MINGGU lalu wartawan mengajukan soalan berkenaan pemilihan Naib Presiden UMNO. Antara soalan menarik dikemukakan ialah ramalan nama yang bakal mengisi tiga jawatan tersebut. Secara peribadi memang sukar untuk menjawabnya, tetapi saya... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu wartawan mengajukan soalan berkenaan pemilihan Naib Presiden UMNO. Antara soalan menarik dikemukakan ialah ramalan nama yang bakal mengisi tiga jawatan tersebut.

Secara peribadi memang sukar untuk menjawabnya, tetapi saya mengemukakan tiga nama sebagai berpotensi untuk menang iaitu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Besar (MB) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Namun sebagai pemerhati politik, Wan Rosdy mungkin antara pilihan terbaik dan selamat bagi mengisi jawatan naib presiden, di sebalik andaian yang diberikan untuk membandingkan beliau dengan calon-calon lain.

Ada beberapa pertimbangan untuk hal tersebut. Dalam konteks pemilihan UMNO, penulis merujuk kepada kenyataan Khaled yang melihat pemilihan menjadi proses dalaman parti bagi membentuk kepemimpinan dan pasukan yang boleh memulihkan parti, bukannya melonjak individu tertentu.

Secara tersirat, kenyataan tersebut membawa dua konotasi penting. Pertama, akar umbi harus mencari mereka yang menghormati institusi parti dan mampu mengekalkan perpaduan di dalam parti. Kedua seseorang yang berpengalaman, setia dan boleh bekerja secara berpasukan dengan tidak mementingkan diri semata-mata untuk meraih sokongan.

Aspek ini dilihat ada dalam Wan Rosdy. Beliau tokoh lama dan berpengaruh di Pahang. Sebelum menjadi MB Pahang, beliau menjadi Exco selama dua penggal di bawah kepimpinan Tan Sri Adnan Yaakob, MB paling lama di Pahang.

Sebagaimana setianya Adnan Yaakob yang menjadi ADUN Pelangai selama lapan penggal sebelum menjadi MB, Wan Rosdy juga sedang mengikuti jejak tersebut. Beliau merupakan ADUN Jelai selama lima penggal sejak 2004.

Sepanjang kedua-dua tokoh tersebut bergandingan, Pahang mengalami kestabilan politik dan pembangunan membanggakan. Malah, peralihan kuasa yang berlaku antara kedua-duanya berlangsung dengan baik dan aman berpunca daripada kesetiaan mereka terhadap parti dan kepemimpinan.

Trek rekodnya sebagai MB mungkin paling mencabar, namun ia bukti bahawa Wan Rosdy memang seorang team player. Beliau berjaya membentuk kerajaan campuran secara aman dengan menjemput parti lawan membentuk kerajaan di Pahang, lantas merintis jalan ke arah yang sama di Perak dan Persekutuan.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Barisan Nasional (BN) negeri Pahang paling memuaskan berbanding negeri lain. BN Pahang di bawah pimpinan Wan Rosdy berjaya memenangi 17 daripada 42 kerusi yang dipertandingkan berbanding BN Perak (sembilan daripada 59 kerusi) dan Perlis (kosong daripada 14 kerusi).

Pengalaman dan kematangan politik yang ditunjukkan beliau merupakan aset penting dalam konteks pemulihan UMNO. Justeru, apabila ditanya minggu lalu, penulis melihat beliau mampu untuk menabur bakti dan menyumbang kepada parti secara langsung dan lebih bermakna sebagai naib presiden.

Aspek setia kepada parti, boleh bekerja secara berpasukan dan tidak mementingkan diri inilah kualiti yang ada pada beliau selari dengan keperluan UMNO untuk membentuk kepemimpinan dan pasukan yang boleh memulihkan parti dan bergerak ke hadapan.

Benar kedudukan beliau sebagai MB Pahang juga memberikan kelebihan, namun dalam keadaan UMNO yang berbeza, tokoh seperti beliau dilihat mampu menyumbangkan sesuatu bagi penggal seterusnya.

Lagipun UMNO perlu seseorang yang berpendekatan sederhana dan terbuka sepertinya bagi mengurangkan masalah dalaman parti dan mengharmonikan pimpinan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca