SHAH ALAM - Keputusan pemilihan sayap UMNO kali ini disifatkan bakal menyaksikan kepemimpinan profesional yang setia demi mengembalikan semula kegemilangan parti itu.
Penganalisis politik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, sebagai contoh pemilihan Ketua Pemuda UMNO yang baharu, Dr Muhamad Akmal Saleh sememangnya telah dijangka.
"Pemilihan Dr Akmal bakal menyaksikan penyertaan ahli profesional dalam kepemimpinan parti dan ia suatu yang baik buat UMNO. Beliau boleh tawarkan gaya kepemimpinan baharu dalam Pemuda UMNO.
"Pelantikan semula Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Ketua Wanita UMNO pula membuktikan wanita masih memerlukan kepemimpinan lama yang setia kepada parti. Tanpa jawatan menteri, diharap Noraini boleh memberi fokus sepenuhnya untuk parti dan memperkukuh sokongan kepada UMNO,” katanya pada Ahad.
Pada masa sama, tambah beliau, kepimpinan baharu Puteri UMNO diharap dapat menarik sokongan generasi muda untuk menyokong parti berkenaan.
"Perlu kembalikan kegemilangan Puteri UMNO macam dulu,” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Muqit Muhammad berpandangan sebaliknya kerana kepimpinan sayap parti UMNO yang baharu dilantik tidak mampu memberi impak perubahan ketara terhadap parti itu.
Menurut beliau, ia kerana tiada perubahan terhadap kepimpinan utama dan sebarang perubahan dalam UMNO perlu bermula dengan Presiden.
Bagaimanapun ujarnya, ketua sayap yang baharu dilantik masih mempunyai kelebihan tersendiri.
"Tetapi ia tetap tidak mengubah apa-apa kerana jawatan Presiden tidak dipertandingkan. Perubahan dalam UMNO mesti bermula dengan Presiden. Bukan dari bawah,” tegasnya.
Abdul Muqit berkata, kepimpinan sayap-sayap UMNO perlu berusaha memulihkan keyakinan orang Melayu terhadap parti itu.
"Isu utama UMNO yang masih susah nak diperbetulkan ialah korupsi dan politik wang yang sudah berakar umbi.
"Sekarang ini orang Melayu pun sudah ada parti lain untuk wakili suara mereka. Kalau tidak dipulihkan, mungkin UMNO sukar untuk kekal relevan,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca