SHAH ALAM - Institusi perbankan di negara ini mampu menawarkan pinjaman dengan kadar faedah serendah satu peratus kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan rata-rata bank mencatat keuntungan tinggi setiap tahun termasuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Institusi perbankan di negara ini mampu menawarkan pinjaman dengan kadar faedah serendah satu peratus kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan rata-rata bank mencatat keuntungan tinggi setiap tahun termasuk ketika pandemik Covid-19.

Pakar Ekonomi daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, berdasarkan rekod keuntungan itu, pihak bank dijangka tidak akan mengalami kerugian apatah lagi pendapatan bank tidak hanya bersandarkan kepada bayaran balik pinjaman peribadi.

"Bank mempunyai sumber pelaburan lain seperti bon atau sukuk, hartanah, saham syarikat dan lain-lain. Bank juga memperoleh pendapatan dan keuntungan melalui bayaran balik pinjaman untuk perumahan dan kenderaan.

"Sekiranya bank mengenakan caj satu peratus sahaja, ini merupakan suatu perkara yang baik dan bersesuaian dengan konsep Madani iaitu menyejahterakan masyarakat melalui dasar pinjaman dan pembiayaan yang mesra rakyat.

Mengenai cadangan kerajaan membayar kadar faedah bagi pinjaman tersebut, Mohd Faisol berpandangan ia boleh dilaksanakan jika kerajaan mempunyai dana mencukupi dan perancangan ekonomi strategik.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan mengeluarkan satu sijil jaminan kepada pihak bank untuk tempoh tertentu bagi tujuan tersebut.

"Menjadi keutamaan kerajaan adalah memastikan cagaran KWSP tidak akan menyumbang kepada peningkatan jumlah rakyat miskin bandar atau bilangan individu menjadi bankrap, jika mereka gagal membayar balik pinjaman,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun operasi bank berorientasikan keuntungan tetapi cagaran wang KWSP bagi tujuan pinjaman perlu dilihat secara holistik dengan mengambil kira keupayaan peminjam membayar balik pinjaman.

"Sekiranya mereka mampu membayar balik pinjaman maka wang KWSP kekal menjadi simpanan hari tua nanti.

"Sebaliknya jika tidak mampu membayar balik maka simpanan pada hari tua akan berkurang atau menjadi sifar.

"Bayangkan jika sesuatu yang buruk berlaku dalam ekonomi atau kehidupan harian rakyat, sudah pasti ia akan menjejaskan keharmonian hidup mereka,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca