TEMPOH kemerdekaan negara adalah tempoh yang singkat berbanding dengan 446 tahun negara ditadbir kuasa asing. Tentulah dalam tempoh yang begitu lama kesan penjajahan itu agak sukar untuk dihapuskan.
Namun itu bukanlah alasan bagi tidak meloloskan diri kita daripada minda orang asing itu. Kemajuan negara berbanding zaman pramerdeka amatlah ketara.
Sekalung tahniah diucapkan kepada setiap rakyat Malaysia yang tidak putus-putus berusaha membangunkan negara, begitu juga kerajaan yang memandu memacu kemajuan negara sehingga disegani di setiap pelosok dunia.
Dalam kita menikmati kebebasan ini ada beberapa aspek yang mana kita masih terus ‘dijajah’. Sejak kebelakangan ini aspek pembinaan negara antara masyarakat semakin hari semakin dilihat sebagai diruntuhkan. Mungkin pendekatan penjajah dahulu melalui sistem divide and rule ini diamalkan oleh beberapa golongan tertentu.
Acapkali kita lihat apabila berlaku sesuai isu yang melibatkan kaum (walaupun ia sebenarnya bukan isu perkauman) masyarakat begitu marah dan kerap menjadi sasaran cemuhan. Bukan sahaja golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara malah golongan majoriti juga sering rasa dipinggirkan dan tidak mendapat keadilan. Sesuatu perlulah dilakukan pihak berkuasa bagi meredakan keadaan ini.
Pihak berkuasa tidak boleh hanya memikirkan peti undi semata-mata dalam membuat apa-apa tindakan. Leluhur kita sudah membina negara dengan semangat toleransi tinggi dan inilah yang perlu dipertahankan. Tindakan perlu diambil kepada sesiapa sahaja yang cuba menggugat semangat ini atau membelakangkan falsafah pembinaan negara serta sejarahnya.
Malaysia begitu unik tidak sama dengan mana-mana negara yang lain di dunia ini. Namun hari ini keunikan itulah yang diperkotak-katik banyak pihak kerana mereka tidak memahami sejarah.
Malah ada juga yang mahu menulis kembali sejarah dengan mengambil kira perspektif mereka sendiri yang tersasar daripada fakta sebenar. Ini adalah suatu tindakan yang sangat merbahaya kerana menggarap fakta yang tidak benar.
Marilah bersama-sama kita bulatkan tekad merenung kembali sejarah negara. Kita perlu menoleh ke belakang melihat sejarah silam bagi melihat ke hadapan membina kecemerlangan. Tiada gunanya kita cemerlang jika jati diri anak bangsa kita sendiri sudah tiada. Tiada manfaatnya kita mengimport nilai-nilai luar yang dikatakan baik itu sedangkan kita meminggir nilai tempatan yang sudah sebati dengan jiwa dan raga kita.
Tiada eloknya juga kita berkiblat ke luar negara sedangkan panduannya ada pada diri kita sendiri.Malah tiada kebaikan jika kita mahu membina kekuatan bersumberkan pandangan luar dalam masa yang sama kita menghancurkan swadaya watan.
Memang benar dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama kita tidak dapat lari dari perselisihan faham, tetapi menguruskan perselisihan faham itu sangat penting dan perlu diberikan perhatian. Tiada kompromi perlu diberikan kepada mereka yang sengaja mahu mencetuskan pergaduhan kaum atas apa jua alasannya.
Golongan majoriti hendaklah menghormati hak yang sah diberikan kepada golongan minoriti manakala golongan minoriti juga perlu menghormati golongan majoriti yang merupakan golongan utama di dalam negara. Perbezaan keistimewaan diberikan kepada golongan tertentu adalah sah di sisi undang undang dan Perlembagaan Persekutuan. Ia sudah diterima sepanjang kita membina negara ini.
Norma asing seperti LGBT, liberalisme dan pluralisme agama perlu diketepikan kerana ia bukan acuan tempatan.
Marilah kita sama-sama membawa negara ke mercu kegemilangan. Setiap diri kita punya peranan masing-masing.
Sifat saling hormat-menghormati yang saya perhatikan semakin pudar dalam diri kita perlulah disinarkan kembali. Malaysia mampu merubahnya.
Dalam era yang penuh mencabar ini, ketepikanlah perbezaan politik, dendam mendendam dan mencari populariti sendiri. Bangunkanlah negara mengikut acuan yang telah dipersetujui bersama.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca