KETIKA ini, negara kita sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang benar-benar memberikan kesan kepada rakyat secara keseluruhannya. Bahkan, banyak negara lain lebih awal terkesan dengan krisis ekonomi yang memberikan tekanan hidup kepada rakyat mereka.
Sebelum ini, Sri Lanka telah berdepan krisis ekonomi lebih awKRISal dan ia masih berterusan, diikuti negara lain antaranya Pakistan, Ghana serta Mesir.
Malah, senarai nama negara yang berdepan krisis ekonomi dijangka terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang. Tentu sekali ia akan memberikan impak lebih besar kepada negara kita.
Jika kita ambil kira kadar pengangguran, data terbaharu diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran di Malaysia kekal 3.6 peratus pada Januari 2023 dengan bilangan penganggur menurun kepada 596,100 orang atau 0.6 peratus berbanding 599,600 orang pada bulan sebelumnya.
Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun juga turun kepada 11.5 peratus, dengan 328,800 belia menganggur berbanding 331,000 orang pada bulan sebelumnya, manakala kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat 0.1 mata peratus kepada 7.0 peratus dengan mencatatkan 449,700 orang daripada 444,500 orang pada Disember.
Namun, kadar pengangguran itu sebenarnya tidak menyelesaikan isu lebih besar iaitu mereka yang mempunyai pekerjaan tetapi gaji tidak setimpal dengan kenaikan kos sara hidup.
Ada yang bekerja hanya mampu untuk membayar hutang atau sebahagian hutang. Ada juga terlalu sedikit baki yang tinggal selepas membayar pinjaman dan bil serta membeli keperluan harian.
Disebabkan tekanan itu, maka tidak mengejutkan apabila berlakunya desakan demi desakan oleh pencarum untuk pengeluaran wang menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ada yang ketika ini berdepan tunggakan bayaran pinjaman tiga bulan dan ke atas, berdepan pula dengan situasi kenderaan yang bakal ditarik, rumah akan dilelong dan lebih parah lagi meminjam ah long bagi menampung kenaikan kos sara hidup termasuk peningkatan perbelanjaan persekolahan anak-anak yang akan memasuki sesi persekolahan tidak lama lagi.
Desakan itu khususnya dengan mengambil kira situasi sebagaimana di atas yang dihadapi oleh sebahagian pekerja sebenarnya berasas. Inilah realiti sebenar yang berlaku pada hari ini.
Selain itu, bagi membantu sebahagian graduan ijazah yang menganggur atau memperoleh pendapatan tidak setimpal dengan kenaikan kos sara hidup, maka kerajaan boleh memperkenalkan semula Program Biasiswa Siswazah.
Sebelum ini, Program Mybrain pernah diperkenalkan yang menyediakan pembiayaan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dan ijazah sarjana termasuk elaun sara hidup kepada rakyat Malaysia yang ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Terdapat keperluan semasa untuk dihidupkan semula Program Mybrain dengan penjenamaan baharu. Ia penting terutama dengan mengambil kira keadaan ekonomi negara pada 2023 dan 2024, maka rakyat terutama anak muda perlu diberikan bantuan kewangan. Biayai pengajian mereka di peringkat ijazah kedoktoran dan ijazah sarjana serta diberikan elaun sara hidup.
Dalam jangka masa panjang, sebaik sahaja selepas mereka tamat pengajian, maka ketika itu diharapkan ekonomi negara akan lebih baik dan lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta untuk diisi oleh pemegang biasiswa siswazah berkenaan.
Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai contoh, bersedia memainkan peranan sekiranya Program Mybrain dilaksanakan semula dengan menawarkan program pengajian ijazah kedoktoran dan ijazah sarjana, bersesuaian dengan keperluan pasaran serta membantu meningkatkan kelayakan dan pencapaian akademik lebih ramai rakyat Malaysia.
Melalui kelulusan akademik lebih tinggi, maka ia akan dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia memperoleh pekerjaan lebih baik dan mempunyai masa depan yang cerah selepas berakhirnya krisis ekonomi.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca