SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempersoal apa sebenarnya yang sedang berlaku terhadap parti itu. Ini kerana, beliau mendakwa, parti Melayu itu turut mengheret Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempersoal apa sebenarnya yang sedang berlaku terhadap parti itu.

Ini kerana, beliau mendakwa, parti Melayu itu turut mengheret Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam isu usul dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong sebelum itu menyokong kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung keputusan Saifuddin Nasution yang memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan parti tahun ini.

Khairy mendakwa, tindakan Saifuddin Nasution itu menunjukkan keputusan UMNO tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sebagai tidak sah.

"Benar dan tepat KJ. Apa dah jadi dengan UMNO ni? Sekarang diheret pula Menteri KDN.

"Baru tahu sebab kita dipecat dan digantung - just in case menteri tak beri pengecualian!” katanya di ruang komen hantaran video Khairy yang mengulas mengenai isu berkenaan.

Hishammuddin kini digantung keahlian UMNO selama enam tahun manakala Khairy pula dipecat daripada parti itu pada Januari lalu.

Sementara itu, Khairy dalam siaran di TikTok rasminya pada Selasa berkata, UMNO perlu mengambil tindakan pembetulan dengan melaksanakan semula pemilihan jawatan bagi Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Jelasnya, perlembagaan UMNO sendiri telah menetapkan bahawa jawatan-jawatan utama termasuk Presiden dan Timbalan Presiden hendaklah dipilih setiap tiga tahun sekali.

Tambah beliau, kenyataan Saifuddin Nasution berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun lalu itu juga tidak menyatakan dengan jelas kesalahan UMNO.

"Maka tularlah surat RoS kepada Setiausaha Agung, Ahmad Maslan bertarikh 2 Mac daripada Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad. Saya tak pasti surat ini tulen atau tidak tetapi sebagai mantan menteri, surat itu nampak sah dan ori.

"Dalam surat tersebut, bos RoS yang mengawal selia semua pertubuhan termasuk parti politik di Malaysia dengan jelas menulis berdasarkan semakan pada maklumat dan dokumentasi yang dikemukakan bersama surat UMNO bertarikh 27 Januari, 28 Februari, dan 14 Februari 2023, jabatan (RoS) ini telah mendapati usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agong UMNO 2022 tersebut adalah tidak teratur, serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan di bawah Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

"Justeru itu dengan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada RoS di bawah Akta Pertubuhan 1996 (Akta 832) maka, keputusan usul tambahan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2022, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada penggal pemilihan parti yang akan datang adalah tidak sah,” katanya.

Polemik berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan bermula selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 setelah parti itu meluluskan usul tambahan yang didakwa melanggar peraturan RoS.

Perkara itu menimbulkan pertikaian menyebabkan dua ahli UMNO memfailkan notis bantahan kepada RoS.

Bagaimanapun, pada Selasa, Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan memaklumkan, KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan itu.

Keputusan berkenaan diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam akta berkenaan.

Seksyen 13(1)(c)(iv) akta itu memperuntukkan pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca