SEBAIK sahaja melangkah keluar dari pekarangan sebuah masjid di Cyberjaya menuju ke kereta selepas solat Jumaat minggu lalu, saya didekati oleh seorang lelaki yang sudah agak berumur.
"Tuan,” sapa beliau, kemudian menyambung, "boleh tolong saya.”
"Tolong apa?” tanya saya.
"Boleh beri saya RM20 buat makan tengah hari,” katanya.
Dia memperkenalkan dirinya sebagai Encik X (bukan nama sebenar). Berusia 68 tahun. Seorang pesara swasta. Beliau tidak lagi mempunyai pekerjaan tetap, meneruskan kelangsungan hidup selama ini menggunakan saki baki caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan sewaktu berusia 55 tahun. Bila kesempitan wang, dia meminta bantuan seperti yang dilakukan sewaktu bertemu saya hari itu.
Mendengar cerita sedihnya, yang entah betul entah tidak, tanpa berfikir panjang, saya menyeluk saku, mengeluarkan dua helai wang kertas RM10 dan menghulurkannya kepada beliau.
"Terima kasih,” ujar beliau mengambilnya dan berlalu pergi. Saya hanya sempat berkata, sama-sama. Peristiwa itu berlaku pantas. Mungkin ada yang berkata seolah-olah saya dipukau.
Tetapi apa yang ingin saya coretkan di sini ialah kalaulah usia lelaki tersebut betul 68 tahun, maka dari segi statistik beliau adalah salah seorang dalam kalangan tujuh peratus penduduk negara ini yang berstatus warga tua yang melayakkan Malaysia bergelar negara penuaan atau ageing country menurut takrifan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Takrifan PBB itu mengatakan sekiranya dalam sesebuah negara itu komposisi penduduk yang sudah berusia 65 tahun mencapai jumlah tujuh peratus daripada keseluruhan penduduknya, negara berkenaan sudah memasuki negara penuaan.
PBB mencadangkan dasar-dasar tertentu untuk menjaga kebajikan warga tua atau emas itu hendaklah diperkenalkan supaya kelompok yang mungkin tidak lagi produktif itu tidak hidup melarat. Misalnya di sesetengah negara maju diperkenalkan apa yang dipanggil sebagai pencen negara atau state pension yang diberi kepada mereka secara automatik selepas mereka dikategorikan sebagai warga tua.
Di Malaysia, cadangan supaya diperkenalkan pencen negara kepada warga tuanya juga pernah dilontarkan dari masa ke masa. Terbaharu minggu lalu, Ahli Parlimen Selayang bertanyakan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri sama ada kerajaan Malaysia Madani mempunyai hasrat berbuat demikian.
Menteri itu memberitahu, pada waktu ini kerajaan tidak bercadang memperkenalkan pencen negara kepada warga emasnya.
Secara peribadi saya berpendapat, penolakan ini sebenarnya tidak bijaksana, dilakukan secara tergesa-gesa. Dalam sebuah negara madani, bukan sahaja kemiskinan tegar yang perlu dilenyapkan, tetapi warga emas sudah berusia 65 tahun tetapi tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi juga wajar dibantu bagi membolehkan mereka menikmati pencen negara seperti di negara-negara maju yang masyarakatnya tidak dibentuk dengan acuan madani.
Kelompok tersebut jangan sesekali dianggap sebagai bebanan kepada negara. Semasa zaman muda dan produktif, mereka telah menyumbang kepada menjadikan Malaysia ke tahap yang kita ada hari ini. Jangan nafikan mereka keselesaan dalam kehidupan hanya kerana usia mereka yang sudah lanjut dan fizikal mereka sudah tidak lagi berdaya.
Memandangkan golongan warga emas melebihi 65 tahun ke atas diramalkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia akan menjadi sehingga 15 peratus daripada jumlah penduduk pada tahun 2050, kerajaan patut memperkenalkan satu dasar penuaan negara yang komprehensif bermula sekarang.
Memperkenalkan skim pencen negara mengikut kadar-kadar tertentu dan menyediakan pelbagai kemudahan lain yang diperlukan, wajib menjadi teras dasar tersebut. Dengan itu, kelompok warga emas ini akan rasa dihargai oleh negara.
Oleh kerana Malaysia bukanlah satu-satu negara yang berstatus negara penuaan, maka kita boleh belajar daripada negara-negara lain yang terlebih dahulu telah mencapai status tersebut. Di Asia, kita boleh belajar daripada Jepun yang komposisi penduduk warga emasnya mencecah 30 peratus.
Kita juga boleh belajar daripada Itali, Finland, Portugal, Jerman dan Serbia yang komposisi penduduk tuanya berada pada tahap melebihi 20 peratus.
Malaysia Madani patut melayan warga emasnya lebih baik berbanding negara-negara bukan madani.
Kalau tidak, Malaysia Madani itu hanyalah satu slogan kosong.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca