NAMA Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Selepas mengumumkan persaraannya daripada dunia politik lima tahun lalu, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu seperti tidak boleh... Klik di sini untuk terus membaca

NAMA Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Selepas mengumumkan persaraannya daripada dunia politik lima tahun lalu, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu seperti tidak boleh ‘duduk diam’ apabila dilihat turun padang membantu jentera Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menjelang pemilihan parti akan datang, Shahrizat yang pernah menerajui Ketua Wanita UMNO selama sembilan tahun sejak 2009 menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding jawatan nombor satu sayap UMNO itu.

Menyingkap perjalanan politik serta misi dan visinya untuk memperkukuhkan Wanita UMNO, ikuti wawancara eksklusif Sinar Harian bersama bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Sebelum ini Tan Sri pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO dari tahun 2008 hingga 2018. Selepas meninggalkan jawatan tersebut, bagaimana Tan Sri melihat sayap UMNO ini?

SHAHRIZAT: Semasa saya mula-mula menjadi Ketua Wanita UMNO pada tahun 2009, saya telah membuat analisis dan stock take terhadap kedudukan wanita, kekuatan, kelemahan serta peluang dan potensi yang ada pada Wanita UMNO.

Bermula daripada situ, saya telah merangka dan menjalankan pelbagai inisiatif yang merangkumi usaha meningkatkan penglibatan wanita dalam politik dan pembuat keputusan, memperkasakan Wanita UMNO sebagai jentera politik yang bersistematik, mengukuhkan jenama Wanita UMNO sebagai mata dan telinga rakyat, memupuk toleransi dan keharmonian dalam masyarakat.

Alhamdulillah, usaha-usaha saya dan pasukan telah menjadikan Wanita UMNO sebagai satu entiti yang efektif, progresif, didengari, dirujuk dan dipertimbangkan dalam setiap keputusan parti dan inisiatif kerajaan pada ketika itu.

Apabila saya menyerahkan tampuk kepimpinan Wanita UMNO kepada ketua wanita yang ada sekarang, saya meletakkan harapan yang tinggi agar Wanita UMNO dapat dipacu lebih ke hadapan.

Saya juga faham kepimpinan baharu memerlukan masa dan ruang untuk mengemudi satu pergerakan yang besar seperti Wanita UMNO, sebab itu saya tidak pernah mengganggu atau campur tangan dengan kepimpinan yang ada selama lima tahun ini.

Namun, pintu rumah saya sentiasa terbuka untuk mana-mana pemimpin wanita UMNO jika mahu berbincang dan meminta pandangan.

Maklum balas dan pemerhatian yang saya terima daripada wanita di akar umbi hinggalah barisan kepimpinan pusat, ada suara kekecewaan, hilang semangat, tidak nampak hala tuju, rindu Wanita UMNO dahulu yang lantang dan berani.

Saya percaya, Wanita UMNO mesti kembali dipandu sebagai jentera politik yang memberi impak kepada rakyat dan kerajaan. Wanita UMNO mesti dipimpin semula untuk menyalakan semula semangat sebagai Ibu Terbaik Bangsa.

Ahli UMNO pasti cukup mengenali Tan Sri dari sudut cara bekerja yang dilihat seperti tidak mengenal erti penat lelah dan cukup agresif ketika turun di lapangan selain gerak kerja yang disusun dengan baik di peringkat bawah. Kali ini apa visi dan misi Tan Sri?

Alhamdulillah, saya dikurniakan ALLAH SWT dengan semangat, kesihatan fizikal dan kemampuan mental untuk mengerjakan sesuatu perkara yang saya sayangi dan saya kasihi. Salah satu kesayangan saya adalah Wanita UMNO.

Wanita UMNO yang saya kenali sarat dengan semangat perjuangan yang kental, aktif dan diberi penghormatan.

Di cawangan, bahagian, bandar, desa dan di mana jua, gelombang Tudung Merah dikagumi. Kitalah pembela agama, bangsa dan negara.

Wanita UMNO sebagai wadah bermaruah, berprinsip, berkepimpinan mesti dimartabatkan. Wanita UMNO mesti kembali perkasa, bersuara dan relevan dalam parti dan dalam negara. Ini hasrat dan tekad saya, jika diizinkan ALLAH SWT sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Membangkitkan dan mengimarahkan semula kekuatan Wanita UMNO sebagai tulang belakang parti dengan hala tuju yang jelas dan tepat bermula di peringkat akar umbi dengan penganjuran secara konsisten aktiviti dan program Wanita di cawangan dan bahagian.

