PERIKATAN Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mewarisi nasib ‘malang’ Barisan Nasional (BN), UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) susulan... Klik di sini untuk terus membaca

PERIKATAN Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mewarisi nasib ‘malang’ Barisan Nasional (BN), UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) susulan gelaran ‘kluster mahkamah’ kini bertukar baton kepada koalisi berkenaan.

Senario itu juga dipercayai bakal menyebabkan PN dan Bersatu semakin hilang pengaruh dalam kalangan pengundi muda, sekali gus membantutkan kemaraan gelombang hijau pasca PRU15 menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri kelak.

Ia kerana penahanan para pemimpin utama Bersatu dan PN termasuk Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mirip dengan implikasi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi UMNO serta Najib, selain mampu menghakis pengaruh pengundi Melayu terhadap koalisi berkenaan sekiranya kes mereka terbukti bersalah di mahkamah.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, keputusan penahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Muhyiddin dan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggambarkan PN serta Bersatu tidaklah terlalu bersih daripada sebarang skandal rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana awam.

Jeniri

"Saya tidak menolak kemungkinan ramai pemimpin dan penyokong PN terutama ahli Bersatu bakal berhijrah menyertai parti lain demi kelangsungan politik masing-masing.

"Fenomena itu pernah menimpa BN dan UMNO susulan kekalahan mereka dalam PRU14 serta Najib dijatuhkan hukuman di mahkamah pada tahun lalu.

"Jika Muhyiddin didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah, maka keyakinan pengundi terutama generasi muda terhadap PN terjejas teruk. Mereka anggap gabungan parti itu tiada bezanya dengan parti lain yang memerintah sebelum ini,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Jeniri mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang mengesahkan Muhyiddin akan didakwa di mahkamah pada Jumaat.

Terdahulu, Muhyiddin menafikan dakwaan ditahan SPRM ketika bermain golf di sebuah padang golf, Selangor sebagaimana dilaporkan portal pada Rabu.

SPRM sebelum ini membekukan akaun parti Bersatu dengan beberapa individu termasuk Wan Saiful dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan terhadapnya.

Susulan itu, Wan Saiful mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu.

Sementara itu, Jeniri mengakui percaya SPRM bersikap profesional dan mempunyai asas dan bukti yang kukuh sebelum mendakwa mana-mana individu termasuk pemimpin politik berpengaruh seperti Muhyiddin.

Bagaimanapun, beliau melihat tiada keperluan Muhyiddin melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PN dan Presiden Bersatu sebagaimana tindakan dilakukan Wan Saiful sebelum ini.

Ahmad Zahid bukan sekadar kekal sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, bahkan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Beliau belum didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan. Situasi itu adalah sama seperti keadaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang bukan sekadar kekal sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, bahkan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Beliau mempertahankan hak biarpun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diarah bela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi,” tegasnya.

Ujar beliau, kerajaan perlu konsisten berlaku adil serta tidak boleh mengamalkan dwistandard terhadap mana-mana individu atau parti yang tidak sehaluan dengannya.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah berkata keputusan melantik Ahmad Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri kerana Presiden UMNO itu belum didapati bersalah oleh mahkamah.

"Muhyiddin baru sahaja disiasat SPRM dan belum tentu didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah. Jadi kenapa kita mahu gunakan dwistandard?” soalnya.

Klik di sini untuk terus membaca