Pada 27 Februari, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid diumumkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Terap selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini dan merupakan satu-satunya Ketua UMNO Bahagian di Kedah yang tidak dicabar.
Di peringkat Pusat pula, beliau akan mempertahankan jawatan disandang untuk penggal kedua pada pemilihan parti 2023-2026 dengan bakal berdepan tujuh calon lain.
Pengalaman luas bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu dalam politik mahupun pentadbiran melayakkan beliau untuk berada dalam kalangan pimpinan lima teratas parti.
Namun, bekas Menteri Besar Kedah ke-8 itu yang juga Ahli Parlimen Padang Terap sejak 2013 meraikan persaingan sihat dalam parti selain menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih sama ada beliau kekal berada di kedudukan lima teratas kepimpinan atau sebaliknya.
Ikuti kupasan wartawan Sinar Harian, ROSLINDA HASHIM dan jurufoto, WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR bersama Mahdzir berkaitan pemilihan UMNO yang disifatkan sengit selepas prestasi hambar parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
SINAR HARIAN: Apa yang boleh Datuk Seri rumuskan mengenai pemilihan parti kali ini, adakah paling sengit dan paling ramai calon tawarkan diri bertanding pelbagai jawatan?
MAHDZIR: Saya dapati setiap kali adanya pemilihan, jumlah calon yang bertanding agak tinggi. Pada pemilihan 2018, jumlah calon yang menawarkan diri bertanding hampir sama dengan tahun ini iaitu melebihi 90 calon untuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kali ini pula 95 calon.
Calon Naib Presiden sebelum ini tujuh orang, kali ini bertambah kepada lapan calon. Namun perwakilan hanya perlu pilih tiga nama untuk Naib Presiden dan 25 anggota MKT.
SINAR HARIAN: Pemilihan kali ini menyaksikan jawatan Naib Presiden direbut lapan calon, apakah mesej yang ingin disampaikan kepada parti atau ia perkara biasa dalam UMNO?
MAHDZIR: Saya andaikan ia memberi petunjuk bahawa masih ramai tokoh dalam parti mahu menawarkan diri berkhidmat untuk parti tanpa mengira jawatan, sama ada peringkat Naib Presiden atau MKT.
SINAR HARIAN: Pandangan Datuk Seri adakah tidak timbul persaingan seolah-olah masing-masing mahu menjatuhkan antara satu sama lain untuk merebut jawatan?
MAHDZIR: Tidak sehingga menjurus ke arah itu, ia lebih kepada persaingan dalam sebuah keluarga besar. Setakat ini pemilihan semua peringkat berjalan dengan baik, sama ada di peringkat sayap mahupun MKT.
Untuk wujudkan suasana harmoni, parti memperkenalkan majlis pengenalan calon-calon bertanding di setiap negeri, bermula di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Kedah, Perak seterusnya di Sabah.
Mana-mana calon yang berkelapangan boleh hadir ke negeri-negeri mengikut jadual ditetapkan. Mungkin tidak semua calon dapat berkumpul serentak kerana masing-masing ada komitmen lain. Setakat ini, sesi pengenalan calon berlangsung harmoni dan masing-masing bersaing secara sihat.
SINAR HARIAN: Dua penyandang Naib Presiden iaitu Datuk Seri dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dicabar enam muka baharu, bagaimana Datuk Seri melihat peluang dalam mempertahankan jawatan ini?
MAHDZIR: Pemilihan parti tertakluk pada sistem demokrasi. Calon yang menerima undi terbanyak akan menjadi pemenang.
Saya hanya tawarkan diri dan berharap mendapat sokongan akar umbi dan terus diberikan kepercayaan menjadi salah seorang daripada Naib Presiden untuk penggal ini.