Menyusun dan menggerakkan semula Wanita UMNO sebagai nadi rakyat yang sentiasa bersiap-siaga mendengar, menyampai dan menjuarai isu rakyat dengan satu kuasa kolektif yang dijana melalui kerjasama semua pemegang taruh.

Menentukan ada kesepaduan antara semua lapisan pemimpin Wanita UMNO dan mewujudkan hala tuju yang jelas untuk mempersiapkan barisan pemimpin pelapis Wanita UMNO di setiap peringkat yang mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam landskap politik baru.

Selepas prestasi kurang memberangsangkan UMNO dalam beberapa siri pilihan raya, apa yang Tan Sri boleh simpulkan dan bagaimana Wanita UMNO boleh memainkan peranan membantu pulihkan keyakinan pengundi?

Jika dilihat, prestasi UMNO dalam pilihan raya adalah disebabkan faktor-faktor yang berlaku secara kolektif. Ada faktor dalaman dan juga faktor luaran parti seperti sentimen rakyat yang berbeza di negeri-negeri, gerakan strategik parti lawan, kedudukan ekonomi yang agak menekan rakyat pasca pandemik dan banyak lagi.

Wanita UMNO boleh tampil sebagai elemen terkuat kepada UMNO dan Barisan Nasional jika Wanita UMNO menyusun kembali kekuatan jentera, merumus semula strategi mendampingi dan membantu rakyat serta dilengkapkan dengan pengetahuan dan skil yang dikemas kini.

Wanita UMNO yang kuat suatu ketika dulu ialah wanita UMNO yang diperkasakan dengan ilmu dan kemahiran yang sesuai pada waktunya. Kini, jentera Wanita UMNO perlu dinaiktaraf dengan kecekapan digital dan skil sosial yang lebih segar untuk diyakini semula sebagai satu jenama domestik yang menjadi pusat rujukan dan tumpuan rakyat.

Sekiranya dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO bagi penggal kali ini, apa yang akan diusahakan oleh Tan Sri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Jun nanti?

Insya-ALLAH, jika diizinkan saya kembali memimpin, PRN di enam negeri akan menjadi medan pertama saya untuk memimpin pasukan wanita UMNO dalam usaha untuk kembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ia bukanlah satu tugas yang mudah kerana masa yang ada terlalu singkat. Namun dengan hala tuju yang jelas dan game plan yang tepat, saya yakin Wanita UMNO mampu menjadi game changer pada PRN yang akan datang.

Saya juga meletakkan sasaran yang realistik untuk memastikan calon wanita mendapat tempat selaras dengan janji Presiden UMNO untuk mencapai 30 peratus wanita sebagai calon pilihan raya.

Apa yang penting sekarang adalah untuk menyediakan calon wanita yang benar-benar berkelayakan dan mampu memberikan komitmen yang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat. Jumlah 30 peratus atau lebih yang ingin kita capai bukanlah hanya dari segi statistik, tetapi 30 peratus atau lebih yang berkualiti dan dipercayai rakyat.

Shahrizat ketika ditemu bual oleh Sinar Harian baru-baru ini.
Shahrizat ketika ditemu bual oleh Sinar Harian baru-baru ini.
Shahrizat ketika ditemu bual oleh Sinar Harian baru-baru ini.

Pemimpin datang dan pergi serta tidak selamanya akan berada di posisi memimpin. Tan Sri merupakan mentor kepada generasi pelapis. Jika menjadi Ketua Wanita UMNO selepas ini, pelapis bagaimana Tan Sri nak bentuk?

Pengalaman telah mengajar saya bahawa faktor usia dan kelayakan akademik sahaja tidak memadai untuk menjadikan seseorang itu pemimpin yang mampu mengemudi satu pergerakan sebesar Wanita UMNO.

Dengan keahlian sebanyak 1.3 juta, Wanita UMNO perlu pemimpin yang kalis emosi, berhikmah dalam memimpin, berhemah dalam menegur, berseni dalam pandangan, inklusif dalam membuat keputusan, terbuka menerima kritikan dan ikhlas dalam perjuangan.

Membentuk pemimpin pelapis yang memiliki ciri-ciri kepimpinan ini bukanlah tugas mudah dan bukanlah satu tugas yang boleh diuruskan dengan segera. Namun, ia mesti diusahakan dan ia mesti bermula sekarang.

Insya-ALLAH, saya berimpian untuk mencipta galaxy of stars yang dibarisi pemimpin wanita yang telah digilap dan bersedia untuk berlari memacu visi dan misi UMNO sebagai parti yang menjuarai rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca