RIYADH - Arab Saudi sedang membina Mukaab atau ‘kiub gergasi’ yang boleh menempatkan kira-kira 20 bangunan Empire State di New York di tengah-tengah pusat bandar baharu di ibu kota di bawah projek kontroversi yang mengundang pelbagai... Klik di sini untuk terus membaca

RIYADH - Arab Saudi sedang membina Mukaab atau ‘kiub gergasi’ yang boleh menempatkan kira-kira 20 bangunan Empire State di New York di tengah-tengah pusat bandar baharu di ibu kota di bawah projek kontroversi yang mengundang pelbagai reaksi umum.

Putera Mahkota, Mohammed Salman (MBS) melancarkan projek itu bulan lalu dan turut mengumumkan beliau akan mempengerusikan New Murabba Development Company yang bertujuan untuk membangunkan pusat bandar terbesar di dunia di Riyadh.

Struktur raksasa dengan gaya seni bina yang diinspirasikan dari wilayah Najd itu digambarkan seperti dalam filem sains fiksyen yang dilengkapi kemudahan futuristik mengagumkan termasuk muzium, universiti teknologi dan reka bentuk serta lebih 80 pusat hiburan.

Menurut Dana Pelaburan Awam Arab Saudi dalam satu kenyataan, Mukaab akan menjadi destinasi lengkap dengan teknologi digital dan maya menggunakan holografik terkini yang bakal menawarkan pengalaman luar biasa.

Projek tersebut dijangka menjana kira-kira 180 bilion riyal (RM215 bilion) kepada sektor ekonomi Saudi, selain mewujudkan kira-kira 334,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.

Kebanyakan pengguna media sosial memberi respons ‘sinis’, malah ada yang menjadikannya sebagai bahan jenaka kerana reka bentuknya yang dianggap pelik.

Struktur raksasa yang digambarkan seperti dalam filem sains fiksyen dilengkapi dengan kemudahan futuristik mengagumkan termasuk muzium, kediaman dan pusat hiburan.

"Tahniah kepada mana-mana firma perunding yang akan mengaut keuntungan dengan ‘menempatkan’ penduduk Saudi dalam The Tesseract,” kata wartawan, Gregg Carlstrom menerusi Twitter yang merujuk stuktur kiub itu seperti dipaparkan dalam Marvel Cinematic Universe.

Segelintir pengguna membuat persamaan struktur Mukaab dengan Borg Cube iaitu sejenis kapal angkasa dalam francais Star Trek.

Terdapat juga beberapa pihak tidak menjaga sensitiviti Muslim yang menyamakan struktur berkenaan dengan Kaabah di Masjidil Haram, Makkah yang menjadi kiblat orang Islam.

Difahamkan, ia bukanlah projek geometri mega pertama yang diumumkan Riyadh beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebelum ini, Arab Saudi pernah mengumumkan projek pusat peranginan ski (Trojena) dan bentuk bandar oktagon yang terapung atau Oxagon di bawah projek bandar mega Neom dengan kos AS$600 bilion (RM2.7 trilion).

Saiznya pula digembar-gemburkan oleh penganjur sebagai 33 kali ganda lebih besar daripada kota metropolitan New York. - Agensi


INFO

- Mukaab yang dianggap sebagai 'pintu ke dunia lain' mempunyai keluasan lantai lebih 25 juta kilometer persegi dengan dimensi raksasa 400 meter panjang, lebar dan tinggi. Ia akan turut dilengkapi 104,000 unit kediaman, 9,000 bilik hotel dan menara lingkaran berpilin serta mempunyai dinding dan siling menyerupai skrin video yang kelihatan seperti Xbox terbesar di dunia.

- Struktur itu akan dibina di barat laut Riyadh di kawasan seluas 19 kilometer persegi di daerah Murabba yang akan menjadi salah sebuah pembangunan pusat bandar terbesar di dunia.

- Rangkaian media tempatan melaporkan radius berjalan kaki dengan sistem pengangkutan dalamannya sendiri adalah kira-kira 15 minit, sementara perjalanan ke lapangan terbang jika memandu adalah kira-kira 20 minit.

- Projek mega yang tidak mendedahkan kos keseluruhan itu dijangka siap dalam tempoh tujuh tahun lagi sebagai sebahagian daripada Visi 2030. Kerajaan juga mahu memastikan projek itu selesai pada masa ditetapkan kerana Riyadh berhasrat untuk menjadi penganjur Ekspo Dunia pada 2030.


Klik di sini untuk terus membaca