SHAH ALAM - Biarpun terpalit dengan kes rasuah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka terus kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun terpalit dengan kes rasuah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka terus kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, beliau percaya bekas Perdana Menteri kelapan itu tidak akan meletakkan jawatan selaku Pengerusi PN dan Presiden Bersatu dalam masa terdekat kerana masih mendapat sokongan padu pemimpin dan ahli parti terbabit.

Razali berkata, isu peletakan jawatan Muhyiddin tidak timbul sama sekali biarpun Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di Taman Melewar dijangka membincangkan kes pendakwaan terpilih terhadap Ahli Parlimen Pagoh terbabit.

"Tidak timbul langsung isu Muhyiddin perlu meletakkan jawatan selaku Pengerusi PN dan Presiden Bersatu kerana beliau bukan 'menyamun duit' masuk dalam poket sendiri.

"Muhyiddin dituduh menyalahgunakan kuasa kerana sumbangan politik dimasukkan ke dalam akaun parti bukan tujuan peribadi seperti dilakukan oleh beberapa pemimpin parti lain," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada wujud keperluan Muhyiddin melepaskan jawatan selaku Pengerusi PN dan Presiden Bersatu selepas menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

Susulan itu, Muhyiddin memaklumkan, kedudukannya sebagai Presiden Bersatu akan diputuskan MPT kerana beliau dipilih melalui pertandingan, berbeza dengan Wan Saiful yang sebelum ini dilantik sebagai Ketua Penerangan parti itu.

Justeru, Razali menyifatkan pendakwaan terhadap Muhyiddin adalah salah satu rancangan musuh gabungan parti itu bagi memburukkan imej PN terutama Bersatu dan Pas yang semakin mendapat tempat di hati rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Tidak timbul isu peletakan jawatan Muhyiddin kerana kami beranggapan ini adalah pertuduhan politik kerana mahu menanam Bersatu dan PN supaya kita nampak buruk di mata rakyat," katanya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpandangan, walaupun kes mahkamah membabitkan Muhyiddin itu mungkin sedikit sebanyak akan menjejaskan imej PN dan Bersatu yang sebelum ini sering melaungkan slogan 'Bersih dan Adil', namun Ahli Parlimen Pagoh berkenaan dijangka terus kekal memimpin pakatan pembangkang.

Hisommudin berkata, tindakan Muhyiddin menyerahkan kepada MPT untuk menentukan nasibnya, maka ia secara tidak langsung menggambarkan Bersatu akan mengekalkan kedudukannya selaku Presiden dan Pengerusi PN.

Oleh itu, Hisommudin menjangkakan Muhyiddin tidak akan melepaskan jawatannya dalam masa terdekat seperti dilakukan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan sebelum ini.

Beliau berkata, walaupun kes mahkamah berkenaan akan menjejaskan imej Muhyiddin, namun kepimpinan dan pengaruh bekas Perdana Menteri itu masih diperlukan oleh Bersatu dan PN untuk meneruskan survival politik mereka.

Tambah Hisommudin, tanpa kepimpinan Muhyiddin, mungkin Bersatu dan PN akan hilang pengaruh dan sokongan pengundi menjelang PRN nanti.

"Jadi atas keperluan dan kepentingan PN maka mereka melihat kepimpinan Muhyiddin adalah lebih besar berbanding keperluan beliau untuk berundur atau pertuduhan berkenaan.

"Bagi saya beliau tidak perlu melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN dan Presiden Bersatu kecuali Muhyiddin sudah didapati bersalah oleh mahkamah," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca