SHAH ALAM - Sebaik sahaja memenangi pemilihan sebagai Ketua Pemuda UMNO yang baharu, Dr Muhamad Akmal Saleh menggariskan empat perkara yang menjadi keutamaan untuk memantapkan sayap parti. Antaranya, Pemuda UMNO perlu ada di setiap lapisan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebaik sahaja memenangi pemilihan sebagai Ketua Pemuda UMNO yang baharu, Dr Muhamad Akmal Saleh menggariskan empat perkara yang menjadi keutamaan untuk memantapkan sayap parti.

Antaranya, Pemuda UMNO perlu ada di setiap lapisan masyarakat, melaksana dan menambah baik perancangan sebelumnya, merancang menurunkan had umur ketua sayap dan bertekad mahu mengembalikan kepercayaan rakyat.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, Pemuda UMNO perlu bersama rakyat di mana-mana sahaja kerana parti itu mempunyai ahli daripada pelbagai bidang.

"Dalam memperjuangkan hak dan suara rakyat, Pemuda UMNO mesti bersama-sama rakyat di jalanan mahupun di mana-mana sahaja kerana perkara tersebut jauh lebih penting daripada segala-galanya.

"Berkenaan pendekatan yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO sebelum ini, kita teruskan dengan penambahbaikan akan dibuat,” katanya pada Ahad.

Mengulas berkaitan meminda perlembagaan Pemuda UMNO untuk menurunkan had umur ketua sayap berkenaan di bawah umur 40 tahun, beliau berkata, tujuan pendekatan itu diambil adalah untuk melahirkan pelapis generasi baharu dalam parti.

"Kita mahukan pemimpin itu lahir daripada setiap generasi dan mereka (Ketua Pemuda) tidak duduk di sayap ini sehingga bila-bila,” jelasnya.

Pada masa sama, Dr Muhamad Akmal menegaskan bahawa beliau mahu mengembalikan kepercayaan dan persepsi rakyat terhadap pucuk kepimpinan parti berkenaan.

Jelasnya, membina persepsi dan imej baharu UMNO melalui Pemuda adalah sesuatu yang didambakan oleh rakyat.

"Mereka (rakyat) mahu melihat perubahan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana sebelum ini, kita seolah-olah hilang kepercayaan daripada rakyat,” ujarnya.

Dr Muhamad Akmal turut berkongsi tentang percaturan Pemuda UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menerusi PRN kali ini, beliau menjelaskan bahawa calon-calon muda yang bertanding mestilah mempunyai gaya dan cara yang sesuai dengan orang muda.

"Pada PRU15 yang lalu, kita ambil ramai calon-calon muda namun akhirnya tewas. Saya lihat punca kekalahan itu disebabkan penyampaian maklumat kadang-kadang tidak kena dengan gaya orang muda,” tegasnya.

Dr Muhamad Akmal menyifatkan kemenangan sebagai ketua sayap itu membuktikan bahawa UMNO bukanlah sebuah parti yang berpuak-puak.

Klik di sini untuk terus membaca