SETELAH mengalami kecederaan dalam set penggambaran, pelakon terkenal Fasha Sandha tidak membuang masa memuat naik gambar dan menjelaskan situasinya di media sosial. Beliau turut menekankan bahawa kejadian tersebut adalah kemalangan dan... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH mengalami kecederaan dalam set penggambaran, pelakon terkenal Fasha Sandha tidak membuang masa memuat naik gambar dan menjelaskan situasinya di media sosial. Beliau turut menekankan bahawa kejadian tersebut adalah kemalangan dan tidak menyalahi mana-mana pihak.

Kecederaan yang dialami Fasha tidak ringan. Tulang tengkoraknya yang berdekatan dengan mata kiri retak kerana pelakon yang mengambil watak sebagai suaminya menarik rambut Fasha dan menolaknya dengan kuat sehingga terhentak bucu katil yang tajam. Mujur bucu katil terkena tulang dan bukannya mata Fasha.

Namun begitu, dengan impak yang boleh menyebabkan tulang retak, anda boleh bayangkan keganasan fizikal yang digunakan. Seperti mana Fasha menceritakan, beliau dan Azhan Rani (watak suami) merupakan pelakon profesional yang komited untuk menjayakan watak lakonan tetapi persoalannya, kenapa drama Melayu perlu mensensasikan keganasan terhadap wanita?

Oleh kerana filem dan drama sering menceritakan suami yang ingin mengawal pasangannya melalui keganasan, perbuatan terhadap wanita itu menjadi norma dalam masyarakat terutama dalam minda orang-orang muda yang minat mengejar drama di TV.

Boleh dikatakan lelaki turut menjadi ‘mangsa’ semasa penggambaran yang melibatkan aksi pergaduhan. Terdapat pelakon lelaki yang tercedera di set penggambaran seperti Aaron Aziz dalam KL Gangster 2. Dengan sewenangnya, boleh kita samakan keganasan terhadap lelaki dan wanita, dengan alasan asalkan semua pihak mengalami keganasan, jantina tidak penting, dan penghibur-penghibur boleh terus menikmati pembunuhan dan kekecohan tanpa dibelenggu hati nurani.

Hakikatnya, keganasan terhadap lelaki adalah berbeza bila dibandingkan dengan keganasan terhadap wanita di dunia hiburan.

Apabila lelaki menjadi sasaran untuk keganasan, keganasan itu tidak bersifat seksual dan tidak beremosi. Wira atau antagonis dalam skrin membunuh secara santai untuk menunjukkan kekuatan dan kelelakian. Tambahan lagi, watak lelaki dipukul untuk menunjukkan ketabahan lelaki. Bagi watak wanita, keganasan biasanya bersifat seksual, menarik perhatian dan menunjukkan kelemahan wanita.

Sekiranya watak lelaki tersebut mati dalam skrin, orang tidak akan menyatakan apa-apa malah memuji watak tersebut kerana ia dilihat sebagai pengorbanan.

Wanita tidak boleh menjadi wirawati dan lelaki hanya boleh menjadi wira. Itulah logik budaya orang timur.

Manusia diciptakan berbeza-beza karakter. Terdapat lelaki yang bersifat lembut, bersopan-santun dan berbudi bicara. Adakah golongan ini kekurangan kelelakian? Tidak semestinya.

Industri hiburan tempatan sepatutnya menerokai pelbagai genre yang akan mengangkat aspek sosial, seni dan budaya setiap lapisan masyarakat. Elemen hiburan dalam filem tetap penting dan bergantung kepada kreativiti pengarah dan penerbit untuk menangkap imaginasi penonton sambil menyampaikan mesej yang diingini.

Masyarakat tempatan semakin matang dari segi pemikiran dan mampu menghayati dan menilai karya dari sudut pandang seni serta nilai murni. Filem dan drama yang kurang keganasan mampu menarik perhatian penonton.

Dengan dunia hiburan yang semakin berkembang, dan nama Malaysia yang dibawa ke persada antarabangsa oleh Michelle Yeoh yang lulus pencalonan trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam Oscars.

Kopitiam Kita yakin para penulis, penerbit dan pengarah tempatan dapat menghasilkan karya yang bermutu tinggi, realistik dan menaikkan status wanita.

*Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakatf

Klik di sini untuk terus membaca