BAGI memastikan negara maju dan makmur, kita perlukan kerajaan serta pembangkang yang melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan bersungguh-sungguh serta tidak terperangkap dalam ketamakan kuasa atau harta.
Kolum saya pada minggu lalu telah mengkritik amalan lapuk kerajaan yang menganaktirikan wakil rakyat dan kerajaan negeri pembangkang, satu legasi autoritarian zaman Barisan Nasional (BN).
Minggu ini pula, saya ingin menganalisis pengakuan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu sedang berusaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Abdul Hadi mendakwa perkara tersebut dibenarkan dalam amalan demokrasi. Pemahaman Abdul Hadi itu sangat bahaya untuk demokrasi dan ekonomi negara. Jika kerajaan boleh dijatuhkan pada bila-bila masa sahaja, berapa banyak kerajaan kita akan ada dalam sepenggal Parlimen?
Kita sudah mencipta rekod lima Perdana Menteri daripada lima kombinasi parti dalam tempoh lima tahun dari Januari 2018 sehingga Disember 2022. Adakah kita ingin kekalkan atau memperhebatkan rekod tersebut?
Ya, sememangnya demokrasi berparlimen memberikan fleksibiliti untuk menukar kerajaan di tengah penggal atau mengadakan pilihan raya awal bagi menukar kerajaan tetapi adakah kita perlu menyalahgunakan fleksibiliti itu?
Orang yang berkahwin diberikan hak bercerai tetapi hak tersebut adalah untuk keperluan sebenar, bukan untuk disalahgunakan sewenang-wenangnya.
Sungguh pun pembangkang harus menyiapsiagakan diri untuk menggantikan kerajaan, sama ada di tengah penggal atau selepas pilihan raya, ia bukan lesen untuk menghuru-harakan negara demi nafsu mahu berkuasa.
Sebelum Pas atau Perikatan Nasional (PN) berbicara mengenai menggulingkan kerajaan, mereka perlu menjawab dua soalan. Pertama, adakah kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan akan membawa dasar yang lebih baik?
Kedua, adakah kerajaan baharu tersebut akan lebih stabil dan bertahan?
Daripada soalan pertama, kita perlu tahu, apakah dasar-dasar alternatif yang ingin dibawa oleh PN?
Contohnya, jika PN begitu memperlekehkan Menu Rahmah, apakah menu alternatifnya? Jika belanjawan Anwar yang mencukai golongan terkaya lebih dua peratus difitnah sebagai ‘komunis’, adakah PN bercadang mengurangkan cukai tauke dan taikun?
Kalau bukan kerana perbezaan dasar yang perlu dilaksanakan serta-merta, apakah plot menjatuhkan kerajaan itu semata-mata kerana ada tidak sabar menjadi menteri dengan gaji tinggi dan memiliki kereta mewah?
Jika kerajaan baharu ditubuhkan dengan sogokan dan hasutan, apa yang menghalang kerajaan baharu itu dijatuhkan dengan cara yang sama oleh parti pembangkang baharu?
Ini adalah soalan kedua yang Abdul Hadi perlu jawab. Berapa kali kita perlu menukar kerajaan dalam tempoh lima tahun? Pertukaran kerajaan yang kerap akan menakutkan dan menghalau pelabur dari dalam serta luar negara.
Akhirnya siapa yang sengsara? Bukan menteri atau Tan Sri tetapi rakyat biasa yang mencari rezeki.
Ada pihak yang membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi. Itu tidak perlu dan tidak berkesan. Penawar terbaik untuk keghairahan politik kerana nafsu kuasa tidak lain tidak bukan adalah suara rakyat itu sendiri.
Rakyat yang inginkan kestabilan politik mesti berani bersuara lantang mengecam politik tidak bertanggungjawab.
Marilah kita bersama-sama menuntut agar pihak kerajaan tidak menganaktirikan pembangkang dan pembangkang juga tidak memecah pintu belakang atau menebuk atap demi mengejar kuasa.
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway
Klik di sini untuk terus membaca