KETIKA membahaskan Belanjawan 2023 pada 28 Februari lalu, saya mencadangkan agar digerakkan reformasi pendidikan. Satu daripada aspek reformasi pendidikan ialah memperkasa kokurikulum dalam pendidikan.
Bab tersebut meliputi pelbagai sudut. Saya ambil dari satu sudut sahaja iaitu kesepaduan dalam kerangka pendidikan bersepadu – kesepaduan/keseimbangan antara akademik dan kokurikulum.
Matlamatnya adalah untuk melahirkan insan baik termasuklah kebolehpasaran graduan.
Hari ini untuk kemasukan ke universiti/institut pengajian tinggi awam (IPTA), pemberatan akademik dan kokurikulum adalah pada nisbah 90:10 (akademik 90 peratus, kokurikulum 10 peratus).
Saya mencadangkan nisbah tersebut diubah kepada angka yang lebih seimbang iaitu 70:30. Angka itu bukanlah rigid. Ia melambangkan semangatnya iaitu kesepaduan/keseimbangan yang lebih murni antara akademik dan kokurikulum.
Universiti-universiti terbaik dunia memberikan pemberatan yang besar terhadap kokurikulum. Untuk memasukinya, calon harus mempunyai pengalaman, contohnya dalam kesenian, sukan, keusahawanan dan/atau khidmat masyarakat yang bertaraf tinggi.
Sekadar mewakili sekolah tidak memadai. Pemberatan kokurikulumnya jauh melewati 10 peratus, malah menghampiri 50 peratus.
Realitinya, dunia kerjaya, perniagaan dan lain-lain memberi tumpuan serta imbuhan tinggi terhadap kokurikulum. Mereka yang cemerlang dalam pelbagai bidang lazimnya adalah mereka yang aktif dalam kokurikulum.
Selaras dengan nisbah yang baharu itu, budaya kokurikulum baharu dan kondusif perlu diwujudkan.
Ia meliputi kerangka governans yang melibatkan semua pihak (termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru, alumni dan pelajar/mahasiswa), pengukuhan matlamat serta objektif, pandangan sarwa, pemikiran progresif, sistem, motivasi, organisasi, penasihat, jurulatih, teknikal, penghakupayaan pelajar/mahasiswa, biasiswa dan peluang kerjaya.
Justeru, beberapa perkara perlu dilakukan.
1.Pelajar berpeluang memilih dan mengkhusus kokurikulumnya berdasarkan minat serta bakat. Tidak semestinya mengikuti tiga bidang yang rigid (sukan, kepimpinan dan persatuan).
2. Pelajar difasilitasi untuk melibatkan diri di luar, contohnya mengikuti program-program yang tidak ditawarkan sekolah/universiti/institut pengajian tinggi.
3. Pelajar dihakupaya dari segi kepimpinannya dengan terlibat dalam governans sekolah/universiti/IPT.
4. Program dan persatuan/kelab dipimpin oleh pelajar yang dipilih melalui sistem yang demokratik.
5. Dalam semua bidang, pelajar terlibat sebagai pemimpin, penganjur dan sebagainya. Contohnya, dalam persatuan bola keranjang, pelajar memimpinnya dan terlibat dalam pemilihan penasihat serta jurulatih, menganjurkan latihan/pembangunan, pertandingan dalaman dan mengatur penyokong pasukan sekolah apabila bermain di luar.
6. Guru/pensyarah yang komited diberi imbuhan setimpal, contohnya kenaikan pangkat dan gaji.
7. Membiayai jurulatih profesional, sama ada dari luar atau dalam kalangan ibu bapa dan alumni.
8. Menggalakkan ibu bapa dan alumni terlibat sebagai penasihat program/persatuan serta pengiring apabila pelajar terlibat di luar.
9. Menambah biasiswa ke universiti/institut pengajian tinggi dalam lebih banyak bidang termasuk yang selama ini kurang, contohnya debat.
10. Peluang kerjaya yang baik.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang.
Klik di sini untuk terus membaca