KENYATAAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi bayangan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal diangkat menjadi Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan jika menang pada Pilihan Raya... Klik di sini untuk terus membaca

KENYATAAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi bayangan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal diangkat menjadi Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan jika menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, menimbulkan 1,001 persoalan serta polemik baharu dalam politik tanah air.

Manakan tidak, di atas kertas misi PN menawan Selangor dan Negeri Sembilan boleh dianggap sukar untuk direalisasikan kerana berdasarkan prestasi gabungan parti Bersatu, Pas dan Gerakan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di dua negeri terbabit.

Jika dilihat dari segi prestasi PN, tidak begitu memberangsangkan apabila hanya menang enam daripada 16 kerusi Parlimen di Selangor dan tidak menang sebarang kerusi di Negeri Sembilan.

Ada yang beranggapan, kenyataan Muhyiddin itu hanya gimik politik kerana setakat ini, pemimpin Pas belum membuka mulut sama ada bersetuju atau tidak dengan hasrat Bersatu itu.

"Kalau kenyataan Muhyiddin untuk merampas Selangor dan Negeri Sembilan dinyatakan sebelum keputusan PRU15 diumumkan pada 19 Mac lalu, mungkin ia ada logiknya.

"Namun pasca PRU15, gelombang hijau atau peningkatan ketara sokongan terhadap PN berlaku di negeri Pantai Timur seperti di Kelantan, Terengganu dan Pahang serta utara di Kedah dan Perlis sahaja.

"Bagaimanapun, kemaraan gelombang hijau dan peningkatan sokongan pengundi terhadap PN di Selangor dan Negeri Sembilan tidaklah begitu ketara walaupun ada beberapa kerusi dirampas Bersatu daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 lalu.

"Jika kita kaitkan dengan pertuduhan dihadapi Muhyiddin dan Datuk Wan Saiful Wan Jan (bekas Ketua Penerangan Bersatu) serta beberapa pemimpin lain, ia akan menyukarkan lagi peluang PN untuk menawan Selangor dan Negeri Sembilan,” kata penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan kepada Sinar Premium.

Azmi menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri itu sebagai satu bentuk perang saraf bagi menarik keyakinan penyokong PN bahawa mereka mampu merampas kedua-dua negeri tersebut.

Azmi juga melihat tindakan meletakkan calon MB Selangor dan Negeri Sembilan dalam kalangan pemimpin Bersatu adalah sebagai satu kompromi atau tolak ansur selepas memberi laluan kepada Pas menerajui Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Tiga nama individu yang dijangka menjadi calon menteri besar jika PN berjaya menawan Selangor pada PRN nanti termasuklah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Sementara, calon tunggal untuk Negeri Sembilan ialah bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Eddin Syazlee Shith.

Abdul Rashid

"Tuntutan Bersatu memang ada logiknya kerana jumlah kerusi disandang lebih banyak berbanding Pas.

"Malah, tiga tokoh sudah dinamakan Bersatu untuk menjadi menteri besar jika PN berjaya merampas Selangor ialah Mohamed Azmin, Mohd Radzi dan Abdul Rashid.

"Mengapa dinamakan tiga individu itu? Kerana Mohamed Azmin belum tentu diangkat sebagai menteri besar berikutan prestasinya di Parlimen Gombak kurang memberangsangkan atau kalah dalam PRU15,” katanya.

Melihat kepada situasi dan kekuatan PN, kini gabungan PH-BN sukar menggugat kedudukan status quo kerajaan negeri dipimpin Pas (di Kelantan, Terengganu dan Kedah) terbabit.

"Namun, sejauh manakah kemampuan sebenar kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merampas satu atau dua kerusi daripada PN di tiga negeri berkenaan,” katanya.

Blok PH atau PN

PH pula dijangka terus menjadi kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang biarpun mereka dijangka kehilangan beberapa kerusi di tangan calon PN.

Sumber rapat dengan Bersatu pula mendakwa, parti itu mempunyai ramai calon bakal MB Selangor yang berpotensi besar selain Mohamed Azmin, Mohd Radzi dan Abdul Rashid namun, Bersatu serta PN mestilah dilihat lebih relevan berbanding gabungan PH-BN.

"Sudah tentu Mohamed Azmin menjadi antara tokoh kanan dipertimbangkan Bersatu mengetuai jentera pilihan raya PN di Selangor. Namun mungkin bukan sebagai calon bakal MB Selangor.

"Begitu juga dengan Eddin Syazlee selaku Pengerusi PN Negeri Sembilan, sudah tentu beliau menjadi watak penting dalam memimpin jentera pilihan raya. Namun tidak semestinya beliau akan diangkat sebagai calon MB Negeri Sembilan.

"Apa yang pasti, PN akan meletakkan calon terbaik di kedua-dua negeri itu. Bukan sahaja untuk menumbangkan gabungan PH-BN di Selangor dan Negeri Sembilan semata-mata, tetapi untuk memastikan mereka mampu mentadbir negeri berkenaan dengan lebih baik jika menang PRN nanti,” katanya.

Jelas Azmi, sumber turut memaklumkan bahawa kegagalan PN untuk menang sebarang kerusi Parlimen di Negeri Sembilan pada PRU15 lalu berpunca daripada tiada persiapan rapi dari jentera dan strategi kempen.

"Bagaimanapun, jika dipecahkan undi Parlimen, PN boleh menang di tiga kerusi DUN dan kalah tipis di lapan DUN biarpun kita menghadapi PRU15 tanpa persiapan rapi.

"Negeri Sembilan hanya mempunyai 36 kerusi DUN, tetapi PN perlu menang di 19 kerusi DUN untuk memperoleh majoriti mudah dan menjadi kerajaan negeri.

"Justeru, saya melihat angka 19 kerusi berkenaan amat munasabah. Kegagalan kerajaan Pusat menangani isu kos sara hidup, kenaikan harga barangan keperluan, tidak menunaikan janji manifesto PRU15 dan isu KWSP yang gagal diselesaikan dengan baik dijangka memberi impak besar kepada sokongan pengundi kepada gabungan PH-BN di Selangor nanti,” katanya.

Mudah

Beliau berkata, usaha merampas Selangor boleh menjadi lebih mudah kerana kebanyakan pemimpin utama PN menetap di negeri itu.

"Jika benar bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Mohd Radzi dan beberapa nama besar lain turun bertanding di Selangor, maka usaha merampas negeri itu menjadi lebih mudah,” katanya.

Beliau juga mendedahkan terdapat beberapa nama besar daripada parti lain berkemungkinan menyertai Bersatu dalam masa terdekat, sekali gus memperkukuhkan usaha PN merampas Selangor dan Negeri Sembilan daripada cengkaman PH, dalam PRN nanti.

Klik di sini untuk terus membaca