KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara tabung simpanan persaraan tertua dan yang terbesar di dunia. Ia bermula apabila Pemilik Ladang Getah Persendirian mewujudkan satu skim tabungan sebagai inisiatif perlindungan dan... Klik di sini untuk terus membaca

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara tabung simpanan persaraan tertua dan yang terbesar di dunia. Ia bermula apabila Pemilik Ladang Getah Persendirian mewujudkan satu skim tabungan sebagai inisiatif perlindungan dan jaminan hari tua kepada para pekerja mereka.

Skim tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada sektor perladangan dan perlombongan yang merupakan sektor ekonomi utama negara pada ketika itu.

Pada tahun 1949, Jabatan Buruh mencadangkan penubuhan Majlis Bersama Gaji yang mewakili kepentingan pekerja dan majikan dengan memperkenalkan satu skim tabungan nasional untuk melindungi pekerja.

Pada permulaannya, caruman dalam skim tersebut hanya di peringkat majikan dan pekerja yang berpendapatan rendah dan diuruskan oleh sebuah tabung. Akhirnya perkara itu telah membawa kepada penggubalan Ordinan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pada 1 Oktober 1951 yang seterusnya membawa kepada penubuhan KWSP.

Berdasarkan kepada catatan sejarah, KWSP ditubuhkan ketika Tanah Melayu dalam keadaan darurat yang berpunca daripada ancaman komunis. Oleh itu, kerajaan berpendapat penubuhan tabung simpanan pekerja itu sebagai satu langkah penting ke arah memberi perlindungan kepada kaum pekerja.

Selepas 72 tahun penubuhannya, KWSP terus memainkan peranan penting bagi memastikan golongan pekerja dapat menikmati persaraan mereka dan tidak menjadi miskin.

Dengan duit simpanan tersebut ramai yang mendapat manfaat dan berjaya memiliki rumah idaman masing-masing, menunaikan ibadah haji atau umrah, membiayai kos perubatan malah untuk tujuan pendidikan anak-anak yang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Jadi inilah dilema yang sedang dihadapi oleh KWSP apabila buat pertama kali dalam sejarahnya, kerajaan telah membenarkan pengeluaran wang tersebut pada tahun 2020 selepas negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Sehingga kini sebanyak empat program pengeluaran KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra, dan Pengeluaran Khas, dengan jumlah keseluruhan RM155 bilion.

Nampaknya, keghairahan untuk mendesak pengeluaran wang simpanan tersebut terus berlaku dan tidak akan berhenti selagi kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan perkara yang sama.

Ia ibarat satu ketagihan candu yang menyebabkan ramai tidak dapat berfikir secara waras lagi dan sudah lupa tentang kepentingan sebenar simpanan KWSP.

Yang kita bimbang ialah desakan ini hanyalah mainan politik pihak tertentu termasuk golongan yang sebenarnya tidak berhadapan dengan kesusahan sebaliknya mahu mengeluarkan duit itu untuk berjoli.

Jadi yang perlu jadi perhatian utama kerajaan sekarang ialah golongan yang masih terkesan dan memerlukan bantuan.

Persoalan yang sering berlegar dalam fikiran ialah berapa ramai sebenarnya yang benar-benar memerlukan wang tersebut ? Mungkin KWSP boleh membuat kajian terperinci jumlah pencarum yang benar-benar dalam kesusahan.

Berdasarkan data-data yang diperoleh itu juga membolehkan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran khas yang lebih bersasar atau menerusi bantuan lain yang sudah sedia ada.

Justeru, kaedah ini lebih baik daripada cadangan kerajaan untuk membenarkan pencarum menjadikan akaun dua KWSP sebagai cagaran membuat pinjaman bank.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca