SHAH ALAM - Seorang mutawif mendedahkan terdapat pihak yang bertindak 'sailang' (cantas) bilik penginapan yang sudah ditempah oleh jemaah sehingga mereka terpaksa berpindah ke hotel lain atau membayar caj tambahan jika ingin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang mutawif mendedahkan terdapat pihak yang bertindak 'sailang' (cantas) bilik penginapan yang sudah ditempah oleh jemaah sehingga mereka terpaksa berpindah ke hotel lain atau membayar caj tambahan jika ingin menginap di hotel sama.

Mutawif yang mahu dikenali sebagai Ali (bukan nama sebenar) berkata, kejadian itu berlaku disebabkan ada pihak yang menawarkan harga lebih tinggi kepada pengurusan hotel di Arab Saudi.

"Kita sudah tempah bilik dengan melakukan pembayaran penuh tetapi sebaik sahaja tiba di sana, pihak hotel maklumkan bilik ditempah itu dah tak ada.

"Ramai yang mahu tempah hotel berdekatan dengan masjid, sebab itu ada pihak yang sanggup 'sailang' dengan membayar harga yang lebih mahal kepada pihak hotel dengan harapan mereka dapat kemudahan itu.

"Perkara seperti ini menjadi rungutan pada jemaah yang sudah membayar kos sehingga RM9,500 namun tak dapat bilik seperti dijanjikan. Apabila jadi kes sedemikian pihak agensi pelancongan akan minta tambah lagi duit sebab nak dapatkan bilik hotel sama seperti ditempah. Jika tidak ia boleh menyebabkan berlaku kes jemaah terkandas,” katanya.

Menurut Ali, terdapat pihak hotel yang bermain harga sehingga sanggup membatalkan tempahan semata-mata untuk mengambil tawaran yang lebih lumayan.

Kerajaan diharap dapat campur tangan dalam menyelesaikan permasalahan yang sering dihadapi jemaah Malaysia.

"Kadangkala bukan hanya bilik tetapi hotel juga ditukar ke lokasi lain yang lebih jauh," jelasnya.

Beliau berkata, perkara yang berlaku itu berada di luar kawalan mereka dan kerajaan Arab Saudi sepatutnya mengambil tindakan terhadap pihak pengurusan hotel yang bertindak sedemikian.

"Pihak hotel tidak sepatutnya tukar hotel jemaah yang sudah lama menempah dan membayar penuh ke atas bilik penginapan tersebut,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak pengurusan hotel juga tidak membenarkan individu menyewa bilik secara persendirian sebaliknya perlu melalui agensi atau ejen pelancongan.

"Jadi ada tiga harga di situ iaitu harga hotel, harga ejen dan harga agensi pelancongan. Sebab itu kos penginapan menjadi mahal,” jelasnya.

Ali berkata, sebelum ini pihaknya boleh membayar deposit atau wang pendahuluan untuk menempah bilik penginapan namun kini perlu membayar penuh untuk menempah bilik tersebut.

"Sebelum Covid-19 kita boleh bayar wang pendahuluan dan tempah dahulu. Jemaah sampai di hotel baru kita bayar penuh.

"Sekarang kita perlu bayar penuh kos penginapan disebabkan permintaan yang ramai. Jadi kalau kita tak buat bayaran segera maka agak sukar nak dapatkan bilik lebih baik dan selesa,” katanya.

Kenaikan harga bilik, penginapan terhad jadi punca

Sementara itu, faktor kenaikan harga bilik dan penginapan terhad antara punca utama yang menyumbang kepada kes jemaah umrah Malaysia terkandas.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, penginapan di Makkah dan Madinah kini mendapat banyak permintaan susulan sempadan negara telah dibuka dan kerajaan Arab Saudi mula membuka visa kepada pelancong.

"Bila lambakan itu berlaku, secara automatik bilik-bilik yang ada semua tidak cukup dan harga bilik pula meningkat sehingga empat kali ganda daripada harga asal. Contohnya jika dulu harga bilik untuk empat orang ialah 80 riyal (RM96.37) ke 100 riyal (RM120.47), sekarang sudah mencecah sehingga 300 riyal (RM361.40) ke 380 riyal (RM457.77) satu malam.

"Bila bilik berkurangan dan harga naik mendadak, mana-mana yang ada perjanjian dan sebagainya dengan hotel di sana, apabila kita ikat kontrak dan kita lambat bayar, jadi mereka akan beri pada siapa yang bayar dulu. Itu yang menjadikan bilik tidak cukup,” katanya.

Razali
Razali

Selain itu, ujar Razali, faktor kenaikan kos pengangkutan juga memainkan peranan dalam isu tersebut.

"Untuk pengangkutan dulu 1,600 riyal (RM1,927.45) untuk 12 hari, sekarang ini meningkat kepada 4,200 riyal (RM5,059.56) bagi tempoh sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang mutawif yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 38, mendedahkan, tindakan pihak agensi pelancongan yang tidak membayar tiket penerbangan secara penuh juga menjadi punca masalah jemaah terkandas.

"Isu terkandas ini disebabkan tiket. Ada agensi pelancongan yang mampu untuk beli tiket sehala terlebih dahulu.

"Tapi Arab Saudi meletakkan peraturan, kalau nak masuk ke negara berkenaan perlu ada tiket pergi dan balik kerana mereka mahu mengelakkan individu luar menetap di negara itu pada tempoh lama dan tidak balik ke negara asal masing-masing," katanya.

Jelas Ahmad, kerajaan diharap campur tangan dan memainkan peranan untuk membantu permasalahan yang sering berlaku terhadap jemaah umrah di negara ini.

Kes jemaah terkandas

4 November 2022

Seramai 36 orang daripada keseluruhan 63 jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu, akhirnya selamat tiba di tanah air.

23 Januari 2023

62 jemaah umrah dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Soekarno - Hatta, Jakarta susulan tiada tiket balik dari Jeddah, Arab Saudi.

4 Mac 2023

Hampir 400 bakal jemaah kecewa selepas sebuah agensi pelancongan memaklumkan penangguhan penerbangan ke Tanah Suci bagi menjalani ibadah umrah pada saat akhir.

7 Mac 2023

Lebih 30 jemaah umrah warga Malaysia yang sepatutnya pulang ke tanah air dan dijadualkan berlepas pulang ke Malaysia pada 4 Mac lepas namun masih terkandas di Arab Saudi.

Klik di sini untuk terus membaca