USAHAWAN yang rajin menambah ilmu dan mencari-cari kemahiran baharu untuk diamalkan di dalam perniagaan masing-masing akan mendapati ada pelbagai jenis guru dan teori di luar sana.
Ada yang berasal dari luar negara dan ramai juga tokoh-tokoh tempatan. Jadi, apakah pedoman untuk mencari guru dan ilmu yang sesuai dengan perniagaan yang dijalankan itu?
Satu perkara penting yang perlu diambil kira ialah peringkat pertumbuhan perniagaan yang dijalankan.
Perniagaan ada peringkat-peringkat pertumbuhannya dan setiap peringkat ada keperluan tersendiri yang perlu dipenuhi agar perniagaan boleh berkembang ke peringkat yang seterusnya.
Di peringkat awal perniagaan, keutamaannya ialah untuk mempastikan produk atau pun perkhidmatan yang ditawarkan benar-benar diterima oleh pelanggan di dalam segmen pasaran yang dipilih. Di peringkat ini juga model perniagaan yang diguna pakai diuji keberkesanannya.
Kedudukan kewangan di peringkat ini amat genting dan bergantung kepada modal yang dibawa masuk oleh usahawan. Sekiranya perniagaan dapat melepasi peringkat awal yang genting itu, ia akan memasuki peringkat perkembangan pesat.
Di kala ini tumpuan biasanya diberikan kepada pembinaan pasukan pengurusan, pengukuhan pengeluaran dan pemasaran, menambah modal perniagaan dan juga mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkaitan.
Pertambahan bilangan ahli pasukan akan menyebabkan usahawan perlu menambah baik kaedah pengurusan yang diamalkan.
Dia kena lebih banyak menyerahkan tugas dan tanggungjawab yang selama ini dilakukannya sendiri kepada ahli pasukan yang layak dan dipercayai.
Peringkat perniagaan seterusnya ialah peringkat kelestarian yang mana fokus diberikan untuk mengekalkan kedudukan di dalam pasaran, mempekukuhkan kaedah operasi supaya lebih efisyen dan berkesan.
Struktur organisasi sudah mencapai tahap kematangan dan penumpuan diberikan kepada pembangunan bakat dan kerjaya supaya ahli pasukan yang berprestasi tinggi dapat dikekalkan di dalam perniagaan.
Dari segi kewangan pula, proses pengurusan kewangan sudah mampu menguruskan keperluan kewangan dari segi membawa masuk modal, mendapatkan pembiayaan, menguruskan aliran tunai serta modal kerja dan juga melaburkan dana yang berlebihan agar menambahkan pulangan kepada perniagaan.
Sekiranya perniagaan terus berkembang dan melepasi peringkat kelestarian, ianya akan memasuki peringkal penglobalan.
Pasarannya akan menjangkau sempadan, bersaing dengan pesaing yang lebih besar dan berkempuan serta perlu meningkatkan keupayaan berinovasi agar mampu memenuhi kehendak pelanggan di pelbagai lokasi luar negara.
Pengurusan pemasaran, operasi, modal insan, kewangan dan pematuhan akan menjadi lebih kompleks dan mencabar. Seperti yang dinyatakan di atas, perniagaan memerlukan solusi yang berbeza di setiap peringkat perkembangan.
Ini bermakna, usahawan kena pandai mengenal pasti isu yang perlu ditangani dan merujuk kepada guru dan mengaplikasi ilmu serta kemahiran yang besesuaian.
Idea atau pun penyelesaian yang sesuai di peringkat lestari atau global mungkin akan menimbulkan lebih banyak masalah sekiranya dilaksanakan di peringkat awal perniagaan.
Sebaliknya, formula kejayaan di peringkat awal tidak semestinya akan terus berkesan di peringkat-peringkat perniagaan yang seterusnya.
Oleh itu, sebelum mencari guru-guru dan ilmu-ilmu baharu, eloklah dinilai dahulu di mana kedudukannya perniagaan kita dan apakah isu-isu utama yang menjadi cabaran. Ini akan membantu bagi mencari penyelesaian yang bersesuaian.
Kita kena mengelakkan membawa masuk penyelesaian yang membawa maslah.
Jadi, pesan orang tua-tua 'ukur baju di badan sendiri' terpakai juga di dalam pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan perniagaan.
* Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.
Klik di sini untuk terus membaca