MENYINGKAP intipati Belanjawan 2023 Malaysia Madani yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan antara lain dilihat fokus menangani isu kos sara hidup dan keterjaminan makanan.
Buktinya, RM64 bilion diperuntukkan daripada keseluruhan Belanjawan Madani berjumlah RM388.1 bilion bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif seperti kawalan harga barang, bantuan kewangan dan pemberian perkhidmatan kepada majoriti rakyat.
Ini termasuk konsep Payung Rahmah yang antara lain menampilkan inisiatif Menu Rahmah berharga RM5. Terdapat juga inisiatif Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan potongan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Seterusnya, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) layak diterima keluarga berpendapatan kurang RM2,500 diikuti pengurangan kadar cukai pendapatan individu melibatkan 2.4 juta golongan M40.
Bagi isu keterjaminan makanan dan mendepani kenaikan harga barang dan gangguan bekalan makanan, Anwar berkata, sektor agromakanan perlu dirombak dengan mengutamakan kemandirian pengeluaran makanan tempatan melalui automasi dan pendigitalan.
Soalnya, sejauh mana keberkesanan inisiatif yang dibentangkan dalam menyelesaikan kedua-dua isu terbabit?
Profesor Kehormat, Jabatan Ekonomi di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Dr Fatimah Kari berkata, pada asasnya Belanjawan 2023 mempunyai pelbagai strategi menangani isu kos sara hidup dan menjamin sekuriti makanan negara namun ia masih boleh ditambah baik.
"Sumbangan tunai seperti STR misalnya bukanlah baharu dan sering digunakan. Saya tidak melihat inovasi dari segi cara pelaksanaan, serta langkah penilaian impak sosio-ekonomi yang akhirnya boleh mengeluarkan golongan B40 dari bawah garis kemiskinan,” ujarnya kepada Sinar Premium.
Tambah beliau, isu kos sara hidup dan kemiskinan agak kompleks dan adalah lebih berkesan jika langkah sumbangan tunai ini mempunyai syarat di mana pemberian tunai digunakan untuk keperluan asas yang sangat diperlukan.
"Dalam konteks M40, langkah pemotongan cukai mungkin agak baik dari segi kuasa beli.
"Tetapi adalah lebih realistik jika sokongan kerajaan disalurkan dalam bentuk insentif bukan pendapatan seperti diskaun harga mampu milik ke atas rumah, kos penjagaan anak-anak, memantapkan sistem pendidikan kebangsaan yang lebih baik, skim perlindungan kesihatan serta akses kepada kesihatan lebih menyeluruh,” jelas Fatimah.
Katanya, kebanyakan daripada pendekatan bukan cukai atau bukan pendapatan ini akan mempunyai kesan faedah yang lebih baik, mampan, menyeluruh dan lebih murah dalam jangka panjang.
SEKURITI MAKANAN
Berhubung sekuriti makanan, Fatimah berkata, belanjawan kali ini memberi penekanan dari segi modal, teknologi, pelaburan dan pengeluaran berskala besar serta penglibatan badan dan agensi kerajaan serta beberapa kerajaan negeri bagi melaksanakan projek agromakanan.
Untuk rekod katanya, data di peringkat antarabangsa menunjukkan hampir 98 peratus bekalan makanan dunia diusahakan oleh pekebun kecil dan bukannya estet berskala besar.
"Kewujudan pemain dan pelabur besar terutama dari agensi kerajaan mempunyai corak birokrasi yang tersendiri.
"Sedangkan isu bekalan makanan mempunyai sifat pengurusan operasi, risiko, aset serta rangkaian penawaran logistik yang dinamik dan berorientasikan keuntungan dan kecekapan.
"Maka, tidak cukup hanya membuka kawasan tanah baharu untuk mengusahakan bekalan makanan tanpa mengubah model pengurusan agensi kerajaan yang terlibat,” katanya lagi.
Fatimah turut menyokong insentif yang diberi kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai langkah menangani kos dan isu bekalan makanan.
"Dalam konteks jangka pendek, Belanjawan 2023 mencadangkan langkah mengurangkan cukai PKS daripada 17 peratus ke 15 peratus iaitu penjimatan RM3,000 kepada pembayar cukai.
"Ini boleh membantu perniagaan PKS dalam membangunkan aktiviti ekonomi yang memenuhi keperluan komuniti setempat terutamanya sektor agropertanian dan makanan untuk memastikan permintaan berterusan,” katanya.
JANGKA MASA PENDEK
Bagi ahli ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim, biarpun Belanjawan Madani sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat namun ia bukan satu perubahan besar.
"Situasi ekonomi semasa masih tidak stabil dan ucapan pembentangan belanjawan jelas menggariskan cabaran negara bakal terus berdepan kenaikan harga barang disebabkan kadar inflasi diunjurkan sama seperti tahun 2022. Ini bermakna rakyat memerlukan lebih tunai,” ujar Muhamad Zharif.
Menurutnya, umpama pemberian ubat panadol ketika demam, ia tidak terus menyembuhkan tetapi hanya memberi kelegaan dalam jangka masa pendek.
"Ini bermakna, kita memerlukan lebih banyak lagi solusi penyelesaian jangka masa panjang seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk mengurangkan bebanan rakyat akibat kos sara hidup hidup tinggi,” katanya.
Beliau berpendapat, rakyat memerlukan aliran tunai tetap agar tidak terlalu bergantung dengan insentif kewangan yang diberikan oleh kerajaan.
"Penambahbaikan IPR yang boleh dijalankan oleh kerajaan adalah keperluan penyediaan satu garis panduan unjuran peningkatan pendapatan kepada rakyat yang menyertai program ini.
"Sebagai contoh, Singapura memiliki program Progressive Wage Model, di mana mereka menyediakan satu garis panduan peningkatan gaji lengkap berdasarkan peningkatan kemahiran yang telah dijalankan oleh peserta program tersebut,” ujarnya.
Beliau juga berkata, kerajaan perlu memperkukuhkan asas pekerjaan dan kestabilan pendapatan bagi memastikan ekonomi isi rumah B40 dan M40 lebih terlindung daripada ketidaktentuan ekonomi di masa hadapan.
Klik di sini untuk terus membaca