinya.
Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.
Menurut SPRM, pertuduhan-pertuduhan itu berkaitan skim Jana Wibawa - inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.
Klik di sini untuk terus membaca