SHAH ALAM - Nasib berbeza membabitkan anak lelaki dan perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam cubaan mendapatkan tempat bagi saf kepimpinan Puteri serta Pemuda UMNO yang berlangsung pada Sabtu.
Nooryana Najwa, 35, berjaya berada dalam kelompok 20 teratas bagi jawatan Exco Puteri UMNO dengan meraih sebanyak 152 undi.
Antara Exco Puteri yang terpilih adalah Nurul Syifa Ridzwan Goh dan Nik Zakirah Farhanis Zakimi Na Rahin.
Nooryana Najwa turut menang tanpa bertanding sebagai Ketua Puteri UMNO Lembah Pantai.
Bagaimanapun, nasib berbeza bagi Datuk Mohd Naziffuddin, 39, yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO apabila tewas kepada Mohd Hairi Mad Shah.
Jawatan Naib Ketua Pemuda itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan anak kepada seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham; Mohd Nazifuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu; Mohd Hairi dan penyandang kerusi Exco Pemuda, Muhammad Farhan Khairuddin.
Sejumlah 266 calon bersaing merebut 15 jawatan dipertandingkan pada pemilihan UMNO bagi Exco Wanita, Pemuda serta Puteri peringkat Pusat sesi 2023-2026, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.
Pemilihan itu berlangsung serentak dengan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri bahagian yang diadakan serentak di seluruh negara.
Ia dijadualkan berakhir pada 18 Mac ini, dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Naib Presiden UMNO.
Klik di sini untuk terus membaca