SHAH ALAM - Laluan jalan raya sepanjang 20 kilometer di Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Gombak yang menghubungkan laluan Gombak ke Bentong, Pahang dicemari dengan timbunan bahan sisa binaan dan perabot rosak serta sampah sarap sejak lima tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Azhar Ahmad berkata, banyak aduan diterima pihaknya berkenaan isu ini kerana kawasan itu melibatkan HSK yang telah diwartakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.
Menurutnya, pembuangan sampah haram itu dipercayai dilakukan oleh individu dan pihak syarikat pembersihan yang tidak bertanggungjawab.
"Risikan dan siasatan mendapati aktiviti pembuangan itu dijalankan pada waktu malam hingga awal pagi atas beberapa faktor antaranya bukan laluan utama kenderaan selain jauh dari penempatan penduduk.
"Apa yang menghairankan, pihak tersebut bukan sahaja bertindak membuang sampah domestik malah barangan perabot rumah seperti sofa dan bahan binaan serta perkakasan plastik dan polistirena turut dibuang di tepi jalan.
"Perbuatan tidak bertanggungjawab itu memang dengan sengaja dilakukan kerana laluan ini tidak mempunyai penempatan dan bukan jalan utama yang sering digunakan oleh orang ramai selain tidak mempunyai lampu jalan.
"Kita kesan bahan buangan ini dibawa menaiki lori atau kenderaan muatan lain. Proses pembuangan juga berlaku dalam tempoh waktu yang cepat bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa kerana ia dibuang di bahu jalan,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian.
Azhar berkata, pemantauan JPNS mendapati lebih dari 15 lokasi pembuangan sampah di sepanjang jalan itu.
Kata Azhar, ada timbunan sampah di lereng bukit yang sudah menyamai paras laluan jalan raya dengan kawasan terjejas paling teruk seluas kira-kira 1.2 ekar.
"Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab ini dipercayai telah lama beroperasi iaitu lebih dari lima tahun namun menjadi kerap dan berleluasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua atau tiga tahun lalu,” ujarnya.
PASANG PAPAN TANDA PERINGATAN
Ujar beliau lagi, sebagai langkah awal mengelakkan aktiviti haram itu terus berleluasa, JPNS telah memasang papan tanda sebagai peringatan kepada orang ramai supaya tidak lagi membuang sampah di kawasan larangan tersebut.
Tambahnya, besi pengadang jalan dan bump gate turut dipasang di sekitar kawasan yang berpotensi dijadikan tempat longgokan sampah di sekitar lokasi itu.
"Risikan yang dijalankan juga mendapati lori yang membawa muatan sampah juga licik dan berhati-hati setiap kali hendak membuang sampah. Apabila ada kenderaan lain yang mencurigakan, mereka akan teruskan perjalanan dan tidak berhenti,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, JPNS telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah tidak terkawal ini.
"Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah membantu mengambil tindakan untuk membersihkan kawasan tersebut kerana ia berada di kawasan rizab jalan,” tambah beliau.
Katanya lagi, orang ramai juga diharap dapat membantu menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang perbuatan membuang sampah di sepanjang laluan HSK Ulu Gombak ini.
"Sekiranya aktiviti ini tidak dikawal, ia akan memusnahkan flora fauna. Paling penting adalah melibatkan pencemaran sumber air, tanah dan udara,” ujarnya.
Tegas beliau, mereka yang terlibat akan diambil tindakan mengikut Seksyen 83 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, Larangan Pembuangan Sampah di dalam Hutan Simpanan Kekal yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya.
"Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang terhadap individu yang didapati bersalah membuang sampah di kawasan ini,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca