SHAH ALAM - Tiada unsur salah guna kuasa dalam keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberikan pengecualian kepada UMNO di bawah peruntukan Akta Pertubuhan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiada unsur salah guna kuasa dalam keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberikan pengecualian kepada UMNO di bawah peruntukan Akta Pertubuhan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau melihat tiada isu salah guna kuasa dilakukan Saifuddin Nasution kerana Setiausaha Agung PKR itu menggunakan budi bicara seperti diperuntukkan dalam Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya, Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 antara lain memperuntukkan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk memberikan pengecualian kepada mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam akta tersebut.

"Jadi, di mana letaknya unsur salah guna kuasa kerana Parlimen membuat undang-undang sedemikian bagi memberikan kuasa kepada menteri dan beliau telah menggunakannya.

Pada Selasa, tular satu surat yang dikeluarkan RoS bahawa keputusan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada penggal pemilihan akan datang adalah tidak sah.

Surat dengan kepala surat RoS itu didakwa diutuskan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 2 Mac lalu.

Wan Junaidi

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden dipersetujui majoriti perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

"Oleh kerana PAU 2022 sudah mengemukakan usul yang dipersetujui majoriti perwakilan, kenapa pula kita menganggapnya sebagai salah guna kuasa.

"Perkataan itu tidak sesuai digunakan. Kita juga perlu faham bahawa sudah menjadi adat dalam sesebuah organisasi politik besar seperti UMNO mahupun kecil mempunyai pertikaian atau perbezaan pandangan.

"Bagaimanapun, setiap organisasi politik, kita perlu akur dengan keputusan ramai (ahli). Kalau majoriti sudah bersetuju supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan, siapa kita mahu mempertikaikannya,” ujar beliau.

Wan Junaidi bagaimanapun berkata, perkara itu tidak menghalang pihak yang tidak berpuas hati untuk mengemukakan semakan kehakiman di mahkamah bagi menentukan keabsa-han tindakan Menteri Dalam Negeri berkenaan.

Sementara itu, Saifuddin Nasution ketika sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Parlimen pada Rabu berkata, sebarang pertikaian terhadap keputusan yang diputuskan itu, ahli UMNO boleh mencabar di mahkamah.

"Saya ketika mengguna pakai (kuasa), kita ada bahagian yang berikan pandangan, pada akhirnya kita buat keputusan. Saya tidak mahu pergi lebih mendalam sebab sekarang bukan masanya.

"Isunya, ada aduan RoS buat satu keputusan, urusan koresponden kerajaan ada klasifikasi sulit, rahsia besar. Mesti ada alasan dan sebabnya. Jadi, apakah saya perlu beri penjelasan?

"Saya sendiri meneliti sebelum buat keputusan. Dengan kefahaman yang jelas, keputusan ini ada kesan yang boleh mengundang tindakan atau proses seterusnya ke mahkamah. Saya menyedari perkara ini,” katanya bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang menggesa penjelasan lanjut berhubung pengecualian tersebut.

Menteri berhak berikan pengecualian kepada UMNO, kata pakar

Pakar Perlembagaan dari Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Alam Melayu (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Menteri Dalam Negeri berhak memberikan pengecualian kepada mana-mana pertubuhan daripada melaksanakan peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

Wan Ahmad Fauzi berkata, Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan kepada menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam akta berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, usul dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 tertakluk kepada peruntukan perlembagaan parti dari aspek tujuan dan kesan kepada pelanggaran usul tersebut.

Wan Ahmad Fauzi

Menurutnya, usul yang bertujuan untuk meminda peruntukan perlembagaan hanya boleh menguatkuasakan inti pati cadangan selepas ia dipinda.

"Usul yang berbentuk keputusan pula merupakan satu ketetapan untuk mencapai objektif pertubuhan. Ia perlu selari dengan peruntukan perlembagaan organisasi terbabit.

"Perwakilan merupakan kuasa tertinggi kerana mereka boleh meminda peruntukan perlembagaan pertubuhan mengikut tata cara yang diperuntukkan perlembagaan parti,” jelas beliau kepada Sinar Premium pada Rabu.

Wan Ahmad Fauzi berkata, jika Perlembagaan UMNO membenarkan calon presiden dan timbalan presiden dinamakan dalam PAU lalu, penamaan itu adalah sah dan begitu juga sebaliknya.

"Jika sekiranya peruntukan perlembagaan pertubuhan mensyaratkan penamaan dibuat dalam mesyuarat agung cawangan dan bahagian, maka kehendak itu perlulah dipatuhi. Melainkan ada pengecualian diberikan oleh mana-mana peruntukan Perlembagaan UMNO.

"Justeru, isu usul dalam PAU 2022 UMNO tidak dengan sendirinya menjadikan satu kesalahan. Ia bergantung kepada bagaimana usul tersebut diterjemahkan dalam tindakan oleh UMNO,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca