SHAH ALAM - Tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggunakan kuasa budi bicaranya untuk membenarkan UMNO tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti dalam Akta Pertubuhan memberikan kesan negatif kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggunakan kuasa budi bicaranya untuk membenarkan UMNO tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti dalam Akta Pertubuhan memberikan kesan negatif kepada imej kerajaan khususnya Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik, Dr Mohamed Tawfik Yaakub berkata, tindakan yang disifatkan tidak bersesuaian dengan waktu dan keadaan itu membuktikan ia tidak seiring dengan prinsip yang dilaungkan PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu kejujuran serta ketelusan dalam membuat keputusan.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan politik apabila mendapat kuasa, setiap ruang dan peluang akan digunakan bagi memastikan kedudukan, jawatan terjamin dan selamat.

Mohamed Tawfik

"Apa yang dilakukan oleh menteri tidak bertentangan dengan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan).

"Tetapi yang jadi isunya, penggunaan kuasa ini ketika UMNO sedang berhadapan dengan kemelut dalaman.

"Ia menggambarkan bahawa daripada perspektif politik, ada usaha tertentu untuk selamatkan dua jawatan tertinggi UMNO menerusi kuasa yang diperuntukkan kepada menteri.

"Bagi saya, mana-mana ahli politik, mereka gunakan ruang (jawatan) untuk meningkatkan pengaruh dan sokongan atau melemahkan musuh politik itu sendiri. Kuasa yang digunakan adalah pada waktu yang salah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Pengecualian itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

Bagaimanapun, keputusan tersebut mendapat kritikan daripada beberapa pemimpin politik antaranya bekas Naib Presiden UMNO digantung keahlian parti, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tambah Mohamed Tawfik, tindakan yang dilakukan Saifuddin itu dianggap ke belakang kerana turut memberikan kesan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Penyokong PH, mereka bukannya lagi tidak cakna. Mereka cerdik dalam menilai tentang perkembangan dan tindak tanduk ahli politik. Jadi, bagi saya, apa sahaja tindakan yang nak dilakukan pemimpin mesti berhati-hati.

"Ini kerana melibatkan persepsi politik yang boleh mengubah kecenderungan dan corak sokongan daripada penyokong sendiri,” ujarnya.

Menurut beliau, tindakan itu juga akan menimbulkan kesukaran kepada Menteri Dalam Negeri akan datang untuk melakukan sebarang keputusan berkenaan perkara itu.

"Sebab itu, sebarang tindakan perlu dilakukan dengan cermat kerana jika wujudnya sentimen tertentu, saya khuatir ia akan memberikan gambaran negatif kepada pendekatan atau tindakan yang nak dilakukan selepas ini,” katanya.

Beliau turut meminta supaya ahli politik yang tidak bersetuju terhadap perkara tersebut dapat menyuarakan pandangan seterusnya melakukan pindaan di Parlimen.

"Saya sokong kalau ada ahli politik tidak setuju dengan tindakan sedemikian dan mahukan satu perubahan terhadap peraturan. Oleh itu, laksanakan pindaan di Parlimen. Ia boleh dilakukan. Secara prinsipnya dalam undang-undang, ia dibenarkan.

TIADA KETELUSAN

Sementara itu, Penganalisis Politik dan Media Sosial dari UiTM, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, keputusan yang menunjukkan tiada ketelusan itu telah membuatkan kekeliruan pelbagai pihak termasuk rakyat.

Jelasnya, ia sudah tentu akan memberikan impak negatif terhadap parti UMNO dan menimbulkan banyak spekulasi di peringkat bawahan.

Sara
Sara
Sara

"Mungkin ada faktor yang mengatakan UMNO di bawah kerajaan campuran dan mudah untuk bertindak sedemikian. Maka pencerahan yang jelas amat penting. Ketelusan dari segi prosedur,” ujarnya.

Tambah beliau, UMNO perlu kurangkan faktor yang mendatangkan kerosakan terhadap parti agar rakyat tidak muak apabila hal berkenaan membabitkan kepentingan awam.

Klik di sini untuk terus membaca