PEMBANGUNAN infrastruktur dan kemudahan merupakan antara aspek terpenting yang perlu diambil kira kepada sesebuah negara membangun seperti di Malaysia. Kerajaan Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah meletakkan... Klik di sini untuk terus membaca

PEMBANGUNAN infrastruktur dan kemudahan merupakan antara aspek terpenting yang perlu diambil kira kepada sesebuah negara membangun seperti di Malaysia. Kerajaan Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah meletakkan ‘Infrastruktur’ sebagai salah satu ‘Pemangkin Dasar Rancangan Malaysia Kedua Belas’ untuk perancangan pembangunan negara.

Pemangkin dasar ini menyasarkan pembangunan infrastruktur meliputi aspek digital, ekonomi, jaringan pengangkutan, logistik, sosial dan budaya.

Dalam memastikan pembangunan ekonomi yang lebih mampan, Islam juga tidak ketinggalan dalam memberikan panduan dan solusi pengagihan semula kekayaan kepada mereka yang memerlukan khususnya dan orang ramai secara amnya dengan kaedah berwakaf.

Antara keunikan berwakaf, ia satu tindakan yang tidak perlu dipaksa untuk melakukannya kerana dibuat dengan niat mendapat keredaan ALLAH SWT di samping mengharapkan jaminan pahala yang berpanjangan menjadi motivasi untuk kekal konsisten berkongsi kekayaan yang ada dengan orang lain supaya mereka yang memerlukan dapat menikmati kualiti hidup disebabkan kepercayaan dan keimanan kepada ALLAH SWT.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dinamik dan progresif telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengangkat sistem wakaf sebagai alternatif kelestarian pembangunan ekonomi dan negara di Malaysia.

Sebuah entiti wakaf kebangsaan telah ditubuhkan bagi merealisasikan hasrat ini dan menggerakkan aktiviti wakaf di Malaysia iaitu Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

YWM berperanan sebagai entiti yang melaksanakan aktiviti mengumpul dana wakaf, membangun dan memajukan harta wakaf, melaksanakan program kebajikan dan sosial serta menjalankan program pelaburan.

Dalam ucapan Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada dinyatakan tentang pelaksanaan wakaf yang menggunakan pendekatan pembangunan bottom-up approach selain daripada pendekatan top-down approach yang jadi pengamalan sedia ada.

Pendekatan kedua-dua kaedah ini perlu seiring untuk memakmurkan pertumbuhan ekonomi dan melestarikan pembangunan di negara ini. Bagi memenuhi keperluan semasa:

• Mengisytiharkan wakaf sebagai sektor ketiga dalam negara bersama-sama sektor kerajaan dan sektor swasta yang berperanan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. Wakaf yang bersumberkan dana awam mampu membantu pihak kerajaan dalam menyediakan infrastruktur-infrastruktur penting dalam negara atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab bersama.

• Menubuhkan satu tabung Dana Wakaf Khas Infrastruktur yang dikendalikan oleh YWM bagi membantu pihak kerajaan mengurangkan beban perbelanjaan negara untuk kerajaan menyediakan fasiliti yang sepatutnya kepada rakyat. Justeru, cadangan mewujudkan Wakaf Infrastruktur merupakan cadangan yang mampu direalisasikan dan mempunyai potensi yang besar supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh mereka yang memerlukan dan rakyat Malaysia amnya.

• Menubuhkan satu tabung Dana Wakaf Khas Pertanian yang dikendalikan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menjadi pelengkap kepada inisiatif kerajaan untuk menjamin sekuriti makanan negara. Ini termasuklah dengan mengambil manfaat melalui ladang-ladang tanaman jangka pendek dan jangka panjang yang menjadi sumber makanan utama negara melalui wakaf.

Pemerkasaan sektor wakaf di Malaysia perlu dijayakan dan mendapat perhatian kerajaan kerana secara tidak langsung ia dapat membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam menyediakan kualiti kehidupan kepada rakyat di negara ini.

Wakaf adalah instrumen ekonomi Islam yang sepatutnya dikembangkan untuk mengurangkan beban dan kos sara hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat.

* Afnan Hamimi Taib Azamudden ialah Ahli Parlimen Alor Setar

Klik di sini untuk terus membaca