SUATU ketika dahulu, Venice yang dikenali sebagai Kota Terusan atau City of Canals sentiasa menjadi destinasi pilihan untuk bercuti atau berbulan madu. Bergambar di atas gondola di terusan Venice menjadi aktiviti wajib dalam kalangan... Klik di sini untuk terus membaca

SUATU ketika dahulu, Venice yang dikenali sebagai Kota Terusan atau City of Canals sentiasa menjadi destinasi pilihan untuk bercuti atau berbulan madu. Bergambar di atas gondola di terusan Venice menjadi aktiviti wajib dalam kalangan pelancong.

Berdasarkan data, lebih 14 juta pelancong memilih Venice sebagai destinasi percutian. Dianggarkan empat juta dikatakan bermalam sekurang-kurangnya semalam di Venice.

Penulis juga sentiasa berangan-angan mahu mengunjungi Venice. Begitu pun, laporan beberapa portal di seluruh dunia awal Mac lalu menggambarkan kononnya terusan di Venice sudah kering.

Beberapa keping gambar memperlihatkan gondola tersadai gara-gara terusan yang kering, cukup untuk menimbulkan rasa sedih di hati penulis. Namun, ada yang menyelar penyiaran cerita tersebut disifatkan sebagai palsu.

Bayangkan jika ia benar. Beribu gondola tersadai di terusan Venice yang kering kontang tanpa air. Venice cukup sinonim sebagai Kota Terapung atau Floating City. Lebih 80 peratus muka bumi Venice ialah air.

Ia terletak di sepanjang Venetian Lagoon – sekumpulan air masin yang luas dipisahkan dari Laut Adriatik oleh sebidang tanah dan tembok hampir 50 kilometer panjang serta dilengkapi empangan air masuk dan keluar.

Venice ialah bandar yang dibina di atas pulau-pulau kecil buatan manusia. Venice bukti kehebatan manusia di Itali. Mereka membina Venice di atas pulau-pulau buatan bersaiz kecil, dipisahkan terusan air atau sistem perparitan di sepanjang lagun.

Venice mempunyai lebih 150 terusan air pelbagai saiz yang bersambung antara satu sama lain. Wujud pelbagai jenis terusan sisi atau side canal bersaiz kecil anggaran 0.5 meter lebar serta purata kedalaman antara satu meter hingga dua meter.

Terusan besar atau terusan utama bersaiz lebih tiga kilometer panjang, antara 30 meter dan 70 meter lebar. Purata kedalaman Terusan Giudecca pula cukup besar untuk laluan kapal persiaran.

Ketika ini ada lebih 150 terusan air pelbagai saiz yang bersambung antara satu sama lain di Venice. Angka awal tahun ini menunjukkan penduduk Venice seramai 641,000 orang meningkat 0.31 peratus dari tahun lalu.

Sistem perkhidmatan, perairan, perparitan, bahan buangan dan sanitasi juga menjadi sangat kompleks.

Namun, sistem ‘gatoli’ telah menyelamatkan Venice daripada masalah sisa buangan manusia, detergen dobi dan bahan pencemaran hasil sisa perindustrian.

Penulis pernah membaca satu artikel terbitan akhbar tabloid Britain, The Guardian yang mengutarakan kebimbangan bakal berlaku kepada Pergunungan Alps, banjaran gunung tertinggi dan paling luas terletak di Eropah.

Alps dikatakan bakal menerima jumlah salji sangat rendah yang mengakibatkan terusan di Venice menjadi surut, sekali gus menyebabkan gondola, teksi air dan juga ambulans tidak dapat merentasi terusan ikonik tersebut.

Wujud juga petanda Eropah menyambut 2023 dengan cuaca ekstrem iaitu kemarau pada musim sejuk. Awal Januari lalu, National Geographic menerbitkan video khas bertajuk Earth Science, Oceanography Ocean Currents and Climate.

Ia menggambarkan usaha saintis di seluruh dunia dilaporkan cuba mencari punca lautan menjadi lebih ganas dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi fenomena itu.

Video tersebut mendedahkan arus lautan menjadi ‘tali pinggang penghantar’ atau ocean conveyor belt yang berperanan penting dalam menentukan lautan sebagai pengagih tenaga haba (heat energy distribution) dengan cara mengawal selia dan menstabilkan corak iklim bumi.

Kajian itu berasaskan konsep aliran jisim air atau arus air.

ALLAH SWT sebenarnya telah mengingatkan manusia tentang kebesaran alam semesta dalam surah Ar-Ruum ayat 30:41 yang terjemahannya bermaksud: "Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia supaya ALLAH berasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

”Secara asas, Eropah sememangnya benua yang kaya dengan air. Jarang terdengar benua tersebut berdepan masalah kekurangan air. Perubahan iklim jarang menyebabkan salji berkurangan di kawasan pergunungan.

Namun, kesan ketukan buruk di seluruh benua itu menyebabkan wujud keperluan mengisi semula paras air bawah tanah.

Kesimpulannya, kebimbangan Venice berdepan masalah kemarau yang teruk sehingga menyebabkan gondola, teksi air atau ambulans tersadai di terusan tetap wujud. Hanya masa akan menentukan bilakah ia akan berlaku?

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Klik di sini untuk terus membaca