SHAH ALAM - Persaingan empat calon Ketua Pemuda UMNO bagi merebut jawatan utama sayap parti itu menjadi semakin panas apabila ketiga-tiga pemimpin yang berasal daripada Melaka, Pahang dan Selangor sudah memperhebatkan kempen dalam kalangan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persaingan empat calon Ketua Pemuda UMNO bagi merebut jawatan utama sayap parti itu menjadi semakin panas apabila ketiga-tiga pemimpin yang berasal daripada Melaka, Pahang dan Selangor sudah memperhebatkan kempen dalam kalangan akar umbi UMNO.

Empat calon berkenaan iaitu Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, dan Meor Hasan Mat Ali serta bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah dianggap mempunyai kelebihan tersendiri bagi meraih sokongan perwakilan UMNO untuk mengundi mereka pada 12 Mac ini.

Lebih menarik, tumpuan umum kini pastinya terarah kepada persaingan di antara Armand Azha yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang dengan Mohd Shahar (Ahli Parlimen Paya Besar) yang dilihat lebih menonjol dalam pertandingan kali ini, susulan keberanian mereka untuk menyertai Program Berani Semuka anjuran Sinar Harian pada Jumaat.

ARMAND AZHA

Bagaimana pun, beberapa penganalisis politik tempatan melihat status Dr Muhammad Akmal yang dianggap calon 'neutral' dan tidak memihak kepada mana-mana kem mungkin menjadi kelebihan kepadanya untuk mencipta kejutan dalam mempimpin sayap Pemuda UMNO kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu juga dianggap mampu membawa perubahan kepada kepimpinan Pemuda UMNO susulan kewibawaan beliau mengangkat imej Pemuda UMNO Melaka ke tahap lebih tinggi terutama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dua tahun lalu.

"Dr Akmal telah terbukti sebagai wakil rakyat muda dan disenangi, bijak dan mempunyai latar belakang yang baik. Itu ciri penting untuk meluaskan penguasaan parti di semua peringkat.

"Paling penting, beliau merupakan calon 'neutral' tidak memihak kepada mana-mana kem, berbanding dua lagi calon.

DR AZMI

"Karakter penting Dr Akmal dilihat mempunyai sikit kelebihan berbanding calon lain sekali gus mampu meremajakan Umno jika diberi peluang. Bagaimanapun, peluang Armand Azha dan Shahar yang pernah berpengalaman menjadi timbalan menteri juga tidak boleh dipandang ringan,” kata penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan kepada Sinar Premium pada Khamis.

Keempat-empat calon itu menawarkan diri bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO yang ditinggalkan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada pemilihan parti kali ini.

Perebutan jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO juga menyaksikan seramai empat calon yang bertanding iaitu anak kepada seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ikmal Hazlan Ikmal Hisham; anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib; Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah dan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Farhan Khairuddin.

MOHD IZANI
MOHD IZANI

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain turut bersependapat dengan Azmi dan melihat Dr Akmal berpotensi memberi saingan sengit dalam perebutan jawatan ditinggalkan Asyraf Wajdi.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pengaruh Armand Azha dalam MKT UMNO di samping pengalaman Mohd Shahar yang pernah menjadi pemimpin kerajaan mungkin menjadi kayu ukur perwakilan parti bagi memilih mereka.

"Saya lihat Dr Akmal berjaya membuktikan prestasinya sebagai Adun Merlimau dan Exco dalam kerajaan Melaka meskipun masih muda.

"Ia sekali gus menjadi daya penarik kepada pengundi muda dan golongan profesional jika menjadi Ketua Pemuda Umno yang baharu.

"Faktor itu penting perlu ada pada Ketua Pemuda Umno yang baharu kerana akan bertanggungjawab menarik kembali sokongan orang Melayu dan golongan profesional,” katanya.

Penentuan siapa akan menerajui sayap UMNO itu akan diketahui 11 Mac depan ketika persidangan sayap parti itu yang akan berlangsung serentak di seluruh negara.

Klik di sini untuk terus membaca