Saya ingin sampaikan mesej kepada pemimpin semua peringkat, bantulah saya pertahankan jawatan ini, Insya-ALLAH jika menang saya mahu bantu kepimpinan parti meneruskan usaha memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
Yang keduanya, saya mahu penyokong atau individu bukan ahli parti dapat melihat kembali untuk meletakkan UMNO sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan bangsa dan membangunkan negara.
Kita mahu UMNO kekal relevan dan sesuai dengan peredaran masa walaupun dibarisi golongan muda, profesional, teknokrat, kelas pertengahan, penduduk luar bandar mahupun bandar.
Kita akan pastikan akhirnya parti ini diterima semua peringkat yang akan terjemahkan penerimaan itu dalam bentuk mengundi UMNO dalam pilihan raya akan datang.
SINAR HARIAN: Seorang lagi penyandang Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempertahankan jawatan, membuatkan ramai kecewa. Adakah ia ada kaitan ura-ura beliau dipinggirkan Presiden UMNO?
MAHDZIR: Pada pandangan saya, Ismail Sabri tidak tawarkan diri bertanding kemungkinan beliau sudah capai kedudukan tertinggi sebelum ini sebagai Perdana Menteri.
Tidak ada isu kononnya beliau dipinggirkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Saya percaya ia tiada kaitan dengan dakwaan tersebut.
SINAR HARIAN: Pemilihan daripada perwakilan mewakili suara akar umbi, adakah Datuk Seri sedia terima kekalahan jika tewas?
MAHDZIR: Ya kita harus terima hakikat. Kalau menang alhamdulillah, kalau kalah apa yang boleh dilakukan itu kehendak akar umbi, ia sebahagian daripada proses demokrasi.
UMNO adalah sebuah parti perjuangan dan saya telah lama berada di dalamnya, jadi kita teruskanlah mengikut kemampuan masing-masing.
SINAR HARIAN: Apa yang Datuk Seri akan tawarkan atau bawa perubahan dalam UMNO sekiranya menang Naib Presiden?
MAHDZIR: Parti tertakluk pada MKT, apa jua dasar yang mahu dilaksanakan, ia konsensus dalam MKT, kita hanya boleh kemukakan cadangan. Antara perkara yang boleh diberikan perhatian, bina semula UMNO sehingga pilihan raya akan datang.
Dalam tempoh itu, antara aspek perlu diperkukuhkan termasuk keahlian parti, masa depan golongan muda dan pemahaman politik menerusi sekolah politik.
SINAR HARIAN: Pemilihan turut menyaksikan beberapa pemimpin lama membuat kemunculan semula, antaranya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita. Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kembali bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar. Adakah kehadiran mereka masih relevan untuk bina semula UMNO?
MAHDZIR: Pemilihan kali ini menggabungkan calon muka baharu dan pemimpin lama yang buat come back, itu hak masing-masing. Mungkin mereka berasakan masih mampu menyumbang kepada parti. Kehadiran mereka masih relevan dalam parti dan sesiapa sahaja boleh menawarkan diri bertanding. Terpulanglah kepada ahli-ahli yang akan membuat undian kelak.
SINAR HARIAN: Apa yang Datuk Seri harapkan dalam pemilihan kali ini?
MAHDZIR: Selepas dua kali UMNO kecundang dalam PRU 2018 dan 2022, saya yakin sekiranya kita berada di landasan betul dengan pasukan kepimpinan yang akan dipilih dalam pemilihan, UMNO bakal menjadi pasukan terkuat untuk berdepan PRU akan datang.
Kita tak mahu wujudnya puak-puak dalam parti. Kekalkan solidariti dan kebersamaan untuk parti kembali gemilang. Kalau semua berfikiran sama dengan hasrat pucuk pimpinan, parti ini boleh berada di kedudukan terbaik.
Isu pembersihan parti tidak memberi kesan buruk terhadap UMNO. Kalau asyik bercakaran, strategi tak jelas, mungkin timbul masalah. Patuhi formula dan jangan syok sendiri.
Klik di sini untuk terus membaca