KEGILAAN seks sejenis bunyinya agak janggal. Tapi tidak di United Kingdom (UK) dan banyak negara Barat. Kalau dahulu hanya LGB (lesbian, gay dan biseksual), kini sudah ada LGBTQIA+ (transgender, queer, interesex dan asexual).
Antara selalu disebut ialah pasangan lesbian selebriti televisyen, Sue Perkins dan Anna Richardson yang terang-terangan berkongsi tentang hubungan mereka serta menggunakan pengaruh masing-masing untuk mendidik komuniti LGBTQIA+ di UK mengenai hak mereka.
Artis-artis UK yang hidup sebagai homoseksual juga terkenal. Elton John yang popular dengan lagu I’m Still Standing juga seorang gay tetapi jualan albumnya pernah mencecah sehingga 300 juta. Begitu juga Freddy Mercury, Sam Smith, Boy George dan ramai lagi.
Ia tidak aneh. Realitinya, UK telah lama menjadi hab homoseksual melakukan aktiviti mereka. Kelab malam untuk golongan itu juga bertebaran di merata tempat seperti di Soho, London.
Zaman dahulu, golongan tersebut tidak diterima masyarakat. Undang-undang menghukum pengamal homoseksual juga pernah digubal. Sehingga 1980, kira-kira 8,921 pelaku sodomi di UK ditangkap dan dihukum, sementara 56 dijatuhi hukuman mati. Ia tidak termasuk yang mati dibunuh.
Pembunuh pengamal homoseksual juga tidak dianggap begitu bersalah. Misalnya, pada 1950, Kenneth Crowe dibunuh oleh teman lelakinya, John Cooney apabila dia didapati sebenarnya seorang lelaki. Cooney hanya dikenakan penjara lima tahun atas kesalahan tersebut.
Penentangan terhadap golongan berkenaan terus keras. Sehinggalah hujung 1950-an, Humphry Berkeley, seorang homoseksual menjadi ahli Parlimen di UK. Beliau amat dikenang kerana jasanya membentangkan Berkeley Bill untuk melindungi golongan homoseksual di UK.
Meski bil tersebut tidak diluluskan, namun ia telah mencetus perubahan dasar dan undang-undang kerajaan UK terhadap homoseksual pada hari ini.
Kini, masyarakat UK tidak lagi kisah jika homoseksual menjadi pemimpin. Sekurang-kurangnya 62 ahli Parlimennya mengakui mereka ialah LGBTQIA+.
Golongan itu juga seperti lebih disayangi dan dilindungi masyarakat. Contohnya, remaja transgender, Brianna Ghey, 16, yang mati dibunuh pada Februari lalu begitu ditangisi umum. Dua suspek berusia 15 tahun langsung dituduh melakukan transgender hatred crime meski siasatan belum dimulakan.
Kerajaan UK telah lama membuat normalisasi LGBTQIA+ melalui pendidikan, drama dan filem yang menyasarkan generasi muda. Perpustakaan sekolah digalakkan sedia ruang bacaan bergenre LGBTQIA+.
Pelajar yang rasa terancam menjadi gay, lesbian dan transgender juga boleh mendapatkan sokongan serta perlindungan daripada pihak sekolah.
Tidak hairanlah ramai remaja di sini cenderung bersahabat dengan teman sejantina. Lelaki dan perempuan sudah kurang bercampur. Bercinta dengan kaum sejenis lebih mengujakan kerana didakwa lebih saling memahami.
Bahkan, mulai 2020, sekolah rendah di UK juga telah diarah memperkenalkan murid kepada LGBTQIA+ sebagai kepelbagaian yang harus diterima umum. Kini, anak-anak seawal usia 10 tahun sudah menyatakan orientasi seksual mereka tanpa segan silu.
Pernyataan seperti ‘saya gay’, ‘saya lesbian’ atau ‘oh, saya tertarik kepada lelaki dan perempuan’ dilihat lebih ‘cool’. Mereka juga bangga mengenakan warna pelangi pada pakaian, beg sekolah mahupun botol air. Bukan kerana warnanya tetapi kerana solidariti LGBTQIA+.
Ironinya, mereka yang 'straight' atau berminat dengan pasangan lain jantina pula dilihat sebagai membosankan. Sering mereka dituduh sebagai homofobik atau anti LGBTQIA+. Malah, pelajar beragama Islam turut menerima tempias kebencian sehingga ada teragak-agak mahu mengakui dirinya seorang Muslim. Tidak termasuk lagi yang bercita-cita keluar Islam demi menjadi sebahagian komuniti LGBTQIA+.
Jangankan UK, Malaysia sebagai negara Islam pun pernah gempar dengan kisah seorang ahli perniagaan transgender yang mahu murtad untuk kekal hidup bebas sebagai pondan. Dia berjaya lari ke Australia untuk mencari perlindungan atas tiket LGBTQIA+.
Sebagai orang Islam, fenomena ini amat membimbangkan. Dengan akses lebih luas kepada media sosial Barat, tidak mustahil suatu hari nanti anak-anak kita juga terikut-ikut trend LGBTQIA+.
Apatah lagi, amalan pendidikan di sekolah kita cenderung meminimumkan interaksi pelajar lelaki dan perempuan sebagai langkah awal mengelak perhubungan seks luar nikah menular.
Namun, gelora ingin dicintai dan mencintai di usia remaja memang sukar dipadamkan. Bagaimana kalau mereka memilih menzahirkan naluri cinta yang membuak-buak kepada kaum sejenis?
Jika itu berlaku, pastilah lebih sukar membendungnya daripada awal. Kerana pada pandangan kita, apa salahnya? Mereka itu hanyalah sepasang belangkas yang saling berkasih sayang.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College, London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena, Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca