MINGGU lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen tahun kewangan 2022 sebanyak 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus syariah. Ini adalah lebih rendah daripada kadar tahun kewangan 2021 dan antara yang... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen tahun kewangan 2022 sebanyak 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus syariah.

Ini adalah lebih rendah daripada kadar tahun kewangan 2021 dan antara yang paling sedikit dalam sejarah. Berita buruk itu disertai pula oleh pelbagai maklumat sampingan yang tidak menggembirakan dan menimbulkan persoalan.

Antaranya adalah kemerosotan jumlah aset bawah urusan (assets under management / AUM) sebanyak 0.7 peratus, daripada RM1.01 trilion pada tahun 2021 kepada RM1 trilion sehingga 31 Disember 2022.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah tabung persaraan itu yang aset bawah urusannya merosot. KWSP ditubuhkan pada tahun 1951 iaitu sebelum Merdeka.

Hal ini terjadi akibat pengeluaran berulang kali yang dibenarkan oleh kerajaan ketika pandemik Covid-19, pengangguran yang meningkat dan upah yang rendah.

Sebanyak RM145 bilion telah dikeluarkan oleh ahli yang layak melalui empat skim pengeluaran antara tahun 2020 dan 2022 iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra, dan kemudahan pengeluaran khas RM10,000. Jumlah aset bawah pengurusan yang lebih kecil dan disertai pula oleh faktor-faktor pasaran menyebabkan pulangan merosot.

Daripada laporan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kita mengetahui satu lagi maklumat yang tidak menggembirakan mengenai ekonomi negara kita iaitu kejatuhan produktiviti.

Hal ini telah saya bangkitkan di sini beberapa kali. Ekonomi Malaysia semakin hilang daya pengeluaran. Maksudnya pulangan daripada pelaburan semakin menurun.

Nasib baiklah pengurusan KWSP, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah mengambil langkah menambah pelaburan di luar negara. Kalau tidak kerana pelaburan di luar negara, keuntungan dan dividen mungkin lebih rendah.

Pelaburan luar negara yang merupakan 36 peratus daripada keseluruhan modal KWSP bagi tahun 2022 telah berjaya menghasilkan 45 peratus daripada pulangan.

Dalam bahasa yang mudah, labur di luar negara sedikit tetapi keuntungannya besar. Labur dalam negara banyak tetapi keuntungannya kecil.

Inilah antara contoh bahawa produktiviti ekonomi negara semakin menurun. Kalau kita tengok prestasi pasaran saham sahaja, kita dapati sudah lebih lima tahun harganya jatuh. KWSP banyak melabur di Bursa Malaysia.

Saya sokong langkah kerajaan tidak lagi membenarkan pencarum aktif KWSP mengeluarkan simpanan mereka.

Pengeluaran pramatang oleh pencarum aktif bukan sahaja menjelaskan kebajikan hari tua mereka malah turut mengurangkan kemampuan KWSP menjana keuntungan untuk semua pencarum.

Perbuatan menyeluk tabung inilah yang menyebabkan banyak tabung persaraan kebangsaan dan syarikat hilang daya menjana pulangan atau bankrap terus.

Kita telah lihat macam mana tabung pencen kakitangan awam, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, digoncangkan oleh pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd untuk projek yang tidak wujud, kononnya di Mongolia.

Skandal inilah yang akhirnya menyumbat masuk bekas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam penjara.

Namun nampaknya pemenjaraan Najib ini belum menjadi pengajaran kepada ahli politik Malaysia yang lain. Mereka terus berjudi dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Pengurusan KWSP dan sesiapa sahaja yang pakar dalam bidang kewangan mesti berani dan tegas menasihatkan kerajaan mengenai cadangan membenarkan simpanan KWSP digunakan sebagai cagaran pinjaman bank oleh pencarum.

Ada dua perkara yang wajib dihalusi. Pertama, apakah implikasi mencagarkan aset bawah pengurusan KWSP kepada bank dan kedua cadangan ini terlalu besar untuk diputuskan oleh Perdana Menteri seorang. Perdana Menteri datang dan pergi tetapi KWSP kekal.

Seperkara lagi, tanpa dibenarkan berhutang menggunakan simpanan KWSP sebagai cagaran pun, banyak individu dan isi rumah sudah menanggung beban hutang yang kronik.

Angka terbaharu iaitu bagi tahun 2021 menunjukkan hutang isi rumah adalah bersamaan dengan 89.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) atau berjumlah AS$329.6 bilion (kira-kira RM1.5 trilion).

Kesimpulannya, setelah mengumumkan cadangan meminda Akta Insolvensi bagi membebaskan kira-kira 130,000 orang daripada status muflis akibat hutang kecil, adalah janggal bagi kerajaan membuka jendela hutang baharu dengan memperalatkan caruman KWSP.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